Hanya setahun yang lalu, negara memberi tumpuan kepada sidang media Datuk Seri Shukri Abdull yang menyertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semula demi menyiapkan siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd dan sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Shukri memilih untuk bersara wajib pada 3 Oktober 2016, ketika sedang menyiasat kes berprofil tinggi itu sejak 2015 sebagai timbalan pengarah operasi SPRM. Jawatannya diambil alih Datuk Seri Azam Baki. Beliau mendakwa sanggup mengambil kursus bahasa Arab di UKM, semata-mata kerana tidak mahu berkhidmat di bawah seorang ‘pengkhianat’.
Lahir di Kerala, India, dan lulusan University of London
Nampaknya SPRM menjadi tumpuan sekali lagi, apabila Shukri digantikan oleh Latheefa Koya, selepasĀ Shukri memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontraknya. Kontrak Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020.
Latheefa yang lahir di Kerala, India pada 1973, menamatkan pelajaran dari University of London dengan Ijazah Undang-Undang pada tahun 1997. Dia memperoleh Sijil Amalan Perundangan Malaysia 2 tahun kemudian, membolehkan Latheefa berkhidmat sebagai seorang peguam di Malaysia.
Sejak Mei 2002, beliau telah mengamalkan undang-undang di Messrs Daim & Gamany, yang diasaskan oleh Tun Abdul Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan Malaysia, sebagai peguambela dan peguamcara.
Bukan masalah kehebatan Latheefa, tapi soal prinsip PH
Dari segi kelayakan akademik dan pengalaman, nampaknya Latheefa memang bukan calang-calang. Tapi, ni bukan sekadar tentang kelayakannya, tetapi soal integriti serta reformasi institusi yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH). Ya, ada yang berhujah beliau layak dari segi undang-undang. Tapi, bagaimana dari segi moral serta prinsip?
Meskipun mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin PH sendiri, namun Tun Dr. Mahathir Mohamad nampaknya tetap bertegas bahawa keputusan beliau melantik Latheefa yang baru adalah muktamad. Dia menggunakan sebab terpaksa melantik pegawai-pegawai kerajaan dan Latheefa adalah salah-satu daripadanya yang tidak sepatutnya dijadikan isu atau boleh menimbulkan sebarang masalah.
Para penyokong Tun Mahathir menggunakan pelbagai hujah bagi membenarkan keputusan Tun yang kurang wajar itu. Mereka nampaknya terlupa janji-janji yang PH tawarkan kepada rakyat dan ia janji yang paling mudah dan sepatutnya tidak perlu memberi alasan, yakni janji untuk mereformasi institusi awam.
Ini secara jelas disebut dalam Manifesto Pakatan berkenaan Kuasa PM diterhadkan (Janji 12), dan Lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui Parlimen (Janji 14). Bukan sahaja tidak dibincangkan bersama ahli Kabinet, malah pandangan Majlis Presiden PH juga diketepikan.
Kuasa veto tidak baik untuk demokrasi di Malaysia
Apa yang kita khuatirkan adalah kuasa prerogatif PM ini akan menjadi satu ketagihan. Dah buat sekali akan ada yg kedua, ketiga dan seterusnya, sehingga janji-janji kepada rakyat semakin terhakis.
Tun M mesti diingatkan sekali lagi supaya tidak lupa – bahawa kuasa veto dan prerogatif itulah yang menjadikan nama Najib Razak dan Rosmah sebusuk sekarang, jatuh dek 1MDB, tenggelam dek kemasyhuran yang palsu. SPRM wajib bersih dan kelihatan bersih. Bukan saja agar mereka dapat menegakkan keadilan, tetapi juga kelihatan benar-benar menegakkan keadilan.
Perlantikan ini dilihat merencatkan usaha reformasi institusi dan pembasmian rasuah yang digembar-gemburkan oleh PH sebelum ini. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dulu sinonim dengan Tun M mungkin sudah dimansuh. Tapi nampaknya budaya ISA – ‘Ikut Suka Aku’ masih tak lekang daripada gaya kepimpinannya.
Sewajarnya, pemilihan serta perlantikan tersebut ditentukan oleh suatu Jawatankuasa Khas Parlimen sepertimana Janji ke-14 Manifesto PRU14 PH, dan bukan lagi lantikan kuasa mutlak oleh seorang Perdana Menteri. Selain itu, individu yang dipilih, haruslah daripada kalangan penjawat awam, selari dengan apa yang telah termaktub dalam akta SPRM itu sendiri.
Justeru, kita mesti membantah keras perlantikan yang bersifat autokratik ini, yang menjadikan kita selangkah ke belakang. Ini sangat tidak progresif dan harus dilawan atas dasar prinsip.
Sebagai pemimpin, kita tidak boleh mudah lupa, harus selalu beringat
Banyak kali Tun M terlupa, ditegur, dikecam dan membuat pusingan U. Malangnya, berkali-kali juga Tun M terlupa dan perlu ditegur lagi. Lebih syahdu, ramai menteri yang dulunya sangat vokal sehingga menggerunkan UMNO-BN ketika berada di jalanan dan blok pembangkang, namun kini menikus kerana risaukan jawatan dan pangkat yang disandang.
Dalam banyak-banyak Menteri yang segak dan bergaya dengan jawatan baru mereka, nampaknya tak ada yang lantang bersuara. Hanya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang nampak tegas memberi teguran. Dia menyebut bahawa Tun M perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa, memandangkan tiada pemakluman awal mengenai pelantikan itu, sehingga pengumuman dibuat.
Selain isu Kabinet tidak dimaklumkan, pelantikan ini adalah tidak selaras dengan Akta SPRM dan soal pelantikan tidak selari dengan janji dalam manifesto PH. Untuk memudahkan kefahaman semua, rakyat tidak mempertikaikan kuasa seorang PM untuk melantik. Tidak juga kita mempertikaikan kelayakan Latheefa sebagai peguam berpengalaman. Tetapi kita membantah atas prinsip reformasi institusi dalam apa yang selalu disebut sebagai Malaysia Baharu.
Latheefa terkenal dengan kem Azmin dalam PKR
Seperti yang kita sedia maklum, Latheefa kini sangat diasosiasikan dengan Dato’ Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR. Beliau sendiri kerap mengkritik Rafizi Ramli, yang diketahui umum sebagai akrab dengan Anwar Ibrahim. Jadi, kita tidak perlu menguasai ilmu sains untuk membuat roket, untuk melihat wujudnya konflik kepentingan yang jelas jika ada pertuduhan SPRM dikenakan kepada yang rapat dengan Azmin atau Presiden PKR itu.
SPRM dan Kerajaan pimpinan Tun akan terpaksa membuang banyak masa untuk menangkis dakwaan bias yang akan menghantui Latheefa, ke mana pun beliau pergi, sepanjang menjawat jawatan barunya itu.
Tun M nampaknya sedang membuat ujian serta bacaan terhadap orang di sekelilingnya. Maka, kita selaku rakyat yang prihatin juga perlu membuat beliau faham dan jelas dengan suara hati majoriti rakyat Malaysia. PH telah memberi komitmen untuk pelantikan Pesuruhjaya SPRM disahkan oleh JK Parlimen. Isu ini jauh lebih besar daripada Latheefa Koya. Ini bukan hanya tentang beliau atau Tun M. Ini tekad reformasi yang telah PH janjikan kepada rakyat.
Jika anda tidak bersetuju dengan pelantikan ini, anda boleh menandatangani petisyen bantahan melalui pautan ini: http://chng.it/hLDhmVzg dan http://tiny.cc/gu8y7y