Lima topik yang akan dijadikan bahan dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sabah

F1

Berikutan Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal berlangsung nanti, banyak jugak isu-isu tempatan yang berlaku dalam Sabah akan dibangkitkan semula dalam kempen merebut semula mandat perwakilan. Masa ni lah, para wakil rakyat akan mulai menabur janji untuk memulihkan serta kukuhkan pengaruh politik mereka.

Kimanis Prk
Via Astro Awani

Jadi kali ni, kami akan himpunkan 5 isu utama yang dijangkakan akan disebut-sebut dalam pilihan raya negeri Sabah:

1. Masalah pendatang tanpa izin, kerajaan Warisan didakwa teruskan pemberian kad pengenalan supaya dapat undi

Macam pelik jugaklah kan, macam mana kerajaan negeri ni begitu berkuasa hingga dikatakan mampu keluarkan kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin. Namun begitu, fakta ni tak jauh dari realiti sebenar pun sebab dah bertahun-tahun skandal pemberian kewarganegaraan seperti Projek IC begitu popular disebut-sebutkan oleh pemimpin tempatan.

Ic Palsu Sabah
Via beritasensasisetiapmasa.blogspot

Ada jugak kajian yang menumpukan hal ni seterusnya membuktikan bahawa sememangnya wujud usaha meraih undi daripada pendatang tanpa izin yang telah ‘dinaungi’ kedudukannya sebagai sorang ‘warganegara jalan pintas’ yang dah lama diamalkan sejak zaman BN lagi. Mengikut sorang penyelidik UMS, Dr. Lee Kuok Tiung melihat isu pendatang tanpa izin, pemberian kad pengenalan rasmi serta isu berkaitan seperti kanak-kanak tanpa negara serta penyakit rentas negara seperti polio akan dijadikan retorik kempen.

Kanak-kanak tanpa negara merupakan satu lagi isu yang tak berkesudahan, dan kerajaan Persekutuan yang bertukar ganti dilihat masih gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani isu-isu mengenai kewarganegaraan di Sabah. Isu ni pun boleh dikatakan sensitif jugaklah sebab Ketua Menteri interim Sabah iaitu Shafie Apdal tegas nak saman sekiranya tuduhan mempertikai statusnya sebagai anak negeri diteruskan.

Anak Tanpa Negara
Via Borneo Komrad

2. Isu pembangunan, ekonomi dan peluang kerja pun akan disebut sebagai kegagalan parti semata-mata

Bila berkempen ni, kadang-kadang tak perlu sangat pun nak beri kenyataan masuk akal. Yang penting adalah keyakinan diri, pengaruh dan karisma tu mampu buatkan rakyat percaya dengan kebolehannya tanpa perlu memikirkan logik di sebalik kata-kata sorang ahli politik. Dalam pilihan raya Sabah kelak, isu pembangunan dan peluang ekonomi akan dihidupkan sekali lagi.

Najib Razak sendiri pernah memainkan isu ni dengan menyerang kepimpinan Shafie Apdal selaku Ketua Menteri dan Presiden Warisan, yang mana Najib mendakwa di bawah pimpinan Warisan selama 2 tahun, Sabah tak maju-maju jugak. Dia kemudiannya membandingkan graf perkembangan ekonomi Sabah setiap tahun di bawah BN yang telahpun menguasai kerajaan negeri sejak 1974 hingga 2017.

Najib Sabah Warisan Mundur
Via Sinar Harian

Kalau korang tengok betul-betul, nampak jugak tak berapa logik hujah Najib kerana terlalu banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan ekonomi sesebuah negeri dalam satu tempoh yang panjang dan stabil, berbanding di bawah kerajaan Warisan yang baru setahun jagung mentadbir Sabah. Namun jika ditelusuri ruang komen, rata-rata sokong jugak kenyataan Najib dan tak sedikitpun meragui logik sorang ahli politik.

Kami menjangkakan taktik yang sama akan turut digunakan untuk meraih undi dan simpati masyarakat Sabah, lantaran isu-isu ni pun dah berlangsung sekian lama. Yang penting di sini adalah hubungan federalisme yang harus diimbangi kerajaan negeri dan kepentingan kerajaan Pusat untuk mengekalkan bilangan kerusi majoriti dalam Parlimen.

3. Warisan janji tak ulangi lantikan politik sebagai budaya kerajaan baharu, namun ada jugak berlaku lepas menang

Firdausi Suffian dari UiTM Sabah pulak melihat kegagalan Warisan untuk menunaikan janji politik agar tak meneruskan budaya lantikan politik khususnya di peringkat GLC bakal menjejaskan reputasi Warisan sebagai parti kerajaan negeri ketika ni. Mengikut kenyataan media Bersih Sabah, hal pelantikan dua ahli parlimen tersebut iaitu Darrel Leiking dan Azis Jamman boleh ditafsirkan sebagai cara nak kukuhkan kuasa sepertimana yang berlaku di peringkat Persekutuan baru-baru ni.

Kaiduan Dam Papar Dam
Via Malaysiakini 2.0

Malah, isu-isu pembinaan projek mega yang dianggarkan mencecah bilion ringgit seperti Empangan Kaiduan dan Tanjung Aru Eco-Development (TAED) dijangkakan turut ditumpukan pihak pembangkang negeri. Kedua-dua projek ni dah ada waktu zaman BN dan jelas ditentang rakyat, namun Warisan pulak meneruskan projek-projek ni dengan versi yang lain.

Misalnya Empangan Kaiduan tu dirancangkan semula untuk dipindahkan ke Papar, dan berpotensi merosakkan ekosistem semulajadi hutan di sana selain menganggu kesejahteraan penduduk kampung berhampiran kawasan yang dirancangkan tu sedangkan ada lagi cara yang lestari berbanding membina empangan di sana.

Save Ulu Papar
Via Malaysiakini

4. ‘Budaya katak’ turut termasuk dalam senarai isu yang mungkin disebutkan, dakwaan rasuah jugak popular di mata rakyat

Awal tahun ni, budaya katak politik ternyata merupakan suatu perkara yang cuba dinormalisasikan hinggalah ke peringkat nasional sehinggalah kerajaan PH yang dipilih pada 9 Mac 2018 lalu tumbang. Lepas cerita Langkah Sheraton pada akhir Februari lalu dan diburukkan dengan ancaman wabak COVID-19, rakyat terpaksa berhadapan dengan kegusaran melihat ahli politik bertelingkah antara satu sama lain sedangkan ramai terkesan teruk kerana pandemik tersebut.

Lompat Katak Parti Sabah
Via Zunar/Sentiasapanas.com

Rentetan perubahan besar di peringkat nasional, beberapa kerajaan negeri turut bertukar mandat atas kuasa wakil rakyat termasuklah Sabah sendiri. Malah tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah dan memberi rakyat peluang untuk memilih semula wakil rakyatnya yang baharu turut dipertikai atas alasan wabak, sedangkan sekarang ni takde masalah pun nak keluar atas keberkesanan polisi kawalan penyakit kita.

Romzi Ationg dari UMS pulak berpandangan Warisan akan berhujah pasal budaya katak politik ni, di samping menyerang pihak pembangkang sebagai tamak dan akan mengembalikan semula gaya pentadbiran lama yang mementingkan amalan nepotisme serta amalan rasuah, politik wang di peringkat negeri.

Katak Sabah
Via I Love Borneo

Manakala pembangkang pulak dijangka akan berhujah balas mengenai ketidakcekapan pentadbiran negeri kerana kebanyakannya dianggap tak berpengalaman dan masih muda. Selain tu, dua isu lain yang turut diselitkan nanti adalah penghapusan had 2 penggal tempoh pemerintahan Yang di-Pertua Sabah dan kurangnya penyelarasan politik antara kerajaan negeri dan persekutuan.

5. Perjanjian Malaysia 1963 mungkin boleh diteruskan bila kerajaan negeri ‘sehaluan’ dengan kerajaan persekutuan

Jika korang masih ingat, salah satu janji PH dulu adalah nak mengangkat semula isu Perjanjian Malaysia. Namun bila dah diangkat dan dibahaskan, ada pulak yang taknak undi hinggakan usul MA63 dulu gagal diteruskan. Yang taknak undi tu adalah seramai 59 orang ahli parlimen, dimana pada ketika tu, kerajaan kekurangan 10 undi untuk teruskan RUU ke bacaan kali ketiga.

Ma63
Via Asklegal.my

Anwar Ibrahim pada 10 April 2019 salahkan ahli parlimen UMNO/BN yang tak nak undi malah tak beri penjelasan mengenai punca mereka berkecuali pulak. Ahli Parlimen Santubong yang merangkap bekas menteri Persekutuan, Wan Junaidi Tuanku Jaafar antara 59 ahli parlimen yang berkecuali ni kata pindaan usul tu cuma helah politik.

Tetapi ni semua berlaku kat zaman PH. Wujud persoalan jugak sama ada pindaan Perjanjian Malaysia ni akan diambil serius dalam kerajaan PN kali ni memandangkan mereka sendiri takde manifesto dan kebanyakan ahli politik yang bising pasal Perjanjian Malaysia dah diam dengan selesanya sebagai Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan pulak.

Ma63 Jeffery Kitingan
Dr. Jeffrey Kitingan adalah Timbalan Menteri Pelancongan sekarang.. Via Fernzthegreat.wordpress

Lima isu ini sudah tentu akan menjadi bahan utama dalam PRN Sabah, mana isu yang paling tak logik?

Lima isu ni diyakini akan dibangkitkan dalam kempen untuk memujuk hati serta meraih undi pada PRU15 kelak. Kisah Veveonah tu pun sebenarnya salah satu perkara yang amat mengecewakan rakyat Sabah khususnya anak muda, lagi-lagi bila tengok reaksi MP Kudat yang ‘melatah’ mempertahankan diri berbanding bertemu empat mata dengan Veveonah sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *