Pemimpin PKR minta RCI ditubuhkan isu pelantikan kehakiman

f1 min (21)

Sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi lantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.

2347bcbcc41384083f99f6cb6a5042a9
Kenyataan Media mendesak RCI ditubuhkan

Beliau mendakwa beberapa maklumat yang kini tular dalam pengetahuan awam perlu dijelaskan segera bagi mengelakkan krisis kepercayaan terhadap kerajaan dan institusi kehakiman katanya pada sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Puchong Jaya.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.

Rafizi menegaskan penubuhan RCI merupakan langkah paling berkesan untuk menangkis segala spekulasi mengenai campur tangan dalam urusan kehakiman dan memulihkan keyakinan rakyat. Katanya, mesyuarat tergempar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada Jumaat lalu yang dikatakan tidak memenuhi notis 10 hari mengundang persoalan sama ada wujud usaha mengubah senarai calon hakim.

“Apabila keputusan dibuat secara tertutup, rakyat akan berteka-teki. Kita pernah melalui episod ‘correct, correct, correct’, kita tidak mahu sejarah berulang,” ujarnya sambil merujuk skandal VK Lingam.

Beliau turut memaklumkan laporan polis sudah dibuat oleh pegawai Hakim Mahkamah Persekutuan berhubung dakwaan campur tangan dan berharap siasatan terperinci dapat dimulakan segera. Menurutnya, kelewatan mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan hanya memburukkan lagi persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman.

Difahamkan sembilan Ahli Parlimen terbabit akan menghantar usul mendesak penubuhan RCI pada persidangan Dewan Rakyat dua minggu lagi bagi memastikan isu itu dibahas secara rasmi.

“Perdana Menteri tiada apa yang perlu disembunyikan. Parlimen ialah platform terbaik menjawab segala dakwaan,” tegasnya.

Rafizi menambah, tekanan awam memainkan peranan penting kerana ahli politik lazimnya hanya bertindak apabila wujud desakan rakyat. Beliau juga bersedia memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Reformasi Institusi sekiranya dipanggil untuk membantu siasatan.

Mengulas dakwaan bahawa mesyuarat tergempar JAC bertujuan menukar senarai calon hakim, Rafizi berkata hanya siasatan bebas dapat merungkai persoalan tersebut.

“Semakin lama kerajaan berdiam diri, semakin besar risiko kepercayaan rakyat terhadap kebebasan kehakiman terhakis,” katanya.

Fadhli Shaari turut menyokong apa yang dikemukan oleh beberapa ahli Parlimen PKR

Kerajaan digesa bertindak segera dan telus terhadap segala dakwaan pencabulan institusi kehakiman negara yang didedahkan sekumpulan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dakwaan-dakwaan seperti pencalonan hakim yang tidak diangkat, pelantikan utama yang tergendala, prosedur mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang dipersoalkan dan campur tangan dalam kes kehakiman adalah dakwaan yang sangat berat dan tidak boleh dipandang remeh.

whatsapp image 2022 08 15 at 10.02.21 am
Fadhli Shaari

Menurutnya, institusi kehakiman adalah salah satu cabang utama pentadbiran negara dan apabila cabang berkenaan dicemari oleh campur tangan politik atau eksekutif, prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas sesebuah negara demokrasi akan runtuh.

“Tanpa kebebasan kehakiman, kita tidak lagi boleh mendakwa Malaysia sebagai negara demokrasi, bahkan sedang meluncur ke arah pemerintahan berciri diktator. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib segera kembali ke tanah air dan memberikan penjelasan secara langsung kepada rakyat dan Parlimen. Ini bukan isu kecil yang boleh dilengah-lengahkan. Ini adalah isu melibatkan kedaulatan undang-undang dan masa depan keadilan dalam negara kita,” katanya

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, dengan penuh takzim dan hormat, pihaknya juga menzahirkan sembah ampun perkenan memohon Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar meneliti dan mempertimbangkan untuk mengambil langkah sewajarnya berhubung isu tersebut.

Ujarnya, campur tangan Baginda perlu demi menjamin kemuliaan dan kebebasan institusi kehakiman terus terpelihara daripada sebarang pencabulan serta campur tangan pihak eksekutif.

“Patik yakin bahawa Seri Paduka Baginda sentiasa menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dan dengan penuh harapan, patik serta seluruh rakyat menantikan kebijaksanaan Baginda dalam menangani kemelut yang sedang melanda ini,” katanya.

Azalina kata proses pelantikan adalah berasaskan Perlembagaan

Pengisian kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

klc parlimen bbxx001 (1)
Azalina Othman

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang wajib dipatuhi oleh semua pihak. Menurutnya, ia juga mencerminkan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

“Dalam hal ini, Majlis Raja-Raja akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 17 Julai 2025. Jemaah Menteri turut memberi jaminan bahawa pengisian kekosongan jawatan akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkaitan,” katanya

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak berhubung pelantikan dalam badan kehakiman termasuk jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan. Sebaliknya, kata Jabatan Peguam Negara (AGC), Anwar memegang tanggungjawab yang jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dengan tujuan memelihara kebebasan, kredibiliti dan integriti institusi kehakiman negara.

Menurut jabatan itu, dakwaan terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Tambah Azalina, Jemaah Menteri pada Rabu telah membincangkan isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan serta mengambil maklum sepenuhnya akan perhatian dan kebimbangan orang ramai mengenai perkara berkenaan.

Ujarnya, kerajaan amat memahami keprihatinan rakyat tentang pentingnya memelihara kelangsungan dan integriti institusi kehakiman sebagai tunjang kedaulatan undang-undang.

“Pada masa yang sama, berikutan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Malaya, Yang Amat Arif Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan) sehingga jawatan tersebut diisi.

“Ini selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan perenggan 9(1)(b) serta subseksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91]. Ini bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *