Isu PPR Taman Manggis, kerajaan Pulau Pinang dikatakan sezalim zionis?

Isu PPR Taman Manggis, kerajaan Pulau Pinang dikatakan sezalim zionis?

Baru-baru ini kecoh apabila 22 penyewa diusir dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis selepas didakwa hilang kelayakan menghuni kediaman masing-masing. 6 keluarga kemudiannya bertindak menjadikan perkarangan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) sebagai tempat tinggal sementara sehingga jalan penyelesaian dicapai antara kerajaan negeri.

Namun, isu penyewa PPR Taman Manggis ini kemudiannya dianggap selesai apabila mereka bersetuju dengan tawaran alternatif yang ditawarkan oleh kerajaan negeri. Persetujuan itu dicapai menerusi rundingan selama lima jam antara penduduk yang terlibat dengan wakil kerajaan negeri pada Selasa. Kesemua penyewa yang terlibat telah ditawarkan rumah sewa beli di Lebuh Macallum dengan kadar sewa RM230 sebulan.

Kerajaan Pulau Pinang dikatakan lebih zalim berbanding rejim zionis

EXCO Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata dua keluarga bersetuju menerima rumah kos rendah melalui skim sewa beli, manakala satu keluarga akan membeli rumah kos sederhana rendah. “Dua keluarga yang menerima rumah kos rendah menerusi skim sewa beli hanya perlu bayar RM233.30 sebulan tanpa faedah sehingga tempoh 20 tahun.

Keluarga yang bersetuju membeli rumah kos sederhana rendah ditawarkan rumah berharga RM72,500 dalam daerah Timur Laut,” katanya. Jagdeep turut menasihatkan penyewa PPR lain yang menyedari sudah hilang kelayakan supaya datang berbincang secara sukarela dengan kerajaan negeri.

Isu ini menjadi gempar apabila banyak pihak mensensasikan insiden ini sehingga membabitkan isu perkauman serta keagamaan, sedangkan ia adalah berdasarkan peraturan serta undang-undang sedia ada. Sehingga ada yang menggelar tindakan Kerajaan Pulau Pinang sebagai ‘tidak berperikemanusiaan, malah lebih zalim berbanding rejim zionis.’

Via Utusan

Sebenarnya, sejak zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional lagi telah dijalankan dasar untuk mengusir para penyewa yang telah hilang kelayakan. Sebagai contoh, pada Januari hingga Julai 2017 sahaja, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merampas 550 daripada 45,000 unit rumah yang disewakan di bawah PPR dan Perumahan Awam (PA) berikutan perlanggaran beberapa syarat.

Pengusiran macam ni dah berlaku sejak dahulu lagi, untuk beri ruang pada yang betul-betul tak mampu

Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan menerusi Operasi Pemutihan Perumahan DBKL itu bertujuan memastikan unit-unit PPR yang disewakan tidak disalah guna penyewa asal seperti tidak menetap dan menyewakan kepada pihak ketiga atau warga asing.

“Berikutan permintaan terhadap rumah sewa tinggi, ada penyewa asal mengambil kesempatan dengan mengenakan sewa yang tinggi kepada pihak ketiga. Saya minta janganlah ambil kesempatan di atas kesempitan orang lain. Bila masalah ini berlaku, kami tidak akan bertolak ansur dan surat perjanjian sewaan mereka terus dibatalkan serta merta. Cara ini kita boleh beri ruang kepada 80,000 rakyat yang masih menunggu untuk menyewa, yang rata-ratanya terdiri daripada golongan tidak berkemampuan,” katanya ketika itu.

Sebagai rekod, PPR sebenarnya adalah satu program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah (B40).  Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah agensi pelaksana utama bagi projek-projek PPR di seluruh Malaysia.  PPR terdiri daripada 2 kategori iaitu PPR Disewa dan PPR Dimiliki.

Contoh PPR. Via Iluminasi

Semua rumah yang dibina di bawah kedua-dua program PPR Dimiliki dan PPR Disewa akan menggunakan spesifikasi perancangan dan rekabentuk perumahan kos rendah yang ditetapkan oleh Standard Perumahan Kebangsaan Bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa (CIS3:2005).

Ada syarat yang tersendiri, dan memang dikhaskan untuk mereka yang tak berkemampuan

Syarat-syarat permohonan adalah: warganegara Malaysia; berusia 18 tahun ke atas; pendapatan isi rumah di bawah RM3,000.00 sebulan; pemohon belum memiliki rumah; serta mengikut syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Prosedur permohonan, syarat kemasukan dan kaedah pemilihan adalah mengikut negeri masing-masing. Justeru, kalau ada yang mahu membantu para penyewa yang dalam kesusahan, bantuan boleh diberikan kepada yang layak. Tapi, tak perlulah mainkan sentimen perkauman sempit, memandangkan ia membabitkan prosedur perundangan, dan bukan sekadar satu tindakan ‘zalim ala zionis’.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top