Feri Muhibbah, feri yang menghubungkan Semenanjung dan Borneo

Setiap kali musim perayaan mesti orang Borneo di Semananjung Malaysia nak balik, macam tu jugak sebaliknya. Setakat ni, cuma ada penerbangan sahaja kalau nak balik, dan musim perayaan selalunya harga tiket akan lebih mahal sebab ada permintaan yang tinggi. Tapi, dulu sebenarnya selain perkhidmatan kapal terbang kita juga ada perkhidmatan feri tau.

Feri Muhibbah, feri yang menghubungkan Semenanjung Malaysia-Borneo

Generasi kini mesti tak tahu tentang kewujudan perkhidmatan feri ni. Perkhidmatan feri ni berbentuk persiaran tetapi dalam masa yang sama boleh membawa penumpang dan juga kenderaan. Dan yang lebih uniknya ialah laluannya menghubungkan antara Semenanjung Malaysia dengan negeri Sabah dan Sarawak melalui jalan air. Inilah satu perkhidmatan feri yang pernah wujud sekitar tahun 1980-an yang dikenali sebagai Feri Malaysia.

Via Arkib Negara

Feri Malaysia telah didaftarkan secara rasmi di Pelabuhan Klang pada tahun 1986 yang mana feri tersebut telah dinamakan sebagai Cruise Muhibbah dan ianya juga merupakan sebuah kapal penumpang yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia pada ketika itu. Dibeli daripada Helsinki, Finland dengan harga RM50 juta. Dan inilah satu-satunya perkhidmatan feri yang dapat menghubungkan antara Semenanjung Malaysia dengan negeri Sabah dan Sarawak.

Idea ni datang hasil daripada inspirasi Tun Mahathir

Tun M telah mendapat inspirasi daripada kejayaan perkhidmatan feri di negeri Scandinavia iaitu antara Finland, Norway dan juga Denmark. Pada masa tu, dia mempunyai pandangan jauh iaitu untuk merapatkan lagi jurang antara tiga entiti pembentuk Gagasan Malaysia yang terpisah oleh Laut China Selatan yang beribu kilometer jauhnya.

Mengikut sejarahnya, idea daripada Tun M ni memberikan Jabatan Perdana Menteri untuk memilih sebuah syarikat perkapalan yang dinamakan Perbadanan Nasional Shipping Line Berhad (PNSL) bagi menjalankan perancangan rapi dan kaji selidik dilakukan sebelum ianya mula beroperasi. Setelah beberapa kajian dan segalanya telah diatur, maka sekitar tahun 1984, sebuah syarikat yang bernama Syarikat Feri Malaysia Sendirian Berhad telah ditubuhkan untuk menyelaras projek “Feri Malaysia” ini menjadi kenyataan.

Via Arkib Negara

Setelah Jemaah Menter Kabinet Malaysia meluluskan projek ini sekitar November 1984, maka sebuah feri telah dibeli dari Helsinki, Finland. Dua tahun kemudian barulah feri ini berjaya disiapkan dengan kerja-kerja pengubahsuaian serta menaik taraf dan dikatakan ini merupakan kerja-kerja kelas pertama yang pernah dibuat untuk sebuah feri persiaran. Pada tanggal 6hb Julai 1986 feri tersebut telah memulakan pelayaran daripada Finland ke Malaysia. Jauh tak jauh?

Feri yang cukup power ni mampu menampung 700 penumpang

Sebulan selepas feri tersebut berlayar, feri ini telah pun sampai di Pelabuhan Kuantan, Pahang pada 6hb Ogos 1986. Dan sejak daripada itu, segala macam bentuk usaha promosi telah dilakukan oleh Syarikat Feri Malaysia Sdn. Bhd. bagi memastikan ianya mendapat sambutan daripada seluruh rakyat Malaysia.

Dengan nama rasminya yang dikenali sebagai “Cruise Muhibbah” merupakan sebuah feri persiaran yang pertama dan terbesar milik kerajaan Malaysia. Dengan beratnya 7,900 tan, mempunyai panjang 134 meter dan mampu untuk berlayar selaju 19 batu nautika. Selain mempunyai kemudahan untuk percutian mewah seperti feri persiaran yang lain di dunia, feri Cruise Muhibbah ini juga boleh membawa kira-kira 700 orang penumpang serta lebih 100 buah kenderaan dalam satu masa.

Via Tenor

Sekitar 31 Ogos 1986, feri Cruise Muhibbah Malaysia ini telah melakar sejarahnya sendiri apabila perkhidmatannya telah dilancarkan oleh Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Negeri Pahang pada waktu itu di Pelabuhan Kuantan, Pahang. Perjalanan pertama feri ini adalah bermula dari Pelabuhan Kuantan ke Kuching (Sarawak) dan seterusnya ke Kota Kinabalu (Sabah) yang mana jangkamasa perjalanan adalah selama dua hari dengan melalui sektor perjalanan Kuantan – Kota Kinabalu.

Akhirnya terpaksa dihentikan akibat kebakaran 

Pada 18 Oktober 1987, perkhidmatan feri Malaysia ini telah mengalami kebakaran pada ruang enjin utama iaitu pada jam 2.45 petang yang mana pada ketika itu ia hampir mendekati destinasi Kuantan. Lokasinya adalah kira-kira 5 KM dari Pulau Tioman, Pahang. Terdapat tiga ratus orang penumpang dan empat puluh buah kenderaan yang terdapat didalamnya pada ketika itu. Namun, kesemua penumpang telah berjaya diselamatkan oleh dua buah kapal muatan kargo dan membawa semua penumpang ke Pelabuhan Kuantan pada hari yang sama. Setelah kebakaran berjaya dipadamkan akhirnya Feri Malaysia terdampar di lautan Pahang buat seketika.

Via Arkib Negara

Menurut laporan kemalangan seperti yang dinyatakan oleh akhbar NST, antara punca berlakunya insiden tersebut adalah kerana kapal asal yang dibeli dari Finland ini sudah pun terlalu lama dan berusia 16 tahun. Akhirnya, selepas tahun 1989, perkhidmatan Feri Malaysia ini tidak lagi beroperasi kerana dikatakan kos operasinya yang terlalu tinggi berbanding keuntungan yang mereka perolehi.

Patutkah feri ni diwujudkan semula?

Korang rasa macam mana? Patutkah kita kembalikan semula sistem pengangkutan Feri Malaysia ni sebagai alternatif untuk pengguna yang menggunakan laluan Laut China Selatan ni? Adakah kali ni kita akan dapat jumpa feri yang lebih berkualiti dan tahan lama? Itu semuanya terletak pada tangan kerajaanlah, terpulang pada pendirian mereka macam mana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *