Sebenarnya ada anugerah lebih tinggi dari TUN, penerima pertamanya bukan Melayu

F1

Menjaga keselamatan negara bukanlah kerja yang senang, terutamanya untuk rakyat barisan pertahanan. Sudahlah dikatakan hanya goyang kaki, dah ramai yang mudah lupa dan alpa terhadap jasa serta pengorbanan pasukan pertahanan kita. Mereka yang lupa itu harus kita ingatkan, maka kami himpunkan 5 penerima pingat kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P).

Via Imgur

Seperti nama yang diberikan untuuk pingat tu, Bintang Kehormatan ni tak diberi sesuka hati je. Ia dikurniakan kepada sesiapa je tanpa kira agama dan bangsa yang dah “menunjukkan keberanian luar biasa atau telah melakukan sesuatu dengan gagah berani dan penuh pengorbanan”. Menariknya, anugerah ini lebih tinggi berbanding Darjah Yang Maha Utama Kerabat DiRaja Malaysia (D.K.M) dan darjah Pangkat Pertama Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran ‘Tun’. Hebat kan?

Ni lah bentuk pingatnya. Dalam bahasa Inggeris, gelaran darjah tertinggi ni adalah ‘Grand Knight of Valour’. Via istiadat.gov.my

1. S.P adalah Konstabel Khas Velu A/L Raja Velu, hero Estet Midlands, 1962

Penerima pertama pingat kebesaran S.P adalah Konstabel Khas Velu A/L Raja Velu pada 5 Jun 1963 atas keberaniannya dalam sebuah insiden rompakan sebuah kedai runcit di Estet Midlands, Kelang, Selangor setahun sebelumnya. Pada masa tu, dia sedang bertugas berdekatan dengan kawasan kejadian dan segera diarahkan untuk menyertai operasi khas bagi menangkap sekumpulan perompak di Klang.

Via tamizharmedia.com

Dalam operasi ni, Konstabel Velu terperangkap dalam kejadian berbalas tembakan, Konstabel Velu tercedera apabila beberapa butir peluru berjaya menembusi badannya. Dia meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya di tempat kejadian. Keberaniannya menjadi bual bicara setempat dan bos kedai runcit tersebut, iaitu keluarga Ah Chai sanggup bina Batu Peringatan di Estet Midlands.

2. Gean Kartar Singh a/k Kean Singh, singa garang Penjara Pudu, 1971

Sejarah di sebalik tokoh penerima pingat bernama Gean Kartar Singh a/k Kean Singh ni agak unik kerana dia adalah satu-satunya pegawai dari Jabatan Penjara dan berdarah Sikh yang terima anugerah tertinggi ni. Anak kelahiran Buntong, Perak pada 3 November 1930, dia menerima pendidikan di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Usai tamat pengajiannya, dia terus menyertai Malayan Civil Service dan ditugaskan berkhidmat di beberapa penjara seperti di Alor Setar, Taiping dan akhirnya di Penjara Pudu sebagai Pegawai Kanan.

Via Asia Samachar

Pada 1970, seorang pegawai penjara yang dikatakan tak puas hati pada pihak atasan memberikan sepucuk pistol pada salah seorang banduan yang ditempatkan di Pudu. Dah ada pistol kat tangan, banduan tu berusaha melarikan diri. Kebetulannya, Kartar Singh ketika itu berada di pintu utama lalu menghalang banduan tersebut. Diacu-acukan pistol tersebut pada Kartar Singh, namun dia tak berundur. Sedas tembakan kedengaran, namun mujurlah pistol tu tak berisi.

Penjara Pudu dalam kenangan (1891-1996). Via Klxpress.com

Banduan tu berjaya ditahan dan pistol berjaya dirampas semula. Pegawai penjara tadi didakwa dan dibuang kerja. Kini pingat tersebut berada di tangan anaknya, seorang peguam yang menetap di Sabah.

3. Chin Chin Kooi, cina yang dibenci komunis, 1973

Mendiang Ketua Inspektor Cawangan Khas (SB) Chin Chin Kooi antara beberapa pegawai berbangsa Cina yang gugur ketika operasi membasmi komunis begitu giat dilancarkan. Chin Chin Kooi juga digambarkan dalam sejarah sebagai seorang pegawai yang cukup terlatih, berdedikasi dan gigih membongkar kegiatan Parti Komunis Malaya (PKM) dalam ‘Gerakan Sedar’ di Serdang, Kedah.

Potret Chin Chin Kooi. Via krissmerah.com

Ketika detik akhirnya datang, dia sedang berbalas tembakan dengan enam anggota komunis yang merempuh masuk ke rumahnya pada 9 malam, 12 Julai 1973. Bertaburan kelonsong peluru di sekitar lantai rumahnya, dia menghembuskan nafasnya di hadapan keluarganya sendiri demi mempertahankan keluarga dan negaranya. Menurut sejarahwan perisikan Malaysia, kematian Chin Chin Kooi berpunca dari kebocoran identiti sebenar mereka dalam usaha melumpuhkan komunis dari dalam.

Tabik hormat, Tuan! Via Imgur

Manusia mati meninggal nama; Chin Chin Kooi dipahat namanya apabila dianugerahkan pingat kebesaran S.P secara posthumous (diterima selepas meninggal dunia).

4. Kanang anak Langkau, pahlawan Iban Malaysia, 1981

Terngiang ayat gemilang Rentap, “Agi Idup Agi Ngelaban” yang bermaksud selagi kita hidup, selagi itulah kita berjuang. Kanang anak Langkau, penerima pingat S.P pada tahun 1981 atas keberaniannya mempertahankan negara ketika berkhidmat sebagai Pegawai Waran dalam Regimen Renjer Sarawak.

Via Alchetron

Bukan itu saja, dia juga satu-satunya penerima yang turut menerima pingat Seri Pahlawan Gagah Berani (P.G.B). Ni bermakna, dua pingat telahpun dikurniakan kepadanya iaitu S.P dan P.G.B dengan gelaran “Datuk Temenggong” dari T.Y.T Sarawak dengan anugerah ‘Darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang’.

Lahir pada 2 Mac 1945, perkhidmatannya sebagai ‘Iban Tracker’ bermula secara rasminya pada 1962. Ketika penubuhan Malaysia, dia diserap masuk ke dalam pasukan Renjer Malaysia. Dia ditugaskan dalam misi seek-and-destroy sekumpulan militan komunis yang dipercayai membunuh seorang askar di Tanah Hitam, Perak. Operasi tersebut berjalan selama 11 hari sebelum pertembungan pasukan Kanang dengan militan komunis.

Nyawa bagai di hujung tanduk apabila peluru komunis terkena jantung Kalang. Namun begitulah semangat seorang pejuang, dia berkhidmat semula sehingga 1986. Sebuah filem yang dicipta khas untuk mengenang kisah Kanang bertajuk “The Iban Warrior: Kanang Anak Langkau” pada 2017.

5. Abdul Jalil bin Ibrahim, juruadit dari Bank Negara, 1985

Sepertimana yang dinyatakan tadi, anugerah S.P tak semestinya khusus kepada para perajurit berani kita. Kes skandal Bank Bumiputera Finance (BMF) dikesan selepas kematian pegawai juruadit dari Bank Negara bernama Abdul Jalil bin Ibrahim. Wajah dan pengorbanannya haruslah kita ingati sepertimana kita semadikan Tony Stark dalam ingatan millenial.

Selepas beberapa kejadian pelik melibatkan wang negara khususnya berkaitan dengan anak syarikat Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) iaitu Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang dipusatkan di Hong Kong, Abdul Jalil tahu dia perlu hentikan perkara tersebut.

Potret Allahyarham Abdul Jalil bin Ibrahim, ‘whistleblower’ skandal BMF dulu. Via carigold.com

Sebagai anak Melayu yang berjati diri, keengganannya berpihak pada syarikat yang tak berintegriti wajar dipuji. Dia sempat serahkan laporan auditnya ke atas BMF di Hong Kong kepada Bank Negara. Selain itu, dia juga sempat mengarahkan agar pinjaman yang dipinta oleh pihak Carrian Group (lagi satu pihak yang terlibat dalam skandal tersebut) tak diluluskan. Esok harinya, mayatnya ditemui di sebuah kebun pisang dan suspeknya Mak Foon Than ditahan polis. Itupun tak mengaku bahawa dia yang bunuh.

Dikatakan dia dibunuh ketika sedang menulis surat kepada isterinya untuk menjelaskan gangguan ‘orang berpengaruh’ ke atas dirinya. Mayatnya ditemui di sebuah kebun pisang di Hong Kong. Via Mole.my

Hasilnya, pegawai tinggi BBMB berjaya ditahan selepas cubaan mereka untuk terus melesapkan diri tak berjaya. Kes pembunuhan Jalil dianggap oleh media pada masa itu sebagai kes berprofil tinggi sehingga berjaya menekan pihak kerajaan dengan lebih kuat supaya wujudnya siasatan ke atas pengurusan anak syarikat BBMB. Pada 1985, anugerah pingat S.P juga diberikan pada Abdul Jalil secara posthumous.

Sedarlah wahai anak Malaysia, Malaysia dipertahankan oleh semua bangsa…

Menurut data kerajaan, pingat kebesaran S.P hanya diberikan kepada 30 orang sahaja setakat ni. Penerima terakhir anugerah tertinggi tersebut adalah pada 2014, iaitu Allahyarham Mohd. Zabri bin Abdul Hamid.

Kalau nak diikutkan, negara tak boleh dilindungi tanpa adanya kerjasama dari semua pihak tanpa kira perbezaan agama, kaum dan pegangan. Bab melindungi negara pun tak terletak sepenuhnya pada barisan pertahanan awam kita. Integriti dan berjiwa besar adalah sifat mulia yang kita perlu ada sebagai salah satu cara kita nak pertahan negara.

Via Tenor

Kalau tak boleh pegang senjata, peganglah kat hati bahawa kita semua perlukan satu sama lain untuk maju dan merdeka bersama-sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *