Emas ni sangat berharga, dan dikatakan tak luput nilainya walaupun dah tenggelam kat dasar ataupun dah hilang terkubur dalam tanah beratus tahun lamanya. Sebab tu lah kalau kita jumpa emas dan harta karun tamadun lama, nilainya tak luput dan kekal boleh dijual beli dalam harga pasaran sekarang. Namun bukan tu sebenarnya kami nak kisahkan hari ni. Kami nak bawa korang meneroka sejarah pulak – kenapa emas Srivijaya ni amat penting, tak macam emas lain.
Lebih menarik lagi, kenapa sebatang sungai kat Palembang tu penuh dengan emas? Ni bukan emas yang korang kena korek, sebaliknya tinggalan lama tamadun silam dan artifak buatan tangan diorang. Dari segi sejarah, dah tentu nilainya boleh lebih cecah jutaan ringgit sekiranya dijual di pasaran gelap. Nilainya jugak bernilai tinggi buat masyarakat Melayu sebab ia adalah antara bukti fizikal Srivijaya pernah bertapak kat sana. Tapi, kenapa banyak sangat emas diorang?
Nelayan pulak yang teroka cari harta karun dan artifak lama dekat sungai bertapaknya tamadun Srivijaya, pakar arkeologi sendiri gagal temuinya
Kadangkala, pakar arkeologi yang tersohor sekalipun mungkin tak berkepakaran tinggi untuk menemui tinggalan-tinggalan lama sesebuah tamadun. Bila orang tempatan khususnya para nelayan yang memang dah biasa dengan ilmu kelautan, diorang lebih berani dan dapat mengetahui butiran yang pakar sendiri tak dapat perolehi.
Sejak lima tahun lalu, nelayan yang teroka Sungai Musi berhampiran Palembang dah banyak jumpa harta karun dan artifak menakjubkan, antaranya termasuk batu permata, cincin emas, syiling dan loceng gangsa sami.
Salah satu penemuan paling luar biasa setakat ni adalah patung Buddha bersaiz besar bertatahkan permata dari abad ke-8, yang dianggarkan bernilai jutaan pound. Kesemua artifak ini dipercayai wujud sejak peradaban Srivijaya, sebuah kerajaan antara abad ke-7 dan ke-13 yang tiba-tiba lenyap satu abad kemudian.
“Ramai ahli sejarah yang cuba ‘memburu’ khazanah Srivijaya sehingga ke Thailand dan India, namun tidak banyak yang ditemui, Bahkan di Palembang, lokasi kerajaan itu lenyap, para ahli arkeologi gagal mencari bahan bukti yang cukup walaupun untuk sebuah perkampungan kecil. Srivijaya benar-benar cermat menjaga rahsianya.
Sejak lima tahun kebelakangan ini, barulah kita menemui barangan luar biasa. Duit syiling, patung emas Buddha, permata dan semua jenis barangan yang mungkin anda baca dalam kisah Sinbad, tetapi ia sebenarnya wujud di alam nyata,”- Dr. Sean Kingsley, ahli arkeologi maritim Britain, seperti yang dipetik Astro Awani
Srivijaya adalah tanah penuh emas dan terlalu kaya, tiap hari emas dibuang ke sungai untuk peroleh nasib baik dan jamin keselamatan diorang
Persoalan utama di sebalik penemuan nelayan ni adalah berapa banyak sebenarnya emas Srivijaya? Mengikut artikel Dr. Sean Kingsley dalam Wreckwatch yang disiarkan pada 22 Oktober lalu, Srivijaya ni sangat kaya dan gemilang. Ia dikenali oleh China, sebab selalu hantar ufti dan para pedagang China jadi berminat nak ke Srivijaya. Ia jugak dikenali oleh para pedagang Arab dan para sami Buddha. Dalam ingatan China, Srivijaya dikenali sebagai San-fo-ch’i, manakala bagi Arab, ia dipanggil Sribusa, pulau Zabag dan negara Maharaja.
Ia mula-mula dikenal pasti dalam catatan I-Tsing pada 671 Masihi. I-Tching ni sami Buddha yang belayar dari Guangzhou ke Sriivijaya. Srivijaya jugak masa tu menjadi pusat pembelajaran Buddha dan didiami oleh 1000 sami. Al-Masudi pulak menulis pada pertengahan abad ke-10, Srivijaya ni banyak tentera, tanahnya subur dan penuh dengan hasil rempah ratus. Tempat diorang pulak dekat dengan laut, yang mana strategik bagi kapal-kapal untuk belayar. Budaya dan adat masyarakat kat Srivijaya pun menarik jugak.
Ibn al-Faqih pada 903 Masihi menulis;
“…terdapat burung kakak tua, putih, merah dan kuning, yang boleh diajar untuk berbahasa Arab, Parsi, Greek dan Hindi; burung helang putih dengan dada merah, dan monyet besar yang berekor seperti seekor kerbau”
Namun sekitar 850 Masihi, Al-Masudi menulis tentang keadaan Sriivjaya pada masa tu. Dia kata ada api keluar dari pergunungan yang kelihatan merah pada waktu siang dan hitam pada waktu malam. Letusan tu kemudiannya diiringi dengan bunyi seakan kilat menyambar dan sangat kuat serta menakutkan. Boleh jadi jugak Srivijaya terkesan dengan letusan gunung berapi, memandangkan kawasan Sumatra ni terletak dalam Lingkaran Api Pasifik. Namun ia nampaknya tak menyebabkan Srivijaya ‘hilang’ dari peta.
Hanya pada 1025 Masihi, apabila Chola melanggar Srivijaya kerana nak kuasai Selat Melaka…. barulah Srivijaya yang dibina di Sungai Musi tu terpaksa berpindah ke Jambi. Walaupun begitu, rekod sejarah yang ni terbentuk daripada catatan-catatan para penulis yang dikatakan pernah berkunjung ke Srivijaya. Bila nak cari bukti fizikal pulak, tu satu kisah yang berbeza. Sekitar 1930-an hingga 1960-an, diorang berjaya jumpa beberapa patung Buddha yang ditarikhkan pada 750 hingga 15 Masihi di Palembang.
Tetapi bila diorang cuba cari kat Geding Suro, Air Bersih, Sarang Waty dan Bukit Seguntang; takde penemuan yang boleh dikesan lebih awal daripada abad ke-13. Para pengkaji kemudiannya simpulkan bahawa tak mungkin Srivijaya ni terletak di Sungai Musi sebab kawasan keseluruhannya tak cukup untuk membuktikan wujudnya sebuah kampung pun di sana.
Diorang cari kat darat, tapi diorang lupa nak cari kat dasar air pulak nampaknya. Giliran para nelayan pulak nak korek kekayaan Srivijaya di dasar laut. Di situ barulah diorang jumpa harta karun dan artifak-artifak Sirivjaya. Emas yang ‘diberikan’ kepada para dewa-dewi atau penjaga laut tu lah yang akhirnya ‘memberikan’ Srivijaya suatu tempat dalam sejarah. Ikut kepercayaan diorang, raja Srivijaya biasanya akan buang sebongkah emas ke Sungai Musi setiap hari. Rutin raja Srivijaya ni diikuti jugak oleh masyarakat tempatan di sana khususnya ketika waktu dalam kesusahan.