Ahli politik ni manusia yang bermacam ragam, kadang-kadang mereka ni tak tahu pun apa yang boleh menangkan hati rakyat dan apa yang buat rakyat rasa jengkel. Tu yang kadang-kadang kita tengok ahli politik buat pelik-pelik, sebab dia ingat itu yang rakyat suka nak tengok.
Apatah lagi kalau ahli politik tu berjawatan tinggi, sama ada ADUN, Exco, Menteri, penasihat – ramai cuba buat aksi dan adegan cari publisiti ikut suka dia. Kalau jenis yang suka memasak macam Ahmad Maslan, berjogging di pantai macam Anwar atau pandu lori sampah macam Zambry tu kami tak kisah sangat, sebab nampak juga keikhlasan dan konsisten.
Di sini kami nak highlight beberapa kejadian yang kami macam, apa lah yang diorang ni fikirkan…
1. Menteri Besar Selangor tak datang meeting sebab tersekat dalam kesesakan jalan raya
Menteri besar Selangor dakwa kesesakan lalu lintas yang teruk merupakan punca beliau tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR. Dia beranggapan masalah tu sering berlaku kerana Selangor “negeri maju”, Amirudin Shari berkata beliau sebenarnya mahu datang, tetapi “tersangkut” di jalan, seperti yang dilaporkan Malaysiakini.
“Saya cuba untuk hadir tetapi tidak dapat hadir dan saya sudah maklumkan tidak boleh [hadir] semalam. Sebabnya, trafik agak parah semalam dan jadual [lokasi program] saya juga agak jauh untuk sampai ke ibu pejabat PKR,” katanya. Saya masih di Selangor tetapi jalan sesak, Selangor banyak kereta, negeri maju,” – MB Selangor
Kalau difikirkan secara logik, benda ni lucu sebenarnya, dah macam takde alasan lain. Sebagai VIP, selalu je orang tengok diorang ni kena escort oleh pegawai polis. Kami cadangkan kat MB Selangor ni supaya gunalah alasan yang logik sikit, contohnya masa tu tengah demam ke, rasanya orang akan lebih percaya.
2. Exco Terengganu kantoikan diri sendiri
Pernah tak nampak kereta terbakar tepi jalan, kemudian ada orang akan cuba kawal lalu lintas? Sebab antara masalah kat Malaysia ni orang suka pandu perlahan bila nampak kemalangan. Itulah yang berlaku di Terengganu minggu lepas.
Cuma yang cuba kawal lalu lintas ni bukan calang-calang orang, dia Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Hanafiah Mat. Yang tak boleh tahan tu, dia post di Instagram sendiri siap pujian kepada diri sendiri. Lagi tak boleh tahan, masa video tu diambil dia sempat toleh belakang dulu pandang kamera, dan boleh dengar yang merakam cakap, “ha start, start, start…”.
Via Milosuam
Kalau nak menolong tu patut biarlah nampak ikhlas sikit, bukan sebab nak dapatkan likes dan pujian di Instagram.
3. Timbalan Menteri berdoa depan lubang
Jalan berlubang memang antara benda yang paling menyakitkan hati kat Malaysia ni, sebab terlalu banyak dan masa diambil nak tampal tu kadang-kadang bertahun walaupun lubangnya kecil je.
Punyalah lembab sistem kita ni sampaikan mantan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan BN, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, terpaksa berdoa di hadapan jalan berlubang untuk curi perhatian penguatkuasa.
Bayangkanlah seorang Timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan duduk bersila di atas jalanraya, ambil gambar sedang berdoa semata-mata sebab nak tampal jalan. Apa pun taktik dia berjaya dan makbul agaknya doa sebab jalan terus ditampal lepas tu.
4. Menteri Besar singgah beli Nasi Lemak Anak Dara
Kalau ingat sekitar tahun 2016 dulu kecoh satu Malaysia bila viral tentang nasi lemak anak dara di Shah Alam. Kami tak boleh pastikan nasi lemak anak dara ni sedap ke tak sebab tak berpeluang merasa, tapi kuasa viral tu punya mengancam sampai dia terima kunjungan seorang VIP.
Menteri Besar Selangor pada masa itu ialah Azmin Ali yang sekarang ini Menteri Hal Ehwal Ekonomi. Masa gerai nasi lemak ni tengah sensasi, dia turun membuat lawatan dan sempat photo op dengan gadis 24 tahun (pada masa) tu.
Sebenarnya seminggu sebelum kunjungan MB tu gerai tu dah disaman oleh penguatkuasa kerana tidak mempunyai lesen niaga yang sah, lagipun dia jual di tepi jalan. Kita pun dah nampak begitu banyak video peniaga bergaduh dengan penguatkuasa sebab jual di tapak haram atau tak ada lesen niaga. Tapi kami tak pasti kenapa gerai nasi lemak anak dara ni terlalu special sampai MB sendiri turun serah borang lesen niaga. Ada juga peniaga lain yang ungkit kenapa gadis tu mendapat layanan istimewa.
5. Menteri Besar Terengganu rosakkan bas
Awal tadi kami ada sebut tentang mantan Menteri Besar Perak pandu lori sampah. Kami okay je kalau menteri hendak merasa sendiri penat lelah orang bawahan ni bekerja.
Tapi apa yang jadi di Terengganu pada tahun lepas memang lucu. Mantan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman, sedang mencuba bas amfibia atau amphicoach yang boleh dipandu di atas darat dan dalam air dalam satu upacara pandu uji.
Waktu dia pandu uji bas bernilai RM3 juta tu di Sg Terengganu, bas rosak dan keadaan kritikal masa tu perlu diselamatkan oleh pasukan penyelamat. Ahmad Razif sendiri mengaku masa tu kejadian mungkin berlaku atas kesalahan dia sendiri kerana tak mempunyai pengalaman. Pendek kata, nak buat gimik atau pandu uji ke apa pastikan dah cukup latihan dan bukan suka-suka buat. Mujur tak karam bas tu.
Via The Malaysian Insight
6. Teringin jadi pelakon?
Antara perkara yang dah biasa kita lihat pada zaman politik moden ni ialah wakil rakyat membuat bermacam-macam video untuk menyampaikan mesej masing-masing kepada orang ramai. Ada yang buat ambil video buat kerja, video untuk ucap perayaan, video penerangan dan sebagainya.
Tapi kami tengok yang makin asyik dibuat ahli politik ni video mereka berlakon dan menyanyi. Dulu yang paling suka buat ni Khairy Jamaluddin lah, dan kami akui beberapa video dia seperti yang dia memandu teksi dan mengangkut sampah memang menjadi. Tapi semasa kempen untuk PRU-14, dia agak over apabila 3-4 video lakonan keluar, dan yang paling tak menjadi adalah video dia dengan Najib Razak yang orang tak ingat mesej disampaikan (bincang bola ke apa tah) tapi orang akan sentiasa ingat catchphrase “Aaaa tentu sekali!”.
Kalau sebelum PRU-14 tu dah macam-macam, yang selepas PRU lebih lucu. Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu (yang ramai rasakan ada iras pelawak Mazlan Pet-Pet) juga mencuba bakat berlakon filem Buntat arahan pelakon legend tanahair Sabri Yunos. Katanya babak yang dilakonkan sekejap je, tak sampai sejam dan lakonan pula di Taiping, Perak.
7. Dah yang ni nak jadi penyanyi pulak..?
Kalau ahli politik nak jadi pelakon tu mungkin dapat dimaafkan sebab berlakon kadang-kadang hanya perlu membawa watak diri sendiri. Tetapi menyanyi memang memerlukan bakat semulajadi, dan kalau tak ada bakat tu memang hancur.
Paling terkini mantan Perdana Menteri kita pula teringin nak jadi penyanyi, membuat klip video lagu “Harapan” dengan nada sayu dan sedih, sambil mengeluh nasib kehidupan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan bersama backup yang nampak bercampur sedih, gembira dan tersipu-sipu. Klip video ni agaknya nak bawa roh lagu “We are the World“, tapi kami rasa begitu janggal dan tak menjadi, kami hanya mampu tersengih.
https://www.youtube.com/watch?v=eInqJ6eKSnE&feature=youtu.be
Ini bukan kali pertama ahli politik negara ni buat klip video menyanyi pasca 9 Mei. Astro Awani dengan cubaan menangkap aura Malaysia Baharu pun buat klip video lagu Setia, dinyanyikan ahli politik tempatan termasuklah Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Hannah Yeoh dan Mahfuz Omar serta mantan Menteri Rohani Karim. 3-4 kali kami ulang dengar sebab terhibur dengan nyanyian yang penuh semangat ahli-ahli politik ni.
Nasiblah masing-masing tak jadi penyanyi.
YB, sedar diri okay?
Rasa banyak lagi kejadian dan percubaan mencari perhatian lain ahli politik negara ni tapi kalau nak tulis satu persatu boleh jadi certot. Kami nak nasihatkan ahli politik untuk berhenti lakukan sketsa macam ni pun tak guna sebab mesti ada juga yang buat (dan sejujurnya ia memang menghiburkan). Tapi kami cuma nak cakap harap bolehlah sedar diri dan fokus pada tugasan sendiri dulu, tak perlu nak cari publisiti lebih-lebih.