Secara umumnya, kita dah lama tahu bahawa negara kita ni boleh dikatakan sebagai bumi bertuah. Risiko terjadinya bencana alam tu tak setinggi negara-negara lain, terutamanya yang terletak di Lingkaran Api Pasifik. Bukan tu je, secara sejarahnya kita jugak banyak tertulis sebagai lokasi perdagangan bahan galian lain seperti emas, bijih timah dan lain-lain.
Oleh sebab tu, pengumuman baru-baru ni di Kedah sebenarnya takdelah mengejutkan sangat pun. Malah, ia diterima baik oleh warganet sehingga ramai dah gelar Kedah sebagai ‘Wakedah’, macam Wakanda dalam filem Black Panther dulu. Betul ke Kedah bakal jadi ‘Wakedah’ nanti?
Ada kata tu alasan MB Kedah nak membalak je, dah siap bagi permit teroka mineral bernilai RM60 bilion
Sebelum tularnya gelaran ‘Wakedah’ ni, berita penemuan mineral baharu disampaikan oleh MB Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada awal bulan ni. Menurutnya, elemen nadir bumi (REE) ni lebih mahal daripada emas dan biasanya digunakan dalam industri pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan peranti lain.
Elemen nadir bumi ni sebenarnya dah lama ditemui dan berada dalam pengetahuan kerajaan negeri sejak 20 tahun lalu, tapi tak diusahakan je. Ia juga takde radioaktif, dan didapati di bawah muka bumi Sik, kawasan UIu Muda, Baling serta sedikit di Lenggong, Perak. Mengulas lebih lanjut, penemuan ni jugak telahpun dibawa ke pengetahuan Kerajaan Persekutuan dan dah luluskan rangka dasar mineral negara yang baharu.
Susulan makluman tentang penemuan ni disebarluas pulak, ramai yang puji… tak kurang jugak mereka yang masih tertanya-tanya pasal isu ni. Ye lah, isu mineral dalam tanah ni bukanlah isu yang harus ditekankan perihal keuntungan. Kita pun kena fikirkan strategi dan kesannya kepada penduduk serta alam sekitar.
Oleh sebab tu jugaklah, timbul beberapa spekulasi bahawa ni hanyalah sandiwara MB Kedah untuk membalak je. Dalam pandangan sorang warganet di Facebook, pengumuman macam ni dah pernah berlaku di Kelantan. Kerajaan negeri dikatakan dakwa ada emas, bahan mentah lain… akhirnya kayu balak tu jugak yang ‘diteroka’.
Pengumuman berita penemuan elemen nadir bumi tu turut menyebut bahawa dah ada syarikat berpusat di Kuala Lumpur yang dapat permit tersebut. Walau bagaimanapun, nama syarikat tersebut tak didedahkan. Hal ni tentunya buatkan ramai lebih skeptikal dengan pengurusan penerokaan ni. Ketelusan amatlah penting untuk buatkan rakyat yakin dengan pengurusan kerajaan di setiap peringkat.
“…Sudah diluluskan permit, orang itu pun dah masuk. Cuma permit teroka ini dia tak boleh pakai mesin, tak boleh pakai jentera, dia masuk pakai manual. Dan bila dia teroka, dia temu element itu, dia kena declare kepada kerajaan,”- Seperti yang dilaporkan Harakahdaily
Nafi penerokaan ni alasan untuk membalak, namun ada tolak aktiviti tersebut atas dasar alam sekitar
Susulan komen dari warganet terutamanya pasal pembalakan tu, MB Kedah balas semula pandangan tersebut dengan janji bahawa alasan penemuan nadir bumi ni takde kaitan dengan pembalakan. Tambahnya lagi, permit yang diberikan tu hanyalah untuk kerja meneroka dan bukannya melombong.
“… Ada sebahagiannya dikatakan tersimpan di bawah bandar-bandar besar. Yang ini kita tak boleh buat apa, tak akan nak tebuk situ kan. Jadi kita explore tempat-tempat yang belum ada penghuni lah, contohnya di hutan, di bukit. Dan cara ekstrak daripada REE ini dia tidak melibatkan perlombongan, tidak melombong, dia hanya pakai paip 4 inci, tebuk boarding itu, dan dia keluar sikit-sikit.”- Seperti yang dilaporkan Harakahdaily
Proses nak ekstrak elemen nadir bumi tu jugak hanya dilakukan oleh syarikat yang memiliki kepakaran dan mesin berteknologi tinggi. Dia difahamkan bahawa seiring dengan kemajuan teknologi kini, teknologi ekstrak elemen tersebut tak perlu nak ditebang dalam tujuan tersebut. Selain tu, dia tak sangkal bahawa sebahagian kawasan yang ditemui mengandungi elemen nadir tu dah dibalak sepenuhnya dua tahun lalu.
Tetapi macam kami kata tadi, perkara ni sebenarnya harus diperjelas lagi terutamanya mengenai tahap keselamatan biodiversiti alam sekitar. Alam sekitar ni bukan setakat pembalakan je. Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Puan Sri Dr Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa kawasan cadangan pengekstrakan itu terlampau luas di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik membabitkan 20,234.3 hektar yang dibimbangi menyebabkan gangguan biodiversiti.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) jugak kritik projek tersebut, menekankan sumber air yang boleh terjejas jika projek ekstrak tersebut diteruskan di kawasan hutan simpan Ulu Muda. Hampir 70% daripada air mentah di Perlis dan 96% di Kedah berasal dari Ulu Muda, manakala Pulau Pinang memperoleh 80% air mentah dari Sungai Muda yang bersambung secara langsung dengan kawasan tadahan.
“Penerokaan REE di Ulu Muda pasti akan meletakkan perkhidmatan bekalan air kepada tiga negeri itu dalam bahaya. Menteri besar Kedah dengan mudah melupakan bahawa Ulu Muda adalah kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Kementerian di peringkat persekutuan mesti bekerjasama untuk menghentikan usaha berbahaya ini dengan segera ,”- Jaseni Maidinsa, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA), seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today
Ketelusan perlu jadi budaya utama kerajaan dalam projek-projek pembangunan dan penerokaan
Kami rasa perkara ni dilihat ramai sebagai suatu projek yang dilakukan secara terburu-buru, walaupun penemuan tu dikatakan dahpun ditemui sejak berdekad lalu. Nak korek sumber alam ni takde salah, bahkan ia merupakan suatu aktiviti yang dapat membantu negara kita dari segi ekonomi. Tetapi dari segi kesan jangka panjang, usaha penerokaan sumber alam perlu dikaji dan dirancang lebih teliti dengan mengambil kira kesan terhadap persekitaran.
Setakat tahun ni je, kita dah banyak alami pelbagai jenis bencana alam dari buatan tangan manusia termasuklah isu pencemaran sungai kat Selangor sehingga buatkan loji-loji rawatan air terpaksa ditutup akibat terlalu kotor. Kami tak rasa kota pesat Wakanda dibina di balik kawasan yang kotor dan tercemar. Apatah lagi sekiranya MB Kedah nak majukan projek tersebut demi prestij kemajuan yang akan tertulis dalam profil kepemimpinannya.