Desas-desus PRU15 semakin kedengaran. Sejak awal tahun lagi, kita sebagai rakyat seolah-olah ‘disediakan’ untuk menghadapi satu lagi pilihan raya umum. Prestasi parti-parti politik terus dinilai dan diperhatikan. Di kem kerajaan, UMNO-BN terus bersinar dan berjaya cipta momentum. Sebaliknya di kem pembangkang, ramai penganalisis andaikan kelemahan ni berpunca dari perpecahan luar dan dalam barisan pembangkang.
Kini selepas sidang pemilihan PKR tamat dan tersusunnya organisasi baharu mengepalai parti tu, adakah muncul sinar baharu buat pembangkang? Ramai penganalisis masih positif tentang kekuatan pembangkang, namun ada syarat yang perlu difikirkan.
Rafizi Ramli tak rasmi menang jawatan Timbalan Presiden, penganalisis politik tegur prinsip terdahulunya
Baru-baru ni selepas sidang pemilihan PKR, Rafizi Ramli diumumkan secara tak rasmi berjaya menang jawatan timbalan presiden PKR. Rafizi Ramli sebelum ni dikatakan menolak idea ‘khemah besar’ dengan parti-parti pembangkang lain, jadi mungkinkah dengan jawatan baharunya, dia akan pertimbangkan semula atau terus pegang prinsipnya tu?
Persoalan ini dikupas oleh sorang penganalisis politik Azmi Hassan. Baginya, Rafizi kena bersikap pragmatik lagi-lagi selepas menyandang jawatan kedua parti tersebut. Sekiranya strategi ‘khemah besar’ tu tak dapat direalisasikan, BN bakal dapat laluan mudah dalam PRU15 nanti.
“Dalam hal ini Rafizi terlampau idealistik dalam strategi politiknya dalam menolak khemah besar. Mahu tidak mahu, strategi berkonsep ‘khemah besar’ itu diperlukan, di mana Pakatan Harapan bersama-sama dengan kumpulan pembangkang yang lain perlu bekerjasama dalam hal ini.
Ideologi politik itu adalah penting. Tapi seperti yang dikatakan tadi, Rafizi perlu pragmatik, tidak boleh terlampau idealistik menolak kerjasama kerana pembangkang harus berada dalam satu khemah, tidak kira pembangkang itu mempunyai perjuangan berbeza dengan PKR ataupun PH.
Kalau konsep khemah besar itu tidak direalisasikan 100 peratus, maka BN sudah pasti mendapat laluan mudah,”- Azmi Hassan, seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Bagi Rafizi yang menolak idea tu, pendekatan ‘khemah besar’ ni dia sifatkan sebagai nak cari ‘khemah baru’ dan bukannya selesaikan masalah sedia ada. Selain tu, sebelum ni dia turut berpandangan PKR tak boleh bekerjasama dengan Bersatu. Bersatu dianggap pengkhianat dalam PH, sehingga jadi punca kerajaan PH tumbang melalui Langkah Sheraton 2 tahun lalu.
Meskipun begitu, Azmi yakin Rafizi akan lebih pragmatik kelak bila dah rasminya pegang jawatan timbalan presiden.
“Bila memegang jawatan itu, seseorang itu perlu pragmatik, perlu lebih letak kepentingan prinsip diri sendiri tu di belakang sikit. Kena mementingkan prinsip dan ideologi kepentingan parti terlebih dahulu,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Sementara tu, Shamsul Amri Baharuddin kata walaupun Rafizi dapat mandat besar dari ahli PKR dalam pemilihan parti.. dia masih tak boleh buat banyak perubahan dalam parti tu dalam masa terdekat. Anwar Ibrahim masih lagi ketuai PKR dan PH. Kalau Rafizi menang, ia bawa harapan baru kepada penyokong PKR, bukan kepada PH.
Anwar tentu akan lebih pragmatis terima idea Rafizi jika pandangan tu yang dilontarkan melalui perbincangan dalam PKR dan bersama rakan dalam PH. Menurut Shamsul, Rafizi ni anak didik Anwar dan dibesarkan dalam dunia politik bawah payung dan patronage (naungan) Anwar. Politik naungan Melayu dilihat masih sangat kuat, iaitu taat kepada penaung dan pelindung.
Idea ‘khemah besar’ masih hidup, strategi akan satukan parti pembangkang lain
Menyentuh idea ‘khemah besar’, Amanah kata akan terus berjuang nak satukan parti pembangkang di bawah ‘khemah besar’ menjelang PRU15. Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berpendapat strategi ‘khemah besar’ ni tak seharusnya dilihat membabitkan PH je. Ia perlu libatkan parti-parti lain termasuk Pejuang, Warisan dan Muda.
“Pendirian Amanah ialah pembangkang perlu disatukan. Ini termasuk Pejuang, Warisan dan Muda. Apa perlukan khemah besar untuk PH. Semestinya konsep khemah besar melibatkan selain PH, tetapi hanya pembangkang,”- Khalid Samad, seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Pejuang sebelum ni mengesahkan diorang tak lagi akan bergerak solo untuk PRU akan datang. Pihaknya dah buat pertemuan tak rasmi dengan parti-parti lain sama ada parti dalam kerajaan, pembangkang atau parti-parti berkecuali. Bagaimanapun, Mukhriz kata setakat ni perbincangan diorang tak libatkan PKR lagi.
“Kemungkinan besar kita tidak akan sertai PRU15 dengan berseorangan. Jadi kita memang dah bincang dengan beberapa parti termasuk parti kerajaan, pembangkang dan parti yang tidak menyokong mana-mana pihak (berkecuali).
Perbincangan itu dibuat secara tidak formal dan perbincangan formal akan diadakan dalam masa terdekat. Kita terbuka untuk kerjasama ini, baik dari segi gabungan atau pakatan literal,”- Mukhriz Mahathir, seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Sambung Khalid Samad lagi, Amanah akan berusaha nak bertemu dan bincang dengan semua parti pembangkang tak hanya libatkan PH. Konsep khemah besar tu difikirkan masih perlu, dan akan mengukuhkan barisan pembangkang bagi menghadapi UMNO-BN dan parti pro-kerajaan.
Bagi kami, strategi khemah besar ni harus dipertimbangkan sebaiknya. Ada kebenaran di sebalik pendapat penganalisis politik tadi. Bahkan sebelum ni pun, perpecahan kem pembangkang banyak dilihat menyumbang kepada ketidakyakinan pengundi dalam pilihan raya. Tiba masanya untuk pembangkang menyerlah kembali dan menjadi alternatif baharu buat rakyat.