Senarai media satira yang kerja diorang membahan je, terutamanya ahli politik

Frust Satire News
Senarai media satira yang kerja diorang membahan je, terutamanya ahli politik

Secara umumnya, korang memang dah tau kan bahawa tak semua benda kat dalam Internet tu betul lagi-lagi bila ia datang daripada sumber-sumber laman yang tak boleh dipercayai. Tapi sekarang ni, orang dah boleh perbaik penulisan media tu supaya nampak lebih berkredibiliti. Dahlah masukkan kat Facebook, habis kena kongsi sampai cecah ribuan perkongsian dan komen.

Via Giphy

Perkongsian benda-benda macam ni memang tak boleh dikawal, jadi apa yang kita boleh buat adalah betulkan semula persepsi pengguna Internet yang berbilang usia, bangsa, daerah malah negara serumpun sekalipun mengenai media khususnya pasal media satira ni.

Media satira ni memang tak dapat dipisahkan dengan manusia

Idea media satira ni datang daripada perkataan ‘satira’ atau satire yang bermaksud karya yang mempersendakan dan menyindir orang lain. Benda ni pun sebenarnya dah tua, digunapakai pun sejak zaman ketamadunan Yunani lagi. Mula-mula orang suka guna satira ni sebagai pengajaran dan kritikan pada orang lain, cuma diaplikasikan dalam pelbagai bentuk.

Dulu-dulu, sastera dan drama jadi pilihan orang nak guna satira ni. Bila dah masuk zaman teknologi moden pula, mereka turut gunakan satira sebagai cara nak sebarkan mesej diorang. Ada yang buat drama televisyen satira, ada juga yang buat filem satira. Malah buku pun, ada penulis yang lebih suka gunakan pendekatan satira untuk buatkan pembaca faham mesej diorang.

Via Giphy

Kalau dalam konteks sekarang, meme pun boleh digunakan sebagai media satira juga. Dahlah banyak meme generator yang percuma dan senang dicapai mudah dari telefon pintar, nampak gayanya semua orang dah mampu buat satira ikut media apa yang mereka nak pakai. Sebab tulah, kami nak senaraikan 5 laman web satira yang korang kena hati-hati kongsikan kat media sosial korang. Takut jadi macam kes Musa Hassan pula…

1. The Onion, korang ingat Malaysia je ke ada geng-geng kaki bawang?

Fenomena geng bawang kelihatannya menular ke seluruh dunia. The Onion ni, sekali tengok, betul-betul macam laman web yang berkredibiliti. Tapi kalau korang gali lebih dalam, sebenarnya The Onion ni secara tersiratnya nak beritahu bahawa berita-berita yang ditulis oleh mereka ni sebenarnya satira. Ni kami petik dari The Onion sendiri:

“What if I want to sue The Onion?

Please do not do that. The First Amendment protects satire as a form of free speech and expression. The Onion uses invented names in all of its stories, except in cases where public figures are being satirized. Any other use of real names is accidental and coincidental. The Onion is not intended for readers under 18 years of age.”

The Onion ni berpusat kat Chicago, Amerika Syarikat jadi mestilah hak mereka kena lindungi oleh Perlembagaan Amerika Syarikat sendiri. Kata mereka, satira ni salah satu bentuk ekspresi yang dilindungi atas nama kebebasan bersuara. Jadi cerita-cerita mereka ni boleh jadi daripada kisah benar, ataupun hanya dibuat-buat je khususnya bila petik nama tokoh macam Donald Trump.

The Onion Logo
Via NY Daily News

Sejarah mereka ni pun panjang juga, iaitu dikatakan bermula sejak 1756 dan kini bangga memiliki pembaca seramai lebih dari 4.3 trillion seluruh dunia. Hmm… korang boleh percaya ke dah selama tu? Kami selidiki lagi, dan rupanya, fakta ni pun dah diputar belit sikit. Ikut Nick Marino yang temubual krew belakang tabir The Onion bernama Megan Ganz, sebenarnya mereka ni bermula pada 1988 di Wisconsin.

Theonionart
Antara keratan akhbar yang disajikan mereka. Via Artnet News

Dah lah artikel-artikel mereka wajib punyai tajuk berita yang lucu, baru boleh buat artikel penuh pasal tu. Bagi Ganz, tajuk berita yang lawak, pelik dan menarik tu yang buatkan The Onion hebat. 2 lagi laman web milik The Onion yang korang patut tahu adalah Clickhole dan The A.V Club.

2. The Private Eye, geng selalu selalu parodikan tokoh pemimpin politik…

Dianggap sebagai salah satu media popular yang selalu parodikan tokoh pemimpin politik, terutamanya dalam kalangan tokoh politik kat United Kingdom. Tak hairanlah sebab mereka pun berpusat kat London. Kerana begitu lantang kritik para pemimpin UK, lagi-lagi dengan situasi Brexit yang membingungkan ramai orang, populariti The Private Eye melonjak hinggakan ia menjadi pesaing kepada satu lagi jenama majalah hangat, The Economist.

Private Eyes
Antara keluaran The Private Eyes. Via ABC

Private Eye ni pun dah lama sebenarnya, iaitu dimulakan sejak 1961. Waktu tu, majalah ni sekadar menjadikan berita semasa sebagai bahan jenaka je. Tapi sejak Ian Hislop, graduan dari Oxford pegang tampuk jadi editor hingga kini, The Private Eye mendewasa jadi sebuah jenama penerbitan yang muatkan juga unsur satira dalam laporan berita mereka. Pengaruh Hislop ni tak semua manis belaka, malah siap digelar ‘lelaki yang paling banyak kena saman’ di Britain. Namun begitu, sumbangannya tetap diangkat ramai bila dianugerahkan British Media Award tahun ni.

Tak macam The Onion, mereka ni lebih gunakan media percetakan dengan keluaran majalah Private Eye tiap dua minggu sebulan. Malah, mereka juga takdelah dikira ‘satira’ sangat jika nak dibandingkan dengan The Onion. Korang masih boleh tau kalau tu satira atau fakta betul. Nak langgan? Ada dua pilihan iaitu versi cetak ataupun versi digital, dan boleh didapatkan dari laman web rasminya.

3. The Daily Mash, gunakan makian dalam berita yang diorang terbitkan…

Jarang korang nak dengar media berita nak masukkan unsur makian kat dalam laporan mereka. Satu kepala dengan Private Eyes, mereka ni lebih mirip pula dengan The Onion dan lebih jelas isytihar bahawa mereka ni “a satirical website which publishes spoof articles…” dalam laman webnya. Ertinya, kalau korang nampak apa-apa berita yang diterbitkan oleh The Daily Mash; korang tak boleh nak percaya sangat sebab mereka ni sejak azalinya berbentuk media satira.

Thedailymash 2013
The Daily Mash pada 2013. Via Amazon UK

The Daily Mash ni diasaskan oleh dua orang penulis terkemuka, Paul Stokes yang merupakan bekas editor The Scotsman dan Neil Rafferty, koresponden politik Sunday Times memang terinspirasi dengan kejayaan The Onion kat Amerika, menurut laporan Adam Sherwin. Mula-mula mereka memang nak asaskan satu lagi platform media berita yang baharu yang lebih baik dan serius. Tapi terfikir juga, “apa kata kita buat-buat je sendiri berita ni?”

Tapi pada Februari 2019, mereka umumkan bahawa laman web ni dah dibeli dengan harga £1.2 juta oleh Digitalbox, sebelum ni di bawah Mashed Production sekaligus membolehkan kita tengok sama ada mereka tetap nak kekalkan bentuk laporan satira atau mereka nak tukar semula model penulisan laporan mereka.

4. The Tapir Times, orang Malaysia pun ada platform satira…

Siapa kata Malaysia takde media satira? Haa… ni pun korang kena waspada bila korang ternampak ada orang cuba rujuk The Tapir Times bila ada orang nak berbahas pasal satu-satu perkara. Mereka pun terinspirasi juga dengan The Onion serta bual bicara tengah malam yang dihoskan oleh Stephen Colbert, dan mulai berkecimpung mencipta artikel-artikel hangat dengan tajuk yang amat menarik.

Setakat ni, takde orang kenal pun siapa pengasasnya namun Vulcan Post laporkan ia sebenarnya adalah hasil kerjasama sekumpulan sahabat yang tak nak dikenali ramai.

“The Tapir Times is a silly work of satire and fiction. It should not be taken seriously by anyone.” – Disclaimer, The Tapir Times.

Dah awal-awal mereka sebut bahawa laman berita mereka hanyalah karya fiksyen satira dan tak sepatutnya diambil bulat-bulat sebagai sumber mutakhir laporan isu semasa.

Thetapirtimes Vulcanpost
Contoh tajuk berita The Tapir TImes. Via Vulcan Post.

Kalau nak baca semata-mata nakkan hiburan atau komentari politik yang lucu, korang bolehlah layan The Tapir Times ni. Mengikut pemerhatian kami setakat ni, mereka juga banyak liputi berita-berita dalam negara dan sentuh sikit-sikit pasal filem. Hanya pinta kami kepada korang, selalulah peringatkan diri bahawa mereka ni adalah platform media satira ye.

5. Astrol Awatni, sama tapi bukan dia!

Salah satu media satira yang popular kat Twitter sejak 2015, dan mulai mengembangkan sayapnya kat Instagram. Setakat ni Astrol Awatni hanya bergerak dalam kedua-dua platform tersebut, namun jumlah pengikut dah sampai 6 ribu lebih yang dah ikuti akaun Twitter rasmi mereka @501Awatni.

Awal-awal lagi, mereka juga isytihar bahawa akaun mereka ni hanyalah parodi dan berbentuk satira. Kita boleh tengok inspirasi mereka memang hasil dari pengaruh platform Astro Awani bila tengok kat logo serta slogan mereka, “Berita Sebengap Dimensi”.

Awatni Rizal Hakimm
Awat ni..? Via Rizal Hakimm

Walaupun mereka ni tak banyak tulis cerita macam portal-portal yang dah kami sebutkan tadi, mereka lebih banyak tularkan cerita dan kisah daripada para pengikut mereka serta mencipta kapsyen-kapsyen mengelikan hati, menarik tumpuan sesiapa je yang terbaca tajuk mereka. Oleh sebab fenomena media satira ni pun nampaknya turut menggamit perhatian warganet, kami faham perasaan Burhan (@burhan_plays), pengguna Twitter menulis ciapannya:

Twitter Burhan

Populariti Astrol Awatni menguatkan lagi peluang bisnes Kopibucks (@kopibucks), yang mendakwa mereka juga mengendalikan urusan perniagaan tiga lagi akaun glamour kat dunia Twitter di Malaysia iaitu @TheAmranFanz, @Tojimato dan @AnnaSoeraya. Seronok tu seronoklah juga, tapi kena dua-tiga kali kerling sama ada tu nama akaun sah Awani atau sekadar parodi Awatni.

Ramai masih tak tahu, jadi biar kami beritahu…

Kami dapat senaraikan beberapa je portal laman yang bersifatkan satira, dan kami yakin akan wujud lebih banyak lagi portal berita dan akaun parodi di media sosial pada masa hadapan. Media satira ni tak boleh juga dikatakan sebagai berita palsu sebab dalam satu sisi, niat penulisan laporan tersebut sepatutnya kerana ingin semarakkan semangat perubahan melalui kritikan sosial serta unsur lucu.

Menulis benda-benda satira tak mudah sebenarnya. Via Giphy

Oleh tu, para pengasas (atau pengendali) platform parodi perlu maklumkan awal-awal bahawa mereka membawa suara satira sebab kami juga percaya dengan pendapat Nieman Lab – media satira berperanan cipta ruang perbincangan dan berfikir lebih mendalam pasal isu-isu semasa. Korang pun yang dah baca hingga akhir ni, beritahu rakan taulan dan keluarga korang agar hati-hati bila kongsi artikel. Kot-kotlah tu sebenarnya hanyalah media berunsur satira je.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top