Kadar peratusan keluar pengundi muda rendah dalam PRN Johor, tanda Undi18 gagal?

pengundimuda

Pertama kali dalam sejarah pilihan raya kita, para pengundi muda kini disekalikan dalam demografi suara yang dikutip dalam peti undi. Dahulu, ramai yang tolak idea dan kemungkinan anak muda berusia 18 hingga 20 tahun ni buang undi bersama-sama ibu bapa dan sanak-saudara yang dah lebih 21 tahun. Sekarang bila Undi 18 dengan rasminya termaktub dalam undang-undang negara; ramai jugak teruja nak tengok sejauh mana pengundi muda ni benar-benar peduli dengan pilihan raya. Kita dapat peluang tersebut dalam PRN Johor yang dah diadakan pada 12 Mac lalu.

Seimbas lalu, PRN Johor jugak menampakkan beberapa wajah baru – baik dari parti baharu, calon muda yang baharu dan bilangan calon wanita yang lebih ramai dari PRU14. Undi 18 turut diletakkan sebagai ‘highlight’ PRN Johor setelah disebutkan bakal menjadi penanda aras kepada penglibatan anak muda 18 hingga 20 tahun. Namun begitu, ada jugak yang ada Undi 18 ni kurang sambutan dan suram. Ada jugak mendakwa Undi 18 ni suatu yang ‘gagal’ dalam PRN Johor. Betul ke?

undi18
Via Sinar Harian

Jumlah peratusan pengundi muda hanya di bawah 5%, mungkin kerana rasa protes anak muda

Dalam PRN Johor yang lalu, kadar keseluruhan yang keluar mengundi sebenarnya agak rendah iaitu 54.92%. Daripada kadar ini, peratusan pengundi muda dianggarkan hanya di bawah lima peratus. Bagi penganalisis politik USM, Prof Dr. Sivamurugan Pandian… jumlah tu sangat kecil. Jumlah keseluruhan pengundi muda yang didaftarkan di negeri Johor adalah 173,177 orang. Terdapat beberapa faktor yang difikirkan mungkin menyebabkan anak muda taknak turun.

“Antara faktor keadaan ini berlaku mungkin disebabkan rasa protes anak muda terhadap keadaan politik negara dan mereka beranggapan kalau mereka sokong mana-mana parti pun keadaan negara tetap sama.

Mereka berfikiran begitu mungkin dipengaruhi oleh interaksi dengan orang tua mereka dan orang sekeliling. Kalau mereka dpaat informasi yang tidak menarik sebegitu, sudah pasti mereka fikir buang masa sahaja keluar mengundi,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
johorundi18
Via Bernama
Sivamurugan menegaskan lagi, anak muda berusia 18-20 tahun ni boleh dikira matang untuk berfikir dan dijangka akan ambil pendirian politik sendiri. Pendirian politik tu pun dipengaruhi banyak faktor di sekeliling diorang termasuklah ibu bapa dan rakan sebaya.
“Pada peringkat awal dijangkakan rakan sebaya akan memainkan peranan untuk pengundi 18 ini keluar mengundi sama seperti kalau rakan minat Korea Pop (K-Pop), rakannya pun akan minat, tetapi dalam PRN Johor, situasi itu tidak berlaku. Selain itu informasi yang sampai kepada golongan pengundi 18 ini juga mempengaruhi mereka. Mungkin mereka merasakan manifesto yang diketengahkan mana-mana parti tidak memenuhi kemahuan dan keperluan mereka seolah-olah pihak berwajib tidak membaca pemikiran mereka,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
pru13 / parlimen wangsa maju
Via Berita Harian
Di samping tu, boleh jadi calon yang dipilih parti sesebuah kawasan tu tak memenuhi kemahuan orang muda. Diorang tak nampak calon tu sebagai sorang yang boleh diteladani dan dijadikan contoh. Boleh jadi ni pun disebabkan oleh pengaruh perang psikologi, keluarga, kawan dan sebagainya. Perkara ni turut dilaporkan Bernama. Calon muda berusia bawah 30 tahun yang bertanding dalam PRN Johor dilihat masih belum memperoleh mandat dari penduduk negeri Johor. Daripada 8 calon bawah 30 tahun; hanya Amira Aisya Abd Aziz dari Muda yang berjaya dapat kerusi di DUN Puteri Wangsa.
Sementara tu, 14 calon daripada 63 calon yang berusia bawah 40 tahun mempamerkan prestasi cemerlang bila diorang berjaya dapat mandat daripada penduduk di Johor. Misalnya, calon PH Marina Ibrahim yang berusia 34 tahun mewakili DAP, pertama kali bertanding untuk DUN Skudai menang dengan majoriti paling besar dalam kalangan calon muda berusia 40 tahun dan ke bawah.
marinaibrahim undi18
Via Astro Awani

Pengundi muda perlu ditanamkan kesedaran politik, sebilangan pengundi bukan Melayu dilihat tak sokong mana-mana parti

Selain isu calon, Sivamurugan menambah lagi kemungkinan bahawa golongan muda ni masih tak tahu diorang dah didaftarkan secara automatik sebagai pemilih. Oleh sebab diorang tak tau, ni menyebabkan diorang tak turun mengundi pada hari pengundian lalu. Untuk pengetahuan korang, pendaftaran pemilih secara automatik dahpun berkuatkuasa pada 15 Disember selepas pindaan diwartakan pada 1 Disember. Dalam anggaran SPR, seramai 1.2 juta orang pemilih baharu terlibat dalam Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA).

undi18 prnjohor
Via e-Central

Justeru tu, Sivamurugan sarankan agar kesedaran politik perlu diwujudkan dalam kalangan rakyat seawal usia 13 tahun supaya diorang dapat ambil bahagian dalam pilihan raya dengan turun mengundi demi proses pembangunan negara bangsa. Kesedaran politik tu tak semestinya nak sokong parti atau ideologi semata-mata, sebaliknya kena tahu bahawa ia merupakan hak dan tanggungjawab bersama ke arah masa depan negara yang lebih baik.

“Kewajipan keluar mengundi bukan untuk menyokong mana-mana parti atau menyokong mana-mana ideologi tetapi mereka perlu tahu hak dan tanggungjawab mereka bagi membolehkan negara maju ke hadapan. Literasi dan celik politik ini sangat penting selepas pasca PRN Johor ini,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani

undimuda18
Via Benar News

Isu pandangan politik dan protes ni pun sedikit sebanyak mempengaruhi pola pengundian antara pengundi muda Melayu dengan bukan Melayu. Sivamurugan jelaskan, protes dalam kalangan pengundi Melayu lebih rendah berbanding pengundi muda bukan Melayu. Jelasnya:

“Pandangan politik antara pengundi muda Melayu dan bukan Melayu juga berbeza dan semuanya bergantung kepada percaturan politik parti yang disokong ibu bapa mereka yang seterusnya memberi kesan kepada ibu bapa sama ada mahu keluar mengundi atau tidak.

Secara umumnya, pengundi kaum lain juga akan mengikut ibu bapa mereka. Kalau ibu bapa mereka keluar mengundi, mereka ikut sama. Namun dalam keadaan kelesuan politik ketika ini, rata-rata pengundi bukan Melayu mungkin buat keputusan untuk tak sokong mana-mana parti pun dan mereka mempengaruhi anak-anak mereka,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
doc7jdzl06g0c6m6nures9
Via Majoriti.com.my
Berkenaan kecenderungan politik, Thomas Fann merangkap Pengerusi Bersih pernah kata, golongan pengundi muda masih takde kecenderungan nak fikir sangat soal politik. Faktor tersebut menyaksikan kenapa golongan tersebut lebih memilih untuk tak turut serta mengundi pada PRN Johor baru-baru ni. Dinamika dan iklim politik semasa dua tahun kebelakangan ni jugak menyaksikan rakyat termasuk golongan tersebut seakan dah bosan dengan retorik politik. Diorang lebih tertarik pada isu kos sara hidup, perumahan, peluang pekerjaan dan pendidikan – semuanya isu yang meruncing dan menggelisahkan hati akibat pandemik. Walau bagaimanapun, impak Undi 18 ni akan terasa dalam pilihan raya akan datang dengan kesedaran yang lebih untuk keluar mengundi.
Undi 18 ni sebenarnya suatu perkara yang masih baharu dan kami percaya, akan perlahan-lahan diterima baik lalu digunakan sebaiknya sebagai landasan suara golongan muda untuk menuntut hak dan keperluan diorang ke arah masa depan generasi akan datang yang lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *