Mustahil untuk kita melupakan “lautan ungu” yang membanjiri Padang Merbok lebih kurang 3 tahun lepas. Ketika itu, kebanyakan peserta berkumpul di Masjid Jamek, Masjid Negara, Parlimen dan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum menuju ke Padang Merbok sambil dikawal Unit Amal PAS.
Urus setia Unit Amal Pemuda PAS anggarkan lebih 30,000 orang menyertai himpunan itu. Kebanyakan mereka adalah ahli PAS, tapi ada jugak individu dari NGO yang ada kaitan dengan Islam atau Melayu.
Himpunan RUU355 hari tu katanya untuk perkasakan Islam di Malaysia…
Menurut laporan Free Malaysia Today, perhimpunan yang dianjurkan tu adalah demi agama dan diorang nak lihat undang-undang Islam dan Mahkamah Syariah diperkasakan di Malaysia.
https://www.youtube.com/watch?v=TiDSmQeykwc
“Kami datang sebab nak tunjuk sokongan kami kepada pelaksaraan undang-undang Islam, malah kami sedikit pun tidak menyesal datang ke sini hari ini, biar penat dan lelah, habis wang asalkan RUU 355 berjaya,” – Kata salah seorang peserta yang hadir, seperti yang dilaporkan FMT
Dalam himpunan tu, PAS mensasarkan kira-kira 300,000 orang akan menyertai himpunan bagi menunjukkan sokongan dan memperjelaskan kewajaran usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.
RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Hadi. Pada 24 November 2016, Hadi mintak Dewan Rakyat tangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac 2017 bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadap RUU itu.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
Ketika Pakatan Harapan masih lagi kerajaan, diorang pernah ditanya pasal benda ni
PAS pernah menggesa kerajaan Pakatan Harapan untuk nyatakan bilakah Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 di Dewan Rakyat, usul kontroversi yang ditangguhkan sebelum ini. Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) bertanya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Dr Mujahid Yusof Rawa.
“Soalnya bila? Sama ada bulan ini, tahun ini, 2 tahun lagi, 10 tahun lagi? Tolong beri penjelasan kerana kita mahukan waktu bila nak pinda akta ini,” – Ahmad Tarmizi, seperti yang dilaporkan dalam FMT
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh pada Julai tahun 2018 menjelaskan sebarang permohonan untuk bahaskan usul persendirian perlu dibuat oleh ahli Parlimen, dengan mengemukakan notis 14 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang. Katanya, usul itu akan dibahaskan jika speaker Dewan Rakyat meluluskannya.
Setelah PAS jadi kerajaan, diorang kata masih terlalu awal untuk bincang benda tu
Setelah jadi kerajaan, PAS pulak menegaskan masih terlalu awal untuk orang ramai bincangkan mengenai pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, (RUU355).
Naib presidennya, Mohd Amar Abdullah kata; walaupun PAS sekarang tengah berada dalam kerajaan persekutuan, masih ada cabaran lain yang lebih perlu diutamakan dalam masa terdekat.
“Kita memang berharap (dilaksanakan), cuma bagi kami perkara ini masih di peringkat terlalu awal. Hari ini baru nak angkat sumpah, masa kita ada pun tak panjang. Kita ada cabaran besar pada 18 Mei nanti iaitu kemungkinan ada undi tidak percaya di parlimen,” – Mohd Amar, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini
Ramai yang menganggap jika RUU355 ni berjaya diluluskan, ia akan buka pintu kepada pelaksanaan hukum hudud – sesuatu yang telah diperjuangkan oleh PAS sejak sekian lama. Satu daripada pihak yang menolak cadangan pindaan itu ialah MCA. Menarik untuk tengok bagaimana PAS akan cuba yakinkan MCA, sebab diorang pada hari ini duduk sekapal.
Pada 2016, Presiden MCA ketika tu, Liow Tiong Lai kata; parti itu menyatakan penolakan mereka kepada usul meminda Akta 355 kerana bercanggah dengan dasar penubuhan negara. Ada pulak yang berpandangan usul tu sengaja dibawa untuk timbulkan perpecahan dalam kalangan pembangkang.
Sementara itu Mohd Amar berkata, dalam tempoh dua bulan ini orang ramai tak boleh mengharapkan suatu perkara yang besar berlaku kerajaan persekutuan. Sebabnya ada perkara asas dalam pentadbiran perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Mungkin kali ini PAS akan sedar, menjadi kerajaan tidaklah semudah jadi pembangkang
Melihat isu RUU355, sudah tentu penyokong PAS mengharapkan ia segera dibentangkan supaya boleh dilaksanakan. Cuma, realitinya untuk PAS, dalam kerajaan hari ini, mereka duduk bersama MCA dan MIC. Untuk meneruskan usul ini, diorang kena kerja secara kolektif. Kami tak rasa UMNO dan Bersatu akan setuju kalau diorang teruskan rancangan ni.
https://www.youtube.com/watch?v=4NFHsa5rdL0
Begitu jugak dengan polisi-polisi Islam yang ingin dibawa PAS, contohnya peraturan konsert yang telah dilaksanakan di Terengganu, ia sukar untuk berlaku pada peringkat nasional. Kami rasa, benda ni akan jadi punca PAS-Muafakat Nasional gaduh nanti, tapi itu cuma teori. Kena tunggu dululah.