Sebab sentimen agama melampau menang di India, tapi kalah di Indonesia

Baru-baru ni, Indonesia dan India sudah melaksanakan proses pilihan raya untuk memilih siapa yang bakal mentadbir negara masing-masing lepas ni. Presiden Jokowi dan Perdana Menteri Narenda Modi memiliki karisma, pro pada pembangunan dan populariti daripada kelompok konservatif. Ada isu yang menarik tentang kedua-dua negara ni bila kita bercakap tentang sentimen agama dan bangsa dalam politik. Kedua-duanya memiliki cara yang tersendiri, dan penerimaan rakyat pun berbeza-beza. Di Malaysia, nampaknya sentimen agama dan bangsa ni masih laris, mana-mana ahli politik yang guna sentimen agama dan bangsa, diorang akan mudah dapat undi rakyat.

Contohnya. Via TMI

Sentimen keagamaan dalam nasionalisme Indonesia boleh jadi suatu virus kepada ketidaktoleran agama…

Dan Slater dan Maya Tudor dalam artikel “Why Religious Tolerance Won in Indonesia but Lost in India” pada 3 Julai 2019 merumuskan sebab perbezaan ini dengan sejarah negara mereka. Ketika era 1940-an, kedua-dua negara dibentuk oleh perjuangan para pemimpin dan gerakan kebangsaan yang terdiri dari pelbagai agama. Malah, perlembagaan kedua-dua negara pun tidak cenderung kepada agama yang dipegang oleh majoriti rakyatnya. Pembentukan kedua-dua negara ini datang daripada nasionalisme inklusif, suatu nilai yang sangat penting untuk kelompok demokrat.

Pada Mei tahun lalu, Surabaya dikejutkan dengan tragedi pengeboman tiga buah gereja Kristian. Warga Muslim sekitarnya datang meminta maaf dan mengucapkan takziah kepada penduduk Kristian. Kredit foto: Themuslims.info

Namun begitu, identiti nasional Indonesia masih lagi terikat pada agama dan hal ini memberi ruang yang luas untuk golongan Muslim. Di Indonesia, sentimen keagamaan dalam nasionalisme Indonesia boleh menjadi suatu virus kepada ketidaktoleran agama sepertimana ia menjadi virus berbahaya yang menyebar dalam kalangan rakyatnya. Identiti nasional Indonesia mengakomodasi Islam dalam politik dan tidak menjadi pemisah antara Muslim dan minoriti bukan Muslim. Bahkan, nasionalis Muslim biasanya akan bersatu dengan bukan Muslim untuk melawan kelompok Muslim intoleran.

Kombinasi Jokowi-Amin, buktikan seseorang boleh jadi Muslim taat, tapi liberal bab politik

Pilihan raya 2019 di Indonesia membuktikan bahawa seseorang boleh menjadi seorang Muslim yang taat dan nasionalis pluralis. Parti politik yang dipimpin oleh Jokowi berjaya bersatu dengan Nahdatul Ulama (NU), sebuah organisasi Muslim terbesar di Indonesia. Jokowi juga menggandingkan dirinya dengan seorang pemimpin konservatif dari NU, dan menimbulkan sedikit kerisauan dari para pengikut Jokowi yang lebih liberal. Strategi ini membawa hasil yang amat memberangsangkan terutamanya di kawasan Jawa Timur dan Tengah dengan hampir 20 juta undi.

Lain pula situasinya kat India. Nasionalisme Hindu sudah lama menguasai pentas politik India walaupun Perlembagaan negara itu memaktubkan hak sama rata untuk semua kumpulan minoriti. Di bawah Perdana Menteri sulung India, Jawaharlal Nehru telah menstrukturkan kod perundangan yang berasingan antara agama dan politik. Sempadan ini terus kabur di bawah Bharatiya Janata Party (BJP).

Kredit foto: The Indian Express

Saintis politik Pradeep Chhibber dan Rahul Verma berkata – pecahan marjin undi kepada BJP boleh dilihat daripada dua kelompok nasionalis Hindu iaitu kelompok yang lebih suka polisi yang pro-majoriti biarpun terpaksa mengenepikan kelompok minoriti Muslim dan kelompok nasionalis Hindu yang ingin melindungi budaya Hindu.

BJP berjaya mempopularkan idea bahawa kerajaan India seharusnya menekankan kepentingan budaya Hindu manakala sekularisme hanya sebuah polisi untuk memuaskan hati kelompok minoriti. Kesannya, sokongan terhadap BJP meningkat pada tahun 2014. Dari satu sudut, Indonesia dan India mempunyai asas yang kuat untuk menangani sikap intoleran.

Yang lebih penting adalah usaha parti politik dan para ahli politik ke arah perubahan yang lebih toleran. Masih wujud kemungkinan kebangkitan politik Islam yang lebih autoritarian kat Indonesia walaupun dengan situasi nasionalisme pluralisme Indonesia. Nasionalisme Hindu kat India turut mampu berganjak dari keadaan kini jika parti pembangkang boleh mengemukakan calon yang lebih berkemampuan untuk melihat lebih jauh dari pertembungan ideologi ini. Apa yang pasti, perjuangan untuk mempertahankan pluralisme masih belum selesai dalam kedua-dua pentas demokrasi terbesar Asia.

Kredit imej: Syskool

Rakyat Malaysia harus belajar dari situasi politik kat dua-dua negara ni…

Kita juga harus belajar daripada keadaan politik kedua-dua negara Asia ni, lagi-lagi dengan sifat negara kita yang dilatari pelbagai kaum dan agama. Nasionalisme inklusif haruslah menjadi paksi utama dalam pembentukan kerajaan supaya dapat mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang kita bangga-banggakan sejak 1969. Rusuhan berdarah ini menjadi tanda kenangan pahit kita, begitu juga dengan tragedi berdarah yang berpotensi mengugat keharmonian kaum seperti peristiwa Tanduo, Lahad Datu (2013) dan insiden Kuil Sri Maha Mariamman tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *