Sejak beberapa bulan lalu, nama Tajuddin Abdul Rahman terus timbul dalam isu-isu dalaman UMNO. Mula-mula, Tajuddin dilantik jadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia. Berita tu mengundang pelbagai reaksi, walaupun Presiden Indonesia sendiri kata diorang setuju je Tajuddin jadi Duta Besar Malaysia.
Sekarang ni, dilaporkan pulak Tajuddin dipecat dari MT UMNO dan digantikan oleh Isham Jalil. Melihat situasi dalaman UMNO kini, rekahan tersebut menjadi lebih besar sehingga krisis tersebut diketahui khalayak ramai. Atas sebab tu, Tajuddin tanpa berselindung mula buka mulut untuk dedahkan perkara sebenar tentang beberapa nama besar UMNO.
1. Ada kata Anwar tak tipu soal angka, Tajuddin saksikan UMNO hantar SD sokong Anwar
Salah satu dakwaan Tajuddin adalah dia merupakan saksi UMNO yang hantar akuan berkanun (SD) sokong Anwar Ibrahim sebagai PM kepada Agong. Dalam satu sidang media, Tajuddin kata lagi SD yang diuar-uarkan oleh Anwar ketika tu memang wujud meskipun pemimpin UMNO laungkan ‘No DAP, No Anwar’.
“Saya saksi hidup…saya diminta tandatangan. Mula-mula tak nak tetapi dah masam muka, tandatangan juga,”- seperti yang dilaporkan FMT
Pada Ogos tahun lalu, Anwar Ibrahim dakwa PM Muhyiddin Yassin dah hilang majoriti. Dia kata dia dapat makluman beberapa menteri dah mohon kepada speaker Dewan Rakyat untuk ubah sokongan diorang. Secara jumlah dengan bilangan 107 ahli Parlimen, kerajaan dah ditumbangkan. Dakwaan yang sama dilaungkan setahun sebelum tu, siap disahkan lagi oleh Exco Pemuda UMNO masa tu, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo.
Memandangkan kita tak pernah tengok senarai nama orang yang sokong Anwar pada masa tu, kita hanya boleh percaya je lah kata-kata pemimpin parti. Pendedahan Tajuddin membuka spekulasi baharu: adakah dakwaan angka Anwar dulu tu terbukti benar?
2. Zahid pernah sumpah dia tak sokong Anwar jadi PM, tapi Tajuddin dakwa sebaliknya
Satu lagi dakwaan Tajuddin adalah Zahid sebenarnya ‘kepala’ di sebalik gerakan dalaman untuk sokong Anwar jadi PM. Bahkan, Tajuddin kata Presiden Zahid Hamidi pun tandatangan SD tersebut. Jadi apakah benar, Zahid benar-benar sokong Anwar sepertimana yang dirakamkan audio suaranya tahun lalu?
Beberapa ahli parlimen lain yang dikatakan dah tandatangan SD terbabit antaranya Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.
“Ahli Parlimen lain? Datuk Seri Hishammuddin Hussein saya tak ingat, KJ (Khairy Jamaluddin) pun saya tak ingat (tanda tangan SD) atau tidak,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian
Namun pada Ogos tahun lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pulak kata dia jadi saksi Ahmad Zahid lafazkan sumpah tak akan sokong Anwar Ibrahim jadi PM dan akan tolak kerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan DAP. Sebulan sebelum tu, rakaman audio sokong Anwar tular dan dia mengaku tu suaranya.
Menyokong kenyataan Tajuddin berkenaan Zahid Hamidi, serentak dengan hari Tajuddin buat kenyataan media iaitu pada 27 Jun. Nazri Aziz, yang dinamakan oleh Tajuddin sebagai salah sorang anggota UMNO yang tandatangan SD sokong Anwar jugak buat pendedahan yang sama.
“Memang betul…SD itu ditandatangani masa Tun Dr Mahathir Mohamad (menjadi Perdana Menteri) sekali dan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali.
Ketika itu saya tandatangan sebab nak menyelamatkan UMNO…kita sokong Anwar sebab kedua-dua pemimpin (Mahathir dan Muhyiddin) ini nak bubarkan UMNO (ketika itu).
Masa itu saya Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), kita kejar Anwar supaya tolong jangan bubarkan UMNO,”- Nazri Aziz, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Rekahan dalaman UMNO semakin memuncak apabila Tajuddin bongkarkan lagi perkara ketiga berkenaan UMNO. Patutlah Tajuddin minta Zahid berundur secara baik.
3. Tok Mat didakwa pernah cuba ‘gulingkan’ Zahid Hamidi, Tajuddin dedahkan Tok Mat takut lepas diugut orang Zahid
Dakwaan ketiganya ada kaitan dengan sorang lagi tokoh UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat. Tajuddin Abdul Rahman dedahkan terdapat satu perjumpaan antara pemimpin parti tu untuk jatuhkan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, perjumpaan tertutup yang diadakan di rumahnya tu diketuai oleh Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat dan Najib Razak.
“Pada Mei 2020, Mohamad nak buat memorandum untuk meminta Ahmad Zahid turun dengan baik demi kepentingan UMNO. Kita mahu minta beliau turun dengan cara baik. Bukan dengan cara tendang-tendang. Tak baiklah macam tu…
130 orang ketua bahagian setuju antaranya Perak 18 orang yang setuju dan negeri-negeri lain. Satu tahun Ahmad Zahid pegang jawatan tersebut telah mula tunjukkan kelemahan dan kita tak sanggup untuk teruskan,”- Tajuddin, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Gerakan tersebut tak jadi kenyataan bila Tok Mat belot dan buat pusingan U selepas digertak oleh orang-orang Ahmad Zahid. Tok Mat nafikan dia terlibat dalam usaha tersebut dan nak tenangkan keadaan. Bila keadaan tu berlaku, Najib nak bantu usahakan memorandum minta Ahmad Zahid turun.
“Kita buat keputusan supaya Najib akan panggil orang dia supaya sokong gerakan itu. Jadi, panggil orang-orang Najib ke rumahnya untuk berbincang. Tetapi, lain pula jadinya. Bukan nak minta Ahmad Zahid turun, tetapi nak jadikan Najib sebagai Pengerusi Barisan Nasional”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Tajuddin kata Najib sekadar diamkan diri apabila ditanya apa dah berlaku mengenai gerakan tersebut. Tok Mat pada Oktober 2020 dah lama suarakan tentang kepimpinan Zahid Hamidi dalam menentukan hala tuju parti selepas PRN Sabah. Kekecewaan Tok Mat ada kaitan dengan peranan UMNO yang difikirkannya lebih kecil apabila hanya jadi pemain politik terpencil dalam gabungan GRS (Gabugan Rakyat Sabah).
Tajuddin desak Zahid Hamidi berundur sebagai presiden parti dan mahu jawatan tu diisi oleh Ismail Sabri. Malah, dia dakwa Zahid rancang nak jadi PM selepas PRU15. Malahan, Ismail Sabri dikatakan hanya digunakan sebagai ‘poster boy’ bagi menyegerakan pilihan raya umum. Bukan tu je, Tajuddin menyelar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hanya bertindak sebagai ‘pak turut’ kepada kehendak Zahid.
“Keputusan MKT bukan kehendak MKT tetapi kehendak dia (Zahid). Dia bagi seorang dua cakap, lepas itu keputusan sudah putuskan…MKT wayang sahaja… Zahid tumpu kes-kes (mahkamah), tak mampu dia nak jaga parti, nak kita hadapi pilihan raya,”- seperti yang dilaporkan FMT
Pendedahan-pendedahan yang dibuat oleh Tajuddin ni mengejutkan ramai pihak, khususnya bila topik PRU15 menjadi bualan hangat sekarang ni. Walaupun begitu, kita tak pasti sejauh mana dakwaan dan pendedahan yang dibongkarkan Tajuddin.