Sejak Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya ke 14 pada bulan Mei 2018 tahun lalu, ia tidak surut daripada gelombang serta ribut berita angin. Daripada siri kenyataan media yang bersifat ‘bloopers’ dan pindaan akta yang menimbulkan pelbagai reaksi, para pimpinan PH tidak sunyi daripada menjadi bahan ‘troll’ warganet. Antara perkara yang konsisten dibincangkan – dari dewan Parlimen sehingga ke Warung Pak Semaon, adalah bila Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun Dr. M) akan menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI)?
Jika pada peringkat awal Tun Dr. M sendiri yang mengumumkan kepada rakyat berkenaan tempoh transisi selama dua tahun, kini ramai pula pemimpin di sekeliling dia yang menyatakan bahawa Tun Dr. M berhak untuk menghabiskan satu penggal (5 tahun) untuk menjawat kerusi nombor satu itu.
Tinjauan berkenaan siapa pilihan rakyat untuk jadi PM, Anwar dahului carta
Beberapa hari lepas, satu program diskusi buku bertajuk “Anwar PM ke-8” tulisan Shahbudin Husin telah dijalankan kat Shah Alam. Dalam majlis tu, satu tinjauan yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) telah dibentangkan. Tinjauan tu menyaksikan 75 peratus responden berpandangan bahawa Tun Dr. M tidak sepatutnya kekal sebagai Perdana Menteri selama dua tahun. Daripada 75 peratus itu, 44 peratus berkata Tun Dr. M perlu lepaskan jawatannya dalam masa enam bulan dari sekarang.
Kemudian, sebanyak 36 peratus pula berpandangan Tun Dr. M tidak seharusnya memegang jawatan Perdana Menteri lebih daripada dua tahun, manakala 20 peratus mahu dia meletakkan jawatan segera. Sementara tu, dapatan tinjauan itu juga dapati bahawa hanya 22 peratus responden berkata tidak ada keperluan untuk Tun Dr. M melepaskan jawatannya.
Dalam tinjauan IDE tu, DSAI mendahului senarai calon yang dirasakan sepatutnya menggantikan Tun Dr. M dengan 45 peratus. Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menduduki tempat kedua dengan 16 peratus manakala timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menduduki tempat ketiga dengan 11 peratus. Tinjauan itu dikeluarkan oleh IDE yang juga merupakan badan pemikir kerajaan Selangor itu juga menyaksikan satu peratus responden menginginkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menjadi pengganti Tun Dr. M.
Selebihnya, iaitu 27 peratus bagi ahli politik lain seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan enam peratus, Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang dengan tiga peratus, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan dengan tiga peratus, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan satu peratus.
Tentang janji, setiakawan dan teka-teki…
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tun Dr. M telah berjanji bahawa dia akan menyerahkan jawatan tertinggi itu kepada Presiden PKR, DSAI dalam masa beberapa tahun. Walaubagaimanapun, tempoh sebenar dia akan memegang jawatan Perdana Menteri masih tak jelas. Pada Jun 2018, dia menyatakan bahawa tempoh jawatannya tidak semestinya berakhir dalam tempoh dua tahun. Perdana menteri yang telah dua kali dilantik itu mengatakan bahawa ia hanyalah satu cadangan yang tidak tetap. “Boleh jadi lebih awal, boleh jadi lebih lewat”, katanya.
Meskipun Tun Dr. M sebelum ini pernah katakan bahawa dia akan melakukannya dalam masa dua tahun, selain berulang kali menegaskan akan menyerahkan jawatan kepada DSAI, tempoh sebenar masih beliau memegang jawatan Perdana Menteri masih menjadi persoalan.
Tinjauan ni telah dijalankan selama tiga hari dari 28 hingga 30 Jun lalu. Seramai 1,597 responden wakil dari 222 kerusi Parlimen di Malaysia telah ditemu bual. Kajian yang dilakukan secara temu bual secara berdepan ni merangkumi ahli politik daripada Kerajaan dan blok Pembangkang. Ia dibentangkan sebagai sebahagian daripada ‘Malaysia Survey 2019: Mood of the Nation’, yang digerakkan oleh IDE. Para responden terdiri daripada pelbagai etnik dan latar belakang sosio-ekonomi yang berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif IDE, Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman kata – kajian tu juga menunjukkan pandangan bahawa Tun Dr. M harus dibenarkan memimpin lebih dua tahun hanyalah satu persepsi. Penasihat media dan komunikasi Tun Dr. M, Datuk Abdul Kadir Jasin yang tampil sebagai salah-seorang panelis pula, percaya bahawa peralihan kuasa daripada Tun Dr. M kepada DSAI, akan berlaku seperti dijanjikan.
“Dalam mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia baru-baru ini, Dr Mahathir lagi sekali mengulangi katanya akan menepati janji peralihan kuasa. Beliau berkata ‘saya janji saya akan tepati. Mungkin ketika ini yang diperbahaskan sehingga menimbulkan kerisauan dari masa ke masa ialah bila (tarikh peralihan)… ia mungkin dalam tempoh dua tahun atau lebih dua tahun,” – Kadir Jasin
Tapi, tak semua setuju DSAI ganti Tun Dr. M, ada je orang bidas kajian ni
Kajian ni mendapat pelbagai reaksi, dan menjadi topik yang hangat dikupas, apalagi susulan teguran secara terbuka oleh 28 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ahli Parlimen PKR yang meminta DSAI menjalankan tugas mengukuhkan kembali parti itu yang sedang hadapi keretakan. Teguran yang diketuai oleh Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin itu dilakukan tatkala partinya itu sedang berdepan konflik sejak penyebaran klip video intim yang berkaitan dengan seorang menteri Kabinet. Tapi nampaknya diorang dah adakan retreatkan, mungkin dah selesailah tu kat sana.
Dalam satu perkembangan lain, Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Menteri Persekutuan, Redzuan Yusof mempertikaikan jumlah responden yang terlalu sedikit dan tidak mewakili rakyat terbanyak, selain mendakwa IDE mempunyai kaitan dengan pimpinan PKR. Redzuan menyatakan bahawa dia juga boleh melakukan tinjauan di bahagiannya sendiri, yang mempunyai 3,000 orang ahli, yang akan menyokong Tun Dr. M sebagai Perdana Menteri.
Kongres Kesatuan Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pula membidas kajian IDE itu, dengan menyatakan bahawa tidak perlu mana-mana pihak menjalankan kaji selidik mengenai berapa lama Tun Dr. M patut memegang jawatan Perdana Menteri. Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon, berkata bahawa pemimpin berusia 94 tahun itu mesti diberi seberapa banyak masa dan ruang yang diperlukannya untuk meletakkan ekonomi negara pada landasannya semula.
Isu ni semakin meruncing, mungkin tarikh peralihan kuasa perlu ditetapkan
Isu peralihan kuasa ini bukan hanya dibincangkan oleh rakyat Malaysia, bahkan pelabur asing yang mahu kepastian apakah kepimpinan negara akan diserahkan kepada DSAI. DSAI pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Dr. M pada tahun 1993, tetapi kemudiannya dipecat pada tahun 1998. Selepas 2 dekad bertarung dengan pelbagai silat politik kat luar Kerajaan, DSAI kini melahirkan rasa yakin dia mempunyai sokongan diperlukan untuk menjadi Perdana Menteri kelapan Malaysia.
Ironinya, dia masih berdepan dengan orang yang sama yang pernah memecatnya suatu ketika dahulu. Adakah kali ini DSAI akan berjaya?