‘Katak politik’. Ungkapan ni meniti popular di bibir rakyat selepas Langkah Sheraton. Sebelum ni, kita memang dah maklum bahawa ahli politik ni terkadang tak begitu rela nak setia dengan parti sehingga ada yang lompat keluar dari satu parti dan masuk pulak ke dalam satu parti yang lain. Namun benda ni tak sebesar impaknya kalau nak dibandingkan insiden pasca-Langkah Sheraton.
Masa tu, rakyat pun dah bingung sangat dengan tindakan ahli politik ni. Boleh dikatakan, situasi ketidakstabilan politik negara secara tak langsung beri kesan kepada keberkesanan polisi negara. Bila dah meterai perjanjian persefahaman (MOU), barulah dah tenang sikit. Apa yang pasti, keperluan RUU antilompat parti ni semakin mendesak. Akan tetapi, apa sebab pulak kerajaan tak jadi bentang setelah hangat dibincangkan di Parlimen?
Zuraida kata semua anggota kabinet sokong RUU Antilompat Parti, sumber kata kerajaan masih usahakan RUU
Sokongan penuh parti-parti dan anggota kabinet penting dalam soal rang undang-undang ni. Datuk Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menafikan desas-desus ada anggota Kabinet tak sokong pindaan RUU Antilompat Parti. Pada 6 April lalu, media melaporkan bahawa kerajaan tak jadi nak bentang RUU Antilompat Parti pada Isnin depan.
Menurut FMT, PM Ismail Sabri akan mempengerusikan satu mesyuarat pada Ahad ni. Sumber memaklumkan, semua Ahli Parlimen dan senator akan dipanggil ke mesyuarat tersebut. Walaupun begitu, ni tak bermakna RUU tersebut terhenti begitu je. Sebenarnya hanya akta tu je yang tak dibentangkan pada Isnin nanti. Pembentangan pindaan Perlembagaan berhubung RUU Antilompat Parti tetap akan dilangsungkan supaya bila akta tu dibentangkan kelak… tak berlaku masalah perundangan.
Kata sumber tu lagi, kerajaan sedang selesaikan beberapa isu termasuk apa yang ditakrifkan sebagai lompat parti termasuklah definisi ‘lompat’ tu. Ye lah, dikhuatiri akan wujud beberapa kelemahan kecil yang akhirnya gagal mengekang aktiviti lompat parti.
“Akta itu sendiri tidak akan dibentangkan pada Isnin. Apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda, akta itu tidak lagi memerlukan majoriti dua pertiga… Ini termasuk sama ada wakil rakyat yang menang sebagai calon Bebas akan lompat parti jika dia menyertai parti politik atau jika Ahli Parlimen yang menyertai parti lain selepas dipecat oleh partinya,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
Sorang menteri yang taknak dikenali kata, kerajaan memang tak bercadang tangguhkan RUU tu. Akan tetapi, kerajaan perlu buat pindaan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kerajaan perkenalkan RUU Antilompat Parti tanpa perlu undi majoriti dua pertiga.
“Kita ke arah itu. Orang ramai asyik bercakap mengenai RUU antilompat parti sehingga mereka lupa bahawa kita harus mulakan dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan dahulu. Bila dah lulus kita boleh perkenalkan RUU Antilompat Parti,” – seperti yang dipetik dari Astro Awani
Pindaan yang dimaksudkan itu adalah ke atas kebebasan berpersatuan yang dimiliki oleh semua orang termasuklah para ahli politik. Perlembagaan jamin semua orang ada hak untuk bebas untuk tubuh atau sertai parti, organisasi atau gerakan yang diorang nak. Hal ni menjadi batu asas pada idea kegiatan lompat parti. Kerajaan melihat, kalau betul-betul taknak muncul lagi kekeliruan kemudian hari… pindaan perlu dilakukan untuk mengawal kebebasan berpersatuan tu untuk para ahli politik ni.
Zahid desak jangan bertangguh lagi, Hadi kata tak usah gopoh
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi nak hal ni dipercepatkan dan meluahkan rasa skeptikalnya pada hasrat kerajaan yang tangguhkan bentang RUU tu. Ikut catatan di laman Facebooknya, UMNO adalah parti paling terkesan apabila terdapat ahli Parlimennya lompat parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada PRU14 lalu.
“Dilaporkan dalam media bahawa kerajaan tidak akan meneruskan rancangan untuk membentang dan meluluskan RUU pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk menghalang ahli Parlimen daripada lompat parti. Dikatakan juga kabinet hari ini memutuskan untuk membentangkan RUU bagi meminda beberapa bahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang akan membolehkan perundangan ‘antilompat’ di masa akan datang.
Justeru, dengan kata lain, perundangan ‘antilompat’ akan mengambil masa yang panjang, berdepan risiko ditangguh untuk sekian kali. Kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan. Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini?” – seperti yang dilaporkan Astro Awani
“Kita kena sedar bahawa lompat parti ini ada sebab-sebab. Oleh sebab-sebab itu betul dia tahu dia tolak, kalau sebab-sebab itu salah baru kita tolak. Ini perlu pada pentafsiran kerana perjuangan kita untuk selamatkan rakyat bukan selamatkan diri.
“Dengan sebab itu kena ada huraian-huraian… tak boleh buat mudah-mudah saja,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
“Pandangan saya ialah draf akhir perlu dikongsikan dengan semua pihak untuk memberi pandangan. Sekarang ini kita semua bersetuju dengan rang undang-undang itu tanpa melihat kepada draf akhirnya. Kita ada pakar daripada NGO, kita ada pakar daripada akademik, semua orang boleh diberi peluang untuk memperbaiki kelemahan yang ada…Jadi bagi kita, draf rang undang-undang itu perlu disiapkan segera tetapi perlulah dalam keadaan terbaik untuk memastikan tidak ada pihak yang boleh mengambil peluang apabila ia diluluskan nanti,” – seperti yang dilaporkan Astro Awani
“Ia adil untuk ahli parlimen membuat pilihan wadah baharu dan berhak dicalonkan semula dalam pilihan raya seterusnya bagi mendapatkan sokongan dan mandat baharu rakyat. Ini termasuk erti lompat parti ialah apabila dipecat oleh partinya sendiri,”- seperti yang dilaporkan Utusan