PRU15 mungkin dalam empat bulan lagi, dua parti Melayu sudah jumpa Mahathir

mahathirr1

Desas-desus PRU15 ni semakin lama semakin bingit. Sejak isu dakwaan pembangkang langgar MOU, wujud kemungkinan akan berlakunya PRU15. Sebelum ni, kita dah saksikan beberapa siri pilihan raya negeri dan kemenangan UMNO-BN berturut-turut. Dalam fikiran ramai, kalau betul nak PRU15… sekaranglah masa yang sesuai untuk mengorak langkah sewajarnya.

Rafizi ramalkan PRU15 akan bermula empat bulan dari sekarang atas beberapa faktor semasa. Benda tu pun disedari jugak parti-parti negara, termasuklah Bersatu dan PAS. Boleh jadi, rakyat turut perlu bersedia untuk sekali lagi turun padang dan memilih kerajaan baharu mentadbir negara.

pru15 bersediakahmalaysia
Via Mykmu

Rafizi Ramli aktif semula berpolitik dan ramalkan PRU sekitar Ogos atau September, sedia bertanding sekali lagi di parlimen Pandan

Bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli dilaporkan dah jangka PRU akan datang ni akan diadakan dalam tempoh empat bulan lagi. Benda ni, katanya, difikirkan atas beberapa faktor termasuklah tempoh memorandum tu. Sebelum ni, kita difahamkan bahawa blok kerajaan dan pembangkang setuju takkan bubar parlimen sebelum 31 Julai tahun ni.

“Empat bulan adalah masa yang singkat (dari sekarang). Dan saya tidak terkejut jika ia diadakan pada bulan Ogos atau September. Jika saya dalam Umno, saya akan menggesa pilihan raya umum diadakan pada akhir Julai,”- Rafizi, seperti yang dipetik Malaysiakini

rafizi1
Via Malaysiakini

Sesuailah dengan pilihan bulan tersebut, ia jugak tempoh berakhinya musim kerjakan ibadah Haji bagi orang Islam. Jadi secara tak langsung, ni diharapkan dapat memberi peluang agar lebih ramai pengundi untuk turun memilih. Selain tu jugak, dia ada suarakan kesediaannya untuk bertanding di parlimen Pandan sekali lagi sekiranya pimpinan parti benarkan untuk dia berbuat demikian.

“Ahli politik mesti fokus untuk berkhidmat kepada rakyat. Selalunya ahli politik berebut jawatan parti supaya dapat jawatan kerajaan. Kebanyakan tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat. Itu tidak sepatutnya berlaku,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Dalam masa yang sama, dia kata sejak dia suarakan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan presiden, ramai sokong. Dia turut melancarkan kempen ‘Ayuh Malaysia’, demi menarik sokongan pengundi atas pagar menjelang PRU15 serta galakkan lebih ramai orang untuk jadi sukarelawan PKR.

Di samping dah nyatakan hasrat untuk jadi ahli parlimen semula, dia jugak umumkan akan bertanding semula jawatan naib presiden PKR. Hasrat ni turut dikongsi oleh sorang lagi tokoh PKR iaitu Saifuddin Nasution pada pemilihan akan datang. Baginya;

“Persaingan ini adalah tawaran dua rakan yang ingin terus menyumbang kepada keutuhan parti melalui proses demokrasi yang diizinkan dalam perlembagaan parti,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

ayuhmalaysia rafizi
Via Malaysiiakini

Muhyiddin dan Hadi jumpa Mahathir, Mahathir luahkan rasa pelik selepas kes ‘tikam belakang’ di Sheraton 2 tahun lalu

Dr. Mahathir pada 1 April lalu dilaporkan mendakwa Muhyiddin Yassin kembali minta sokongannya dalam usaha nak jadi PM sekali lagi. Bercakap dalam sebuah sidang media, Mahathir tak tau kenapa Muhyiddin nakkan lagi sokongannya.

“Dia nak saya sokong dia dalam usaha untuk jadi perdana menteri sekali lagi,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengesahkan laporan bahawa Muhyiddin ada bertemunya baru-baru ini.

Saya tak tahu tapi dia minta saya (sokong). Kami (Pejuang) tak kuat, kami tiada wang, tapi dia minta kami sokongnya… Saya tak tahu nak kata apa (kepada Muhyiddin). Saya tak jadi perdana menteri sebab Muhyiddin. Dia tikam belakang saya. Sekarang orang yang dia tikam belakang itu tak mati lagi,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Sebelum ni, parti yang dikepalai Mahathir iaitu Pejuang buat kemunculan pertama di PRN Johor. Walaupun begitu, diorang gagal menempatkan mana-mana calon diorang dalam kerusi negeri tersebut, malah hilang deposit dalam kesemua 42 kerusi yang ditandingi. Selain tu, Mahathir bayangkan prestasi Muhyiddin dulu sebagai PM pun tak begitu baik dan tak layak untuk disokong pun.

“Semasa dia jadi perdana menteri, ramai orang tak puas hati dengan kepimpinannya. Dia bukan perdana menteri yang baik. Jika dia lakukan perkara yang bagus untuk negara, saya percaya saya tak sokong pun dia boleh menang. Kami tidak akan menyokong perdana menteri yang ada banyak kegagalan sama seperti Najib,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Apa yang dikatakan Mahathir ni bercanggah pulak dengan kata-kata presiden Pejuang iaitu anaknya, Mukhriz. Dia jugak mendakwa Bersatu pernah dekati partinya untuk meneroka kemungkinan kerjasama dalam PRU nanti. Pejuang belum lagi buat keputusan, namun tetap terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti lain termasuklah Bersatu. Kalau tengok jawapan balas Mahathir… nampak gaya macam tak ingin je Pejuang dengan Bersatu.

mahathir muhyiddin
Via MH Daily

Selepas Muhyiddin, Hadi pulak dilaporkan dijadualkan bertemu dengan Dr. Mahathir. PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang “tak ekstrem dan liberal”. PAS pun turut dimaklumkan mengenai pertemuan Bersatu dengan Mahathir.  Katanya ringkas:

“Ya, dengan siapa sahaja, kita jumpa… akan diaturkan. Insha Allah dengan semua untuk menyatukan ummah,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro

Sebelum ni, Umno memang dah banyak kali sebut pasal PRU15. Yang banyak bising tentang pelanggaran MOU akibat gagalnya usul kerajaan di Dewan Rakyat pun dalam kalangan Umno jugak. Memetik ucapan Timbalan Presidennya Mohamad Hasan pada Mac lalu:

“Serang sewaktu musuh sedang lemah, tempa ketika besi masih panas. Jangan tunggu dia dah regroup balik, dia dah cium mulut macam PRU14, Mahathir dan Anwar cium mulut baru dia nak buat.

Menempah maut. Now is the right time for us to strike… PRN di Melaka, Sarawak dan Johor memberi beberapa petunjuk yang penting, bahawa masanya sekarang. Ketidaksepaduan pembangkang adalah strategik kepada Umno. Inilah masanya kita pintas saat mereka berpecah dan bertelagah. Pihak lawan ternyata sangat lemah sekarang,”- seperti yang dilaporkan MalaysiaNow

Meskipun ni adalah permainan dan percakapan dari sisi orang-orang politik, kita sebagai rakyat biasa pun kena cakna jugak dengan hal macam ni. Tindak-tanduk diorang perlu diperhatikan dan diteliti sebaik mungkin, sebab apa yang diorang buat dan pilih untuk buat jugak akan memberi kesan kepada keseluruhan lanskap sosial kita sebagaimana yang berlaku selepas Langkah Sheraton.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *