Peraturan konsert di KELANTAN lagi ketat dari Arab Saudi, Ini sebabnya

Kalau terdengar nama Mariah Carey mesti akan teringat lagu-lagu hits dia seperti “Honey“, “We Belong Together” dan “Hero“. Orang juga mungkin membayangkan seorang penyanyi yang mempunyai kebolehan vokal yang power pada masa yang sama berpakaian seksi.

Tapi tak terbayang pula penyanyi berumur 48 tahun ni boleh buat persembahan di Arab Saudi. Terbayang atau tidak, itulah yang berlaku pada 31 Januari lalu apabila dia menjadi artis antarabangsa wanita pertama dalam sejarah Arab Saudi untuk membuat persembahan konsert yang diadakan hanya dua jam dari kota Mekah.

Ini boleh dikatakan sebagai sebuah peristiwa bersejarah bagi Arab Saudi yang amat terkenal sebagai sebuah negara konservatif yang masih mengamalkan pengasingan jantina dalam pelbagai perkara termasuk polisi-polisi dan hak kemanusiaan.

Langkah membenarkan sebuah konsert untuk dianjurkan, dan melibatkan pula seorang artis yang sering dianggap sebagai simbol seks, dikatakan sebagai satu langkah keterbukaan yang progresif bagi negara Islam tersebut – tapi ia tidaklah mendapat pujian semua pihak.

Katanya konsert yang diadakan ni untuk tutup salahlaku Saudi je…

Badan-badan NGO dan aktivis telah mengecam Mariah Carey kerana bersetuju untuk membuat persembahan tu. Mereka anggap Mariah mengabaikan semua salahlaku Arab Saudi terutamanya dalam hal-hal pencabulan hak asasi manusia.

Menurut para aktivis wanita dan pendokong hak asasi manusia, konsert yang dianjurkan tu adalah untuk menutup segala salahlaku Kerajaan Saudi dan mengalih perhatian orang ramai terhadap kekejaman yang berlaku di Yaman serta penangkapan aktivis dan pembangkang oleh Kerajaan Saudi seperti feminis Saudi Loujain al-Hathloul yang telah ditangkap sejak Mei 2018 dan penulis Jamal Khashoggi yang telah dibunuh  di Kedutaan Saudi di Turki pada bulan Oktober tahun lepas dan masih menjadi kontroversi yang menghantui kerajaan Arab Saudi sehingga ke hari ini.

Yaman terus dibedil Arab Saudi -Via BBC

Bagi pihak Carey pula, ejen dia mengatakan yang dia menerima tawaran untuk membuat persembahan itu kerana ia satu langkah positif dalam usaha menghapuskan pengasingan jantina dan menggalakkan kesaksamaan untuk semua.

Perubahan yang positif untuk wanita tengah berlaku di Arab Saudi

Banyak perkara yang buatkan Arab Saudi ni sebuah negara konservatif. Satu ketika dulu Arab Saudi merupakan satu-satunya negara di dunia yang mengharamkan wanita daripada memandu, mereka juga satu-satunya negara yang mewajibkan setiap wanita ditemani mahram ke mana sahaja, dan mesti mendapatkan kebenaran ahli keluarga lelaki untuk membuat passport atau ke luar negara. Arab Saudi juga dulu tidak membenarkan wanita mengundi, dan tidak membenarkan wanita memasuki stadium atau menyertai pertandingan sukan.

Carey merupakan bintang paling berprofil tinggi yang pernah membuat persembahan di Arab Saudi setelah Putera Mahkota Mohammed Bin Salman melonggarkan sekatan ke atas perkara seperti hiburan dan muzik bagi mentransformasi ekonomi dan masyarakat.

Via Gif4U

Pada tahun 2012, Arab Saudi buat julung kalinya mempunyai wakil atlet wanita di temasya Olimpik yang diadakan di London. Pada tahun 2013, wanita telah dibenarkan menaiki motorsikal (hanya di kawasan rekreasi dan perlu ditemani mahram). Pada tahun yang sama, Arab Saudi telah melantik 30 orang ahli Majlis Syura dalam kalangan wanita buat pertama kalinya, dan dua tahun lepas tu Arab Saudi telah membenarkan golongan wanita untuk mengundi dan bertanding dalam pilihanraya kerajaan tempatan.

Pada tahun lepas semakin banyak langkah yang diambil oleh Arab Saudi termasuklah membenarkan wanita ke dalam stadium sukan, membenarkan wanita mengambil lesen memandu, dan wanita tidak perlu ditemani atau mendapat kebenaran daripada mahram untuk memandu. Selain tu pada Disember tahun lepas Riyadh juga telah menjadi tuan rumah sukan lumba kereta Formula-E yang turut menganjurkan sebuah konsert dengan persembahan penyanyi antarabangsa seperti The Black Eyed Peas, Enrique Iglesias dan DJ David Guetta.

Sejak tahun lepas wanita dah boleh memandu di Arab Saudi. Via BBC

Langkah-langkah ni masih memberi reaksi yang berbeza di negara arab tersebut dengan beberapa ulama’ dan imam yang menolak dan melawan keputusan membuka ruang kepada wanita dan hiburan. Tetapi pada masa yang sama, rakyat Saudi sendiri merasakan langkah-langkah ini sesuatu yang sudah tertangguh lama dan diperlukan pada era moden.

Saudi semakin progresif, Malaysia?

Kadang-kadang kami terfikir juga, kalau negara Arab Saudi yang sudah begitu lama terperuk dalam konservatism merasakan perlunya melangkah keluar, bagaimana pula di Malaysia? Asal ada artis yang hendak membuat persembahan di Malaysia pasti akan ada golongan yang mengangkat sepanduk untuk protes. Malah di negeri seperti Kelantan langsung diharamkan tanpa budi bicara.

Ini berlaku sedangkan Malaysia juga menetapkan garis panduan kepada artis yang hendak membuat persembahan dan bukannya artis boleh melulu je ikut suka. Akibat tentangan yang agak serius, ramai juga artis yang mengelak daripada membuat persembahan di Malaysia kerana tak selesa dengan reaksi sesetengah pihak, walaupun ia tak mencerminkan respon majoriti.

Via LovePerak

Di Arab Saudi, pada malam tu, Mariah Carey memakai baju sequin panjang dan kelihatan bersederhana dengan menyanyikan 13 lagu sepanjang konsert, sambil menghormati budaya dan ketetapan yang diberikan oleh Kerajaan Saudi. Walaupun persembahan itu menimbulkan begitu banyak kontroversi, tapi ia juga membuka mata. Kenapa Saudi begitu terbuka sekarang? Apakah keperluannya? Bagaimana pula reaksi orang Islam seluruh dunia yang meletakkan Arab Saudi sebagai kayu ukur dalam peradaban Islam?

Tapi mungkin juga isu ni sebenarnya taklah sebesar mana, hanya seorang penyanyi yang menyanyi di atas pentas dah ditonton oleh ribuan orang untuk 2-3 jam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *