Dua minggu lepas, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan siasatan yang dilakukan agensi itu selepas menahan tiga individu termasuk dua pegawai kementerian tersebut pada minggu lalu. Dia hadir bagi membantu melengkapkan siasatan yang dilakukan SPRM selepas menahan tiga individu termasuk dua pegawainya pada minggu lalu.
Sebelum itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, Setiausaha Sulit kepada Sivakumar ditahan. Penahanan Setiausaha Sulit menteri itu dilakukan SPRM kira-kira jam 2.30 pagi selepas seorang pegawai tugas-tugas khas kepada Sivakumar ditahan sebelum itu.
Sebelum ini beberapa media melaporkan pegawai tugas-tugas khas Sivakumar ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu untuk diberikan kuota pengambilan pengambilan pekerja asing.
Susulan daripada siasatan ini, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah terhadap kelulusan pekerja asing.
SPRM menyerbu pejabat kementerian di Putrajaya sebelum itu yang memperlihatkan SPRM menahan seorang pegawai kanan menteri itu. Sehari kemudian, SPRM menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan. Seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.
Beberapa pihak ingin Sivakumar direhatkan bagi melengkapkan siasatan
Perikatan Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tak amalkan sikap pilih kasih berhubung siasatan rasuah melibatkan pemimpin parti itu.
Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khairudin berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah berkaitan imbuhan kelulusan pekerja asing semakin banyak melibatkan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar namun beliau tak direhatkan.
“Perdana Menteri sewajarnya merehatkan Sivakumar selari dengan tindakan desakan Majlis Presiden PH terhadap kes Tan Sri Azam Baki pada 2022,” – Ir. Khairil Nizam
Jelasnya, tindakan ini penting untuk memastikan SPRM dapat menjalankan tugas dengan bebas dan tanpa tekanan serta campur tangan pihak berkepentingan yang memiliki kuasa.
Khairil Nizam berkata selain itu, Majlis Presiden PH pernah juga pernah mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan & Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah direhatkan sehingga siasatan dakwaan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki selesa.
Anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Hassan Abdul Karim turut menyarankan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar bercuti daripada tugas atau meletakkan jawatan sehingga selesai siasatan kes berkait rasuah. Menteri itu perlu mendukung agenda Pakatan Harapan (PH) untuk membasmi rasuah di Malaysia wajar menunjukkan contoh tauladan yang positif.
“Saya membuat kenyataan media ini sebagai seorang ahli Parlimen penyokong Kerajaan Perpaduan yang bertugas sebagai badan pemantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM). Beliau tentu lebih faham tentang prinsip ‘collective responsibility’ dan ‘ministerial responsibility’ dalam fungsi kerja Jemaah Menteri atau kabinet Kerajaan Persekutuan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook
Tambah Hassan, setiap menteri mesti bertanggungjawab menjaga nama baik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat jelas sedang melakukan tindakan untuk membanteras amalan rasuah dalam jentera kerajaan. Walaupun menteri tersebut bukan suspek tetapi setelah dua kali dipanggil untuk disiasat oleh SPRM dan rumah serta pejabat dilawati agensi itu bukan sesuatu yang molek bagi wajah anggota kabinet kerajaan yang dikenali sekarang sebagai Kerajaan Madani.
“Jangan tunggu Anwar mengarahkan supaya menteri yang terpalit kementeriannya dengan rasuah supaya bercuti ataupun meletakkan jawatan. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga kerana saya percaya beliau mempunyai jiwa yang besar dan ‘conscience’ yang jernih serta mulia,” katanya.