Peristiwa ini tunjukkan kegagalan British bantu perpaduan masyarakat Melayu dan Cina

F1

Buku teks sejarah tak menceritakan kita banyak benda mengenai apa yang berlaku di bawah pentadbiran British Military Administration (BMA) lepas pengunduran tentera Jepun dari Tanah Melayu. Seperti yang kita dah tau di zaman Jepun, masyarakat tempatan sengsara dan serba kekurangan. Oleh demikian, banyak usaha perjuangan termasuklah gerakan tempatan dan komunis ni menentang Jepun.

Namun bila dah ada British kembali semula, Tanah Melayu masih lagi daif dan belum kembali tenang apabila gerakan komunis pulak cuba untuk menawan Tanah Melayu demi impian mendirikan kerajaan republik komunis. Peristiwa berdarah Bekor di Perak antara salah satu bukti gagalnya British, di sebalik kegagahan yang cuba ditunjuk lepas Perang Dunia kedua.

Bekor Peta
Peta Bekor yang berdekatan dengan kawasan sungai dan gunung.. Via konflikdanmiliter.blogspot

Hubungan Cina-Melayu dicacatkan oleh pihak komunis, dirosakkan pulak oleh pihak tentera Jepun hingga penduduk tersepit

Kesepaduan kaum ni bukanlah perkara yang senang nak dilakukan, tambah-tambah lagi apabila kebanyakan polisi ekonomi British untuk menjana semula kewangan ibu negaranya memerlukan lebih ramai pekerja dari luar. Di Tanah Melayu, penempatan kaum berdasarkan zon kemakmuran ekonomi menyebabkan integrasi antara kaum tak dapat berlaku khususnya Cina dan Melayu.

Kat Perak, hubungan Cina dan Melayu baik je hingga masyarakat Melayu awalnya takde masalah untuk bersetuju menentang Jepun dengan sokong Bintang Tiga atau nama lainnya, Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) yang berideologikan komunis. Asalnya, Bintang Tiga ni pun hanyalah pasukan gerila yang dilatih dan dapat senjata dari British dan tak semua setuju dengan fahaman komunis.

Bintang 3 Teks
Dalam buku teks Sejarah lama yang memuatkan gambar Bintang Tiga.. Via Twitter

Lama-kelamaan, fahaman komunisme tu menular ke dalam gerakan tersebut hingga turut mengancam masyarakat Bekor. Bekor ni telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran MPAJA di Kuala Kangsar, lantaran pengaruh MPAJA yang besar kerana penyertaan pemuda-pemuda yang nak lawan Jepun ni.  Sebagai serangan balas, Jepun buat gerakan kawalan kampung (Jikeidan) lepas kes sabotaj dan rompakan Bintang Satu ke atas sebuah kedai Cina.

Masyarakat Bekor akhirnya tersepit diancam Bintang Tiga dan Jepun sendiri, namun penduduk kampung ketika tu lebih khuatir dengan gerakan komunis ni sebab taktik gerila mereka termasuklah menculik penduduk kampung. Jepun pulak berpandangan kehilangan penduduk kampung tu bererti orang yang hilang tu mesti ikut MPAJA. Kalau ada orang hilang dan penduduk kampung gagal kesan, Jepun akan hukum penduduk kampung tu.

Komunis Bintang 3
Via Orangperak.com

Keganasan komunis termasuklah mewujudkan “Kangaroo Courts”, bertujuan untuk dijadikan tempat menjatuhkan hukuman kepada mana-mana penduduk kampung yang disyaki membantu Jepun. Kalau Jepun tu, memang dah jelaslah musuh apabila kebanyakan penduduk yang bantu Jepun pasti akan diberi ganjaran. Berbeza pulak dengan komunis, mereka ni ‘duri dalam daging’ dan bergerak dalam kalangan penduduk.

Antara hukuman yang dilaksanakan oleh Bintang Tiga ni termasuklah menghukum tanpa siasatan ke atas mana-mana penduduk yang taknak bekerjasama dengan mereka. Kepala mereka akan diseksa terlebih dulu, sebelum dipancung dan dicampakkan dalam telaga berdekatan. Kalau ada penjamin, barulah seseorang penduduk tu akan dilepaskan.

Mpaja Pkm
Bintang Tiga.. Via Sgfilmhunter

Pengalaman buruk hidup diancam ketakutan oleh Jepun dan komunis, Melayu-Cina cuba berbaik semula

Berbanding Jepun dan Bintang Tiga, penduduk kampung hanya berbekalkan amalan ilmu agama, serta keberanian untuk melawan musuh yang kemas bersenjata api. Oleh disebabkan mereka taknak lagi hidup dalam ketakutan, golongan ulama, pemimpin agama, tokoh tempatan bersama dengan kaum wanita bersatu lawan komunis yang bermaharajalela di Bekor.

Amalan ilmu kebal antaranya menjadi tradisi ilmu pertahanan diri, malah dicatatkan dalam rekod British bahawa amalan tersebut menjadi popular di Negeri Sembilan pada November 1945 susulan kesedaran awal nasionalisme untuk melindungi diri dan melawan anasir jahat. Orang Melayu dan Cina turut belajar seni mempertahankan diri, dimana orang Melayu akan belajar pencak silat manakala orang Cina akan belajar kuntau dari guru-guru kuntau yang sudah lama bermastautin di Bekor.

Silat Melayu
Via Ansar As Sunnah

Lepas Jepun menyerah kalah, keganasan Bintang Tiga semakin menjadi-jadi. Oleh disebabkan tu lah, sifat prejudis dan prasangka buruk orang Melayu terhadap orang Cina semakin kuat kerana ada antara orang Cina ni pun terlibat dengan Bintang Tiga. Padahal bukan semua masyarakat Cina terlibat dengan komunis. Salah satu peristiwa besar yang terjadi di Bekor ialah pada 6 Mac 1946.

Pada 4 Mac 1946, Civil Adviser Officer (CAO) Kuala Kangsar lawat Bekor lepas wujudnya kes pergaduhan Melayu-Cina pada 2 Januari lalu. Sorang Cina terkorban manakala 4 lagi hilang. Jadi CAO ni nak datang untuk buat perjumpaan bersama pemimpin Melayu dan Cina. Namun pada malam yang sama, 6 buah rumah orang Cina dibakar termasuklah Sekolah Cina Bekor. Ramai orang Cina larikan diri ke estet Ban Sin Loong.

Terowong Komunis
Komunis sentiasa ada lubuk di sana sini pada masa tu.. -Via M-Update

Dalam satu peristiwa lain lagi, kira-kira 100 orang Cina dikejar oleh penduduk Melayu kerana dikatakan merosakkan tanaman orang Melayu ketika kerja membina jalan kampung selebar 6 kaki. Banyak lagi peristiwa membabitkan pergaduhan dan pembunuhan antara Melayu dan Cina sehinggalah ke 6 Mac tu. Sepanjang tempoh tersebut, terdapat usaha nak berdamai semula antara wakil ulama dan pemimpin Cina hampir setiap kali ada pergaduhan besar antara Melayu dan Cina.

Usaha berdamai ni tentulah digerakkan oleh kedua-dua pihak, sebab tentulah tak sedap rasa hati bila bergaduh. Pihak komunis tetap akan serang kedua-dua pihak ni, jadi sudah pastilah jika kaum Melayu dan Cina masih bertelagah… akan lebih buruk padahnya.

6 Mac 1946 bukti kegagalan British bantu hubungan Melayu dan Cina, hanya lawat Bekor apabila perang lawan komunis tamat

Pada ketika ni, agak sukar untuk menentukan mana satu kelompok Cina yang tak terlibat dengan komunis mahupun yang tak dipengaruhi komunis untuk menentang Melayu. Mengikut dapatan Mohamed Ali bin Haniffa (2017), BMA betul-betul menunjukkan kelemahan dari segi strategi memperbaik hubungan Melayu-Cina dan memberi bantuan kepada orang Melayu lepas ramai antaranya terkorban.

Rumah Uda Mashyur Bekor
Via konflikdanmiliter.blogspot

Serangan komunis berlaku selama 2 hari, di mana ia bermula pada 5 Mac 1946 sekitar jam 10 pagi. Dalam perjalanan serangan komunis tu, mereka bertembung dengan rumah pemimpin Melayu seperti Abdul Rahman bin Uda Mohamad. Tuan Haji Salleh bin Abdul Manan pulak mengetuai serangan penduduk Melayu mempertahankan diri dengan berbekalkan parang panjang dan bertempur dengan komunis selama 2 jam. Sebanyak 7 buah rumah orang Cina terbakar dalam serangan pertama komunis tu.

Dalam serangan kedua pulak, ia dilakukan pada awal pagi dan turut berlaku secara serentak melalui 3 penjuru. Kaum wanita yang turut mempertahankan diri dan anak-anak di rumah jugak lincah bersenjatakan parang panjang. Malangnya, ada antaranya turut terkorban hingga ada yang mati terbakar ketika cuba untuk memerangkap komunis dalam rumah tersebut.

Terbakar Bekor Tanah Melayu Perang
Via konflikdanmiliter.blogspot

Kemudian pada 7 Mac tu, penduduk kampung sebelah pula datang iaitu dari Kampung Semat, Manong membantu penduduk kampung Bekor dengan menaiki sampan besar. Mereka dihujani dengan serangan komunis yang menggunakan parang, lembing dan senapang. Namun serangan tersebut tak lama apabila ramai antara kelompok komunis tu berjaya berundur semula ke hutan.

Apa yang dilakukan British ketika tu? Senior Adviser Officer (SCAO) arahkan pasukan keselamatan untuk cari mangsa dari rumah ke rumah dalam lingkungan jarak lima batu radius (5 km) di kawasan Bekor, Manong dan Parit manakala tentera ditempatkan di situ untuk mententeramkan keadaan. Ketika Bekor diserang, tentera BMA hanya dapat kawal keadaan lepas terjadinya serangan-serangan ni.

Kubur Adik Beradik Bekor
Via konflikdanmiliter.blogspot

British seolah-olah tak peduli sangat pun, sebaliknya hanya “menyelia” usaha pemimpin Melayu dan Cina berbaik semula. Walaupun takde dinyatakan sejauh mana tentera BMA telah dikerahkan untuk bantu mempertahankan orang Melayu, ni secara tak langsung menunjukkan bahawa British tak mampu mengekalkan keharmonian dan tak meredakan langsung ketegangan kaum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *