Kalau kita ingat balik sejarah Borneo, kita boleh sebut beberapa penjajah asing yang sampai ke sana iaitu British dan Jepun. Tapi siapa sangka, rupanya Amerika Syarikat juga pernah sampai ke Borneo.
Lebih tepat lagi – di Kimanis, Sabah.
Kimanis, dieja pada sebuah peta lama sebagai Keemannees merupakan satu-satunya koloni penempatan yang pernah dikuasai oleh pihak Amerika Syarikat. Sebuah kapal perang dinamakan USS Constitution mendarat ke Borneo dengan membawa suatu tawaran perlindungan kepada Sultan Brunei pada 1845. Waktu tu, sudah banyak kuasa asing mulai menjalar ke Nusantara.
Amerika Syarikat berikan tawaran kepada Brunei
Tawaran tu mulanya gagal kerana perjanjian yang diberi oleh Amerika Syarikat tidak begitu menguntungkan Brunei. Hanya lepas tahun 1856, barulah Brunei setuju dengan perjanjian persahabatan yang dikemukakan oleh Amerika. 10 tahun kemudian, Presiden Lincoln luluskan permohonan seorang bekas pegawai tentera laut bernama Charles Lee Moses untuk jadi Konsul Jeneral Amerika Syarikat yang pertama ke Brunei.
Sampai saja Charles Moses ni di Kimanis, beliau pun adakan perjanjian pajakan dengan Brunei pada 1865, sekaligus secara rasminya memulakan pertapakan Amerika di Sabah. Namun ada satu masalah. Moses kurang duit modal untuk buat bisnes lalu belayarlah beliau sampai ke Hong Kong untuk jual geran tanah yang sudah dipajak tadi.
Pada bulan September, beliau berjaya jual geran tu pada sebuah syarikat perkongsian dinamakan American Trading Company (ATC). Syarikat ni ada empat orang ahli; Joseph William Torrey, Thomas Bradley Harris, Ah Sing dan Ah Pong. Matlamat bisnes mereka adalah untuk jalankan aktiviti perdagangan, pembalakan dan perikanan di Borneo Utara.
Nama Koloni Ellena, nama yang istimewa masa tu
Dari mana datangnya nama Ellena ni pula? Haa.. sebenarnya itu nama kapal yang mereka naiki masa belayar menuju ‘tanah harapan’ Borneo. Lebih kurang 60 orang telah dibawa bersama untuk pindah ke koloni baharu di hutan Borneo yang mistik.
Ada beberapa sebab kenapa Kimanis yang dipilih.
- Kimanis ada banyak sumber kayu-kayan. Tanahnya subur dengan makanan yang berkhasiat. Air pun cukup segar.
- Dekat dengan kawasan Brunei. Kalau ada apa-apa masalah, boleh minta tolong Kesultanan Brunei.
- Penduduk tempatan okey saja. Lagipun wakil Brunei dirasakan selalu bebankan mereka dengan cukai-cukai pelik sampaikan sumber alam seperti emas, arang batu dan damar yang mahal tu dibiarkan saja. Kalau kaya, kena rampas pula.
- Ada garis panduan supaya wujud keharmonian dan penjagaan hak antara hak orang tempatan dengan hak syarikat. Sebarang penindasan dan jenayah akan diadili ikut undang-undang Amerika Syarikat.
- Dekat dengan muara sungai. Boleh buat perusahaan pembinaan kapal.
ATC banyak idea yang bernas. Mahu bina stesen arang batulah, mahu buat jadi pangkalan perdagangan Amerikalah. Tetapi dalam empat orang rakan kongsi tadi, Bradley Harris dalam diam sebenarnya bercita-cita ingin menjadi ‘Rajah’ di Borneo. Terinspirasi agaknya dengan Rajah Brooke di Sarawak.
Kebetulan pada waktu ni, bisnes masih perlahan dan modal pula makin mengurang. Harris yang berada di Hong Kong belayar dahulu ke Pelabuhan Victoria (sekarang Labuan) untuk dapatkan sumber arang batu dan seterusnya menuju Ellena. ATC tidak setuju dengan cadangan Harris, lalu Torrey sendiri mahu kembali ke Hong Kong untuk cari modal.
Harris meninggal dunia semasa ketiadaan Torrey akibat penyakit Malaria sewaktu di Kimanis dan dikuburkan di Koloni Ellena. Disebabkan inilah, tiada lagi menjaga hal ehwal kewangan ATC. Buruh Cina yang dibawa untuk mengusahakan koloni juga hampir tamat kontraknya. Kos pembangunan Kimanis juga tidak lagi tertanggung sepertimana dalam perjanjian Brunei-Amerika.
Moses pujuk Sultan Brunei tarik semula konsesi tanah
Keadaan yang merundumkan ni membuatkan Torrey ingin berundur sahaja dari ATC dan keluar dari Ellena (dan Kimanis). Moses tidak setuju dan paksa Torrey untuk bayar royalti sepertimana yang dijanjikan dahulu. Torrey sudah betul-betul buntu dan kehabisan wang. Moses akhirnya putuskan untuk pujuk Sultan Brunei tarik semula konsesi tanah tu untuk diberi pada syarikat lain pula.
Koloni Ellena semakin ditinggalkan satu persatu. Pekerja orang putih seperti kerani dan pegawai sudah pulang ke negara asal. Buruh Cina pula ramai yang bermigrasi ke Labuan untuk bekerja di lombong arang batu. Torrey? Langsung tidak mahu pulang lagi ke Borneo. Bukan kerana putus asa, tapi kerana polisi Amerika selepas Perang Saudara yang lebih memihak pada pemulihan dalaman negaranya, permohonan Torrey untuk mendapatkan modal telah ditolak.
Perlahan-lahan, koloni Ellena telah mati. Dimakan rimba yang tebal di bawah penguasaan Amerika Syarikat sebelum Torrey menjual konsesinya kepada Baron von Overbeck, iaitu Konsul Jeneral Kerajaan Austria di Hong Kong dengan harga sebanyak 15,000 dollar. Secara sahnya, penguasaan Amerika tamat pada 1875 dengan bertukarnya tangan kepada seorang Austria bernama von Overbeck.