Bulan lepas kami ada cerita tentang anggota Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dipanggil oleh pihak polis ke Bukit Aman untuk disoal siasat kerana “dikatakan” ada tulisan di Twitternya pada Mac lalu yang timbulkan rasa tak puas hati sesetengah pihak. Dalam tweet tu, Hannah persoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah timbalan menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff. Masa kami tulis artikel pasal Hannah Yeoh ni, kami terkejut jugak; sebagai ahli Parlimen, memang tugasnya pun untuk lakukan pertanyaan berkenaan dasar-dasar politik.
What will happen to our national road map to fight child marriage with the appointment of MP from PAS as deputy minister of @KPWKM?
— Hannah Yeoh (@hannahyeoh) March 9, 2020
Apa-apa pun pihak polis ada buat penjelasan yang diorang dah tahu siapa “dalang” disebalik semua kekalutan ni. Apa yang lebih mengejutkan, ia dilakukan oleh pasukan “Muafakat Nasional” tu sendiri. Dia macam inilah, dia yang buat benda tu jadi kecoh, lepas tu dia sendiri pergi lapor polis dengan harapan orang yang dia tuduh tu akan dikenakan tindakan undang-undang. Kami cakap macam tu kerana pasukan penyokong dari kerajaanlah yang paling lantang mintak pengadilan terhadap Hannah Yeoh berhubung kes ni.
Polis dapati muafakatnasional.net yang sebabkan kekeliruan pada hantaran Hannah Yeoh, dah ambil kenyataan diorang
Polis dikatakan dah tahu siapa dalang yang buat hantaran berbaur hasutan terhadap bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kata, siasatan polis dapati hantaran berbaur fitnah berkenaan berpunca daripada poster dibuat oleh portal muafakatnasional.net. Katanya, siasatan polis dedahkan hantaran yangjadi fakta isu dalam kes ini adalah daripada poster yang dibuat oleh muafakatnasional.net dan bukan daripada Twitter atau Facebook Hannah Yeoh.
Jadinya, tanggapan kita tentang siasatan ni terjadi disebabkan dari Twitter Hannah Yeoh mungkin dah meleset. Ceritanya mungkin; ada orang ambik ciapan Twitter Hannah Yeoh, kemudian dia buat poster dengan salah tafsir konteks ciapan tu. Akhirnya orang ramai jadi marah, dan ada yang sampai level pergi lapor polis. Disebabkan benda ni, polis lakukan siasatan terhadap Hannah Yeoh. Cuma kasihan jugaklah dekat Hannah Yeoh, disebabkan sikap tak bertanggungjawab sesetengah orang, dia kena hadap pulak siasatan polis.
“Susulan itu, polis sudah merakam keterangan seorang individu untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas gajet yang dipercayai digunakan untuk memuat naik posting berkenaan,” – Hamid Bador, seperti yang dilakukan Sinar Harian
Abdul Hamid kata, kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya. Pada 23 Jun lalu, Hannah ditemani peguamnya, Gobind Singh Deo dan Syahredzan Johan hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Hannah disiasat berhubung satu catatan sebelum ini di Facebook yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah Timbalan Menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff. Hannah bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan berkenaan. Kes tu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Walaupun bunyinya agak “kurang cerdik”, tapi masih ramai yang percaya semua benda di Internet tu benda betul
Salah satu masalah yang berlaku di media sosial adalah – masih ada sekelompok masyarakat yang fikir semua benda yang ada di Internet tu adalah benda yang betul. Akibatnya, apabila ada berita-berita palsu, lebih-lebih lagi berita palsu tu melibatkan orang atau kumpulan yang diorang benci, diorang akan ada reaksi melebih-lebih. Samalah macam isu Hannah Yeoh ni, benda tu dilakukan oleh pihak ketiga yang memang nak bagi imej buruk pada Hannah, imej buruk ni pulak diterima orang-orang yang kami sebutkan tadi.
Sebab itulah sebagai pembaca di Internet, kita kena selalu lakukan perbandingan, lebih-lebih lagi kalau berita sensasi tu melibatkan orang atau kumpulan yang kita tak suka. Kami tak kata kumpulan ni tak akan buat silap atau jenayah, tapi tak salah kita berhati-hati dalam membaca berita di Internet. Cuba bayangkan ada cerita tentang kita yang diambil di luar konteks, tiba-tiba ia jadi tular dan polis pulak nak lakukan siasatan terhadap kita, dah tentu kita pun akan rasa marah.
Nak tahu berita tu sahih atau tak, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Cuma, cara paling simple kami boleh lakukan adalah – pergi portal-portal berita yang dah besar macam Astro Awani, Sinar Harian, MalaysiaKini, Bernama dan seumpamanya. Ia tak bermaksud portal-portal berita ni mustahil untuk laporkan berita palsu, tapi kalau korang nampak kes tu dilaporkan di semua portal-portal berita ni, kemungkinan besar peristiwa tu betul-betul terjadi. Sebab diorang ada sumber yang besar dan akan jaga reputasi.
Jadinya, jangan lupa ye, tak semua benda yang ada kat Internet tu adalah cerita atau berita yang betul. Berita palsu dan hasutan memang senang nak tersebar melalui Internet. Jadilah pengguna Internet yang bijak gitu, supaya tak kena kencing dengan berita-berita palsu.