Taman Tun Dr Ismail katanya tempat elit, tapi ramai tak tahu sejarah disebalik namanya

Taman Tun Dr Ismail Ttdi Theedgemarkets
Taman Tun Dr Ismail katanya tempat elit, tapi ramai tak tahu sejarah disebalik namanya

Kalau dengar nama Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, tentu korang terbayang tempat tinggal orang loaded. Ya lah, sana rumah teres lama pun harga dah berjuta-juta, belum kira banglo dia. Sampai ada istilah ‘Melayu TTDI’, merujuk kepada geng-geng  Melayu yang duduk kat TTDI, maksudnya diorang bukan je loaded, tapi lebih mesra untuk gunakan bahasa Inggeris dalam perbualan.

Tapi korang kenal tak nama disebalik TTDI?

TTDI ni dinamakan sempena Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Pada tahun 1957-1959 dia pegang dua jawatan penting – Duta pertama Malaysia ke Amerika Syarikat dan ke PBB. Selepas tu dia jadi Menteri Hal Ehwal Luar (sekarang Menteri Luar). Waktu itu timbul kontroversi bila PM Tunku Abdul Rahman kata akan tiba masa Tanah Melayu kena iktiraf Negara Komunis China, memandangkan Darurat baru berakhir dan Parti Komunis Malaya masih berperang dengan Tanah Melayu.

MRT TTDI. Via FMT

Tunku meredakan keadaan dengan tidak berjumpa dengan Dr Ismail. Akhirnya Dr Ismail dipindahkan ke Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Atas kapasiti ini dia bertanggungjawab untuk kuatkuasakan ISA. Selepas meletak jawatan pada 1967 atas faktor-faktor kesihatan, Dr Ismail kata dia pelik dia tak menjadi orang paling dibenci di negara kerana bertanggungjawab menggunakan undang-undang kontroversi tu.

Tapi pada 14 Mei 1969, sehari selepas rusuhan berdarah 13 Mei, Tunku Abdul Rahman menghantar pengiring polis untuk menjemput Dr Ismail. Dia dipujuk untuk sertai semula kerajaan sebagai Menteri Dalam Negeri. Kerajaan ditadbir menerusi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Pengarah Operasi MAGERAN adalah Tun Razak manakala Timbalan Pengarah Operasi merupakan Dr Ismail.

Dr Ismail, sebelah kanan. Via Utusan

Timbul cadangan ketika itu untuk isytihar undang-undang tentera atau memperkenalkan pemerintahan berbentuk diktator di peringkat tertinggi kerajaan, tetapi Dr Ismail tak bersetuju. Dia antara pengaruh utama yang mendesak kuasa dipulangkan ke Parlimen bila keadaan pulih. Pada waktu tu, Tunku yang semakin kehilangan kuasa kurang diyakini masyarakat Melayu manakala Tun Razak pula tidak dipercayai sepenuhnya masyarakat Cina.

Ketika Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak kurang dipercayai, Dr Ismail dipercayai hampir semua orang

Dr Ismail dengan reputasi tegas dan adilnya diyakini hampir kesemua kelompok, kata Tengku Razaleigh Hamzah. Ini kerana selepas Dr Ismail membuat sesuatu keputusan, dia takkan berganjak daripadanya. Selepas Tunku memaksa ‘ultras Melayu’ ketika itu – Dr Mahathir Mohamad dan Musa Hitam keluar dari UMNO, Dr Ismail sebagai Menteri Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan:

“Golongan ultras ini percaya teori liar dan hebat dominasi total satu kaum ke atas masyarakat yang lain, tanpa mengambilkira Perlembagaan. Polarisasi telah bertapak di dalam politik Malaysia dan golongan ekstremis kaum di dalam parti memerintah membuat cubaan terdesak menjatuhkan pimpinan hari ini.”

Pada tahun 1970, Dr Ismail dimaklumkan Razak menghidap leukemia. Hanya Razak, Dr Ismail dan pasukan perubatan Razak tahu rahsia ni. Bila Tunku meletak jawatan sebagai PM dan Razak menggantikannya, Dr Ismail dilantik sebagai TPM. Antara muslihat yang diguna Razak untuk mendapatkan rawatan secara rahsia ialah ‘melawat Dr Ismail’ tetapi kemudian pergi ke bangunan berhampiran untuk dirawat.

Tak lama kemudian, Dr Ismail mendapati dia ada ketumbuhan di lehernya. Keluarga dia minta dia bersara sekali lagi. Tapi dia menolak, termasuk menolak membuat pembedahan jantung, atas rasa tanggungjawab membantu Razak. Dr Ismail mengalami 3 sakit jantung dalam 2 minggu pada Julai 1973. Waktu tu Tun Razak berada di Kanada untuk urusan kerja, jadi Dr Ismail memangku jawatan PM. Dr Ismail bercadang letak jawatan lepas kepulangan Razak.

Via Giphy

Sebulan kemudian, dia terkena sakit jantung lagi sewaktu berada di rumah. Menteri-menteri mula tiba ketika doktor berusaha menyelamatkan Dr Ismail. Keluarga dia rasa tak berapa senang ketika doktor masih berusaha, para menteri berbincang masa depan negara kerana PM masih berada di luar negara dan TPM sedang nazak. Lepas 5 jam, Dr Ismail meninggal dunia.

Walaupun pemimpin kanan UMNO, Dr Ismail dikenali kerana pendekatannya yang inklusif

Dia gila bermain golf, dan dia sifatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sama seperti ‘handicap’ golf. Kata Dr Ismail “…pimpinan Parti Perikatan sedar keperluan praktikal memberikan orang Melayu ‘handicap’ agar mereka boleh bersaing secara sama rata dengan kaum-kaum lain. Kontroversinya hanya satu – tempoh ‘kedudukan istimewa ini’ – adakah patut ada tempoh masa atau bersifat kekal?

“Saya membuat cadangan, yang diterima, bahawa persoalan ini dibiarkan kepada orang Melayu sendiri, kerana apabila semakin ramai orang Melayu mendapat pendidikan dan menjadi semakin yakin, mereka sendiri akan tidak mahu ‘kedudukan istimewa ini’ kerana ia adalah penghinaan terhadap kebolehan orang Melayu dan hanya diterima kerana ia perlu sebagai langkah sementara untuk pastikan survival mereka di dalam dunia moden yang kompetitif.:dunia yang mana hanya mereka di kawasan bandar saja didedahkan.”

Tun Dr Ismail. Via Youtube

Dia juga pernah bertanya, “Kenapakah kita berjuang untuk Merdeka? Supaya kaum yang berbeza boleh berpecah-belah? Ini tentu bukan sebabnya kan? Ini tentu bukan sebab semua pimpinan hebat Melayu dan UMNO berjuang.” Dia berharap akan timbul wacana baru. Kenapa kita membina Malaysia? Malaysia macam mana yang kita bina? Apakah yang Malaysia sepatutnya lambangkan?”

Tak sampai 3 tahun lepas Dr Ismail meninggal dunia, Tun Razak pula meninggal dunia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top