Anak muda tidak patut berpolitik? Ini pengaruh anak muda

f1

Anak muda adalah tunjang negara. Tanpa anak muda, kekuatan sesebuah masyarakat takkan betul-betul dirasakan. Tanpa anak muda jugaklah, arah dan wawasan sesebuah masyarakat tu tak ke mana dan hanya akan tersekat pada kehendak-kehendak zaman generasi lalu. Aspirasi anak muda inilah yang turut membawa dan memandu masyarakat ke arah kemajuan yang diharap-harapkan sesebuah masyarakat.

Sebelum ni, kami dah ceritakan galuran sejarah bagaimana kita menjadi Malaysia pada hari ni. Pembentukan pelbagai kerajaan kecil di Tanah Melayu dan sebahagian wilayah Borneo mengalami proses dan pengalaman yang berbeza… namun akhirnya dapat bersatu di bawah satu Jalur Gemilang. Kali ni pulak, kami nak kongsikan apa sebenarnya peranan anak muda dalam kemerdekaan.

anak muda merdeka gambar hiasan
Via Kosmo

British sengaja bangunkan anak muda secara ala kadar, yang penting demi London

Kembali menelusuri sejarah kita semasa Eropah datang dan menjajah kita, rakyat yang dah biasa hidup dalam pemerintahan kerajaan diraja dipaksa secara halus untuk ikut cita rasa dan semangat Eropah. British yang datang ke tanah air kita membangunkan segala infrastruktur dan pelbagai sistem demi memperluaskan pengaruh diorang dan memudahkan diorang memperkenalkan ekonomi yang akan memanfaatkan ibu kota London.

Salah satu infrastruktur yang penting dan wajar kita sebut adalah sistem pendidikan. Dahulunya, British tak berapa nak peduli sangat tentang tahap pendidikan dan fungsi pendidikan tu pada kaum peribumi baik di Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak. Pelajaran terbesar bagi British semasa diorang ada di Tanah Melayu adalah pengalaman penjajahan diorang di India.

london kota
Via Pinterest

Melihat bagaimana India akhirnya berjaya melahirkan generasi muda yang lebih berani akibat polisi British di sana, British taknak terlalu melaburkan tenaga diorang untuk membangunkan keberanian tu dalam jiwa anak-anak muda peribumi. Oleh demikian, British lebih suka bergaul dengan para pemerintah Melayu je dan cuba mengawal tindak-tanduk masyarakat, bermula dari lapisan raja-raja dulu.

Sementara British tak berapa nak peduli dengan nasib pendidikan anak-anak muda dulu, ni tak bermakna tak wujud suatu bentuk pendidikan terhadap anak-anak muda. Orang dulu-dulu sentiasa menerapkan budaya pendidikan dan ilmu-ilmu Nusantara ke dalam jiwa anak-anak muda. Banyak sebenarnya ilmu hebat yang diperturunkan, khususnya ilmu sains alam, ilmu agama, ilmu pertahanan diri, ilmu kekeluargaan dan ilmu adab.

screenshot 2022 03 26 at 08 08 47 sistem pendidikan di malaysia sebelum dan selepas kemerdekaan
Via Slideshare

Kehadiran para mubaligh Kristian jugak dibolehkan oleh British, terutamanya di wilayah Borneo. James Brooke tak halang para mubaligh dirikan sekolah, dan begitu jugak dengan Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU). Sedikit berbeza di Tanah Melayu, yang mana sentimen agama dipelihara supaya tak berlaku pemberontakan berdarah sebagaimana yang pernah jadi di India.

Namun bagi British, ilmu tu tak menjana produktiviti yang diperlukan dalam bentuk ekonomi diorang pulak. Menyedari keperluan buruh tempatan untuk memacu ekonomi di tanah jajahan diorang, terpaksalah diorang beri pendidikan ikut neraca diorang. Pendidikan ni akhirnya meliputi model British sendiri dan awalnya dihadkan kepada mana-mana keluarga yang berkemampuan. Untuk keluarga atasan seperti keluarga diraja, diorang dipujuk untuk teruskan belajar dan diberi biasiswa ke luar negara.

sr sekolah rakyat
Via M-Update

Akhirnya anak-anak muda zaman tu mulai belajar ilmu membaca, mengira dan menulis. Secara asasnya para mubaligh di Borneo Utara dan Sarawak pun ada jugak ajar asas 3M ni… walaupun tu sebenarnya lebih kepada nak suruh diorang jadi penganut Kristian yang baik dan mungkin, jadi mubaligh yang teruskan sebar ajaran Kristian ke dalam masyarakat peribumi.

Pendidikan kunci kesedaran, akhirnya anak-anak muda zaman tu gigih cari ilmu hingga ke Mekah

British ingatkan, dengan hanya memberi pendidikan yang terbatas kepada peribumi… diorang akan dapat mengawal tanah jajahan diorang dengan lebih baik. Ikut logik diorang, jika generasi muda tu diberikan asas ilmu membaca, menulis dan mengira… diorang dah boleh jadi kuli bawahan kepada para pegawai British untuk bantu lancarkan pentadbiran.

sekolah aliran
Via Illuminasi

Hakikatnya, diorang lupa bahawa tak kiralah apa bentuk sekalipun… semangat pendidikan tu akan muncul kerana ilmu tu sumber kepada peluang yang lebih baik dan pembangunan kendiri yang lebih tinggi. Di Tanah Melayu, ramai jugak keluarga Melayu masih terapkan pendidikan agama. Hanya apabila British digesa untuk masukkan sekali ruang untuk sesi pendidikan agama, barulah semakin ramai keluarga yang nak hantar anak diorang ke sekolah yang didirikan British.

British jugak tak halang orang Islam untuk keluar dan mencari ilmu di luar Tanah Melayu. Oleh tu, berbondong-bondonglah anak muda keluar belajar ke serata tempat. Ada yang belajar agama di Indonesia, ada jugak yang belajar hingga ke Mekah. Namun begitu, kelonggaran yang diberikan British tu memunculkan ruang kesedaran baharu dalam kalangan anak muda. Semangat pan-Islamisme tersebar dari Mesir ke Indonesia dan Tanah Melayu. Generasi muda dah mula bangkit dan sedar hasrat sebenar British datang ke tanah diorang.

haji kapal melayu
Via Berita Harian

Gelombang semangat muda ni membawa aspirasi dan keberanian baharu yang diperlukan untuk bawa kesedaran baharu. Para anak muda yang dah tahu membaca dan menulis ni semakin rajin untuk mengarang makalah untuk bacaan orang ramai. Tulisan jawi semakin popular dan dekat pada masyarakat Tanah Melayu, manakala tulisan rumi pulak terus mendominasi saluran-saluran penyebaran maklumat dan semangat diorang.

Kesedaran mulai berputik dalam hati anak-anak muda. Makalah-makalah awal banyak mengkritik pentadbiran British, peranan para agamawan dan perangai peribumi sendiri. Majalah-majalah penting seperti Al-Imam dibangunkan oleh para pemikir muda seperti Syed Sheikh al-Hadi. Karya demi karya ditulis, diterjemah dan dibawa dari Indonesia ke Tanah Melayu; menyemarakkan lagi semangat anti-penjajahan.

Al-Imam ni penting untuk disebut dalam sejarah nasionalisme kita. Al-Imam dianggap majalah Islam pertama yang membawa agenda pembaharuan pemikiran rakyat. Bertitik-tolak dari penulisan dan kebolehan membaca yang dimiliki oleh lebih ramai anak muda, akhbar-akhbar jugak mendapat tempat dalam hati peribumi. Walaupun banyak akhbar dan majalah ni tak berkekalan lama akibat faktor kewangan; tapi semangat yang dibawa tetap kekal dan lebih kuat.

syed sheikh al hadi
Via Daulah Rakyat

Anak muda sedar tenaga diorang diperlukan untuk mengubah nasib peribumi, kemerdekaan tercetus

Kewujudan akhbar dan majalah ni jugak menjadi landasan kepada penyebaran idea-idea baharu yang awalnya terpekung dalam institusi perguruan. Seperti yang dah kami katakan tadi, semangat pendidikan terus hidup subur. Ia subur dalam institusi pendidikan yang lebih tinggi seperti di Maktab Perguruan Sultan Idris. Semangat pendidikan ni jadi benih kesedaran dalam jiwa anak muda berpendidikan untuk mengubah nasib kaumnya dari penjajahan menuju kemerdekaan.

Kewujudan persatuan penulis dan gerakan muda menghidupkan lagi semangat anti-penjajahan. Yang diharap keluar dari rahim maktab tu hanyalah guru-guru biasa, namun yang terlahir pulak adalah generasi pemikir muda yang berani. Tokoh politik terkemuka seperti Ibrahim Yaakub, Senu Abdul Rahman, Abdul Ghaffar Baba, Abdul Rahman Talib muncul. Tokoh sasterawan seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidik, Masuri, S.N Kemala, A. Wahab Ali, Awang Had Salleh dan Atan Long jugak meneruskan legasi pendidikan dari maktab yang sama.

upsi bangunan dulu
Via Pak Man

Semangat anti-penjajahan ni terbenam seketika apabila Jepun melanggar Tanah Melayu. Di Borneo Utara dan Sarawak, keadaan yang sama jugak berlaku. Akan tetapi, perkembangan kesedaran politik boleh dikatakan tak selincah apa yang berlaku di Tanah Melayu.

Hanya semasa zaman Jepun inilah, idea-idea politik dari Indonesia tersebar. Misalnya, kewujudan komunis di Sarawak sedikit sebanyak membantu menyebarkan faham anti-British meskipun pada akhirnya, tetap jadi punca kesengsaraan rakyat. Gerakan-gerakan kemerdekaan di Sabah jugak sedikit sebanyak dimajukan oleh elit peribumi.

screenshot 2022 03 26 at 08 35 01 untitled 542 1078 1 sm.pdf
Tun Datu Mustapha Datu Harun, pejuang kemerdekaan Sabah.. -Via Jurnal Mindamas

Apabila Jepun mengaku kalah dan serah diri, semangat anti-penjajahan ni bertukar rupa menjadi semangat kemerdekaan. Anak-anak muda yang sama ni terus jadi inspirasi generasi baharu yang mencabar semula British, di samping trauma dengan penguasaan asing ke atas peribumi.

Nampaknya memang benarlah kata-kata Soekarno: “Beri aku 1000 orang tua, niscaya akan kucabut semeru dari akarnya … Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia”. Anak-anak mudalah sebenarnya yang mencorak masa depan sesebuah negara.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.