Kisah Ziyad yang sepatutnya diketahui oleh rakyat Malaysia, biar jadi pengajaran

f1

Walaupun dah tutup tirai Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ni, kisah Ziyad merupakan antara kisah hangat dibincangkan dunia. Bukan setakat Malaysia je kena, negara-negara lain turut terlibat sama dalam hal ni. Apa taknya, kejayaan Ziyad melakar rekod baharu dunia sekaligus melayakkannya menang emas kedua negara ketika tu… tiba-tiba kena tarik pulak. Lebih mengecewakan, rayuan demi rayuan tak dilayan oleh pihak jawatankuasa lalu menyebabkan ramai hentam atlet Ukraine sehingga dia pulak yang kena minta maaf sebab menang emas.

Bila rayuan gagal dan atlet paralimpik Ukraine ‘diserang’ warganet Malaysia, ramai bergegas nak cari kesalahan sama ada kepada pihak jawatankuasa teknikal Paralimpik Tokyo, pihak pengurusan Ziyad sendiri dan akhirnya kepada Menteri Belia dan Sukan. Siapa yang salah sebenarnya? Kami ringkaskan ceritanya…

ziyad zolkefli
Ziyad lepas menang emas ketika Rio Paralyimpik 2016

Mulanya tuduh Ukraine protes sebab tak puas hati Ziyad menang, IPC kesal Malaysia terlalu ‘ganas’ terhadap atlet paralimpik

Kami antara jutaan penonton sukan Paralimpik semasa acara Ziyad dipertandingkan. Kami tengok Astro Awani sibuk mengulas acara lontar peluru, sementara tumpuan tetap setia pada riak wajah Ziyad. Berbadan besar dan sangat tenang, hujan gerimis tak dapat menyejukkan hati beberapa pesaing Ziyad bila lontaran diorang dibatalkan. Rekod lontaran Ziyad sebelum ni agak hebat; 17.29m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 London.

Dari awal acara, Ziyad memang pesaing yang luar biasa – balingan pertama tu, dia dah pecah rekod dunia miliknya sendiri iaitu 17.31m. Kemudian pada balingan ketiga, dia pecah rekod dunia iaitu 17.94 m. 2 kali pecah rekod dunia sekaligus – kali ni, nampak sangat berpihak kepada Ziyad.

Namun begitu, bila dah sah keputusan rasmi bahawa Ziyad dah menang… tiba-tiba para pengulas Astro Awani mengejutkan penonton Malaysia. Diorang umumkan bahawa kemenangan Ziyad dibatalkan sebab masalah teknikal, dan susulan protes daripada Ukraine. 3 atlet paralimpik termasuk Ziyad (Malaysia), Ecuador dan Australia diletakkan sebagai Did Not Start (DNS).

Oleh sebab tu, pencapaian rekod Ziyad dalam Paralimpik ni tak dikira termasuklah kejayaan rekod dunianya. Menteri Belia dan Sukan, Faizal Azumu di Twitter mengumumkan dia bersama Chef de Mission (CDM) Malaysia protes balas terhadap protes Ukraine tadi. Kita di Malaysia hanya mampu berdoa dan menunggu penuh sabar. Sehingga perbincangan selesai, keputusan rasmi tercatat dalam laman web rasmi Sukan Paralimpik Tokyo menamakan penyandang perak tadi, Maksym Koval sebagai juara baharu bagi menggantikan tempat Ziyad tadi.

keputusan tidak rasmi
Keputusan tidak rasmi acara lontar peluru F20.. -Via I love Borneo

Ketika tu, Astro Awani yang menjadi sumber rujukan para penonton tanah air pun ikut jugak keliru tentang apa yang sebenarnya berlaku. Difahamkan awalnya, masalah teknikal tu adalah disebabkan Ziyad lambat masuk ke dalam acara. Lebih membingungkan, ramai tertanya macam mana Ziyad boleh masuk ke call room jika benarlah dia lambat.

Ada jugak warganet bertanya, kalau dah 3 orang lambat sehingga DNS… mesti ada masalah besar yang berlaku. Sementara semua pun tengah bingung, sesetengah warganet kita mulai serang akaun sosial Maksym Koval dengan tanggapan bahawa dia (dan Ukraine) sengaja cari silap Ziyad sehingga kemenangan Malaysia ‘ditunda’. Siap ada yang ungkit pasal MH17 yang ditembak di sempadan Ukraine dulu.

ciapan mh17 ziyad
Via Murai.my

Jawatankuasa Paralimpik pun terus mengekalkan keputusan tersebut, menunjukkan bahawa rayuan dan alasan Malaysia ditolak. Ziyad dan sejarah rekod dunianya ‘disingkirkan’ dalam temasya kali ni. Jurucakap IPC, Craig Spence kata Jawatnkuasa Paralimpik Ukraine amat kecewa lepas menerima pelbagai kecaman kat media sosial diorang.

“Sejak semalam (kelmarin), media sosial kami dibanjiri komen daripada rakyat Malaysia yang saya rasakan tidak masuk akal. Anda boleh marah dengan keputusan kami, tetapi saya melihat komen di akaun media sosial kami yang tidak berkaitan langsung dengan acara lontar peluru F20.

Pingat emas menjadi milik NPC Ukraine, dan mereka juga kini dikecam rakyat Malaysia. Maafkan saya, peraturan tetap peraturan. Keputusan sudah dibuat dan ia bukan salah Ukraine apabila atlet Malaysia lewat memasuki bilik menunggu. Saya amat kecewa kecaman sebegitu berlaku di media sosial,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

craig spence
Ni lah Craig Spence.. -Via Tehran Times

Badan Olahraga Para Dunia (WPA) jugak sahkan Ziyad, Jordi Patricio Congo Villalba (Ecuador) dan Todd Hodgetts (Australia) tiba lewat di bilik menunggu. Namun pada masa tu, diorang dibenarkan beraksi di bawah bantahan sementara pengadil pertimbangkan alasan kelewatan diorang. Bila dah habis acara, rayuan ketiga-tiganya ditolak kerana alasan tak kukuh. Spence mendedahkan, alasan yang diberikan adalah tak dengar pengumumam atau ia dalam bahasa yang tak difahami.

Untuk Ziyad pulak, antara alasan yang dilaporkan sebelum ni berkenaan lewat dua minit tu kerana Ziyad telefon ibu, bilik menunggu yang sesak dan hujan lebat. Hal ni bukan suatu yang pelik, sebab dah memang jadi adat biasa… atlet kena tiba awal untuk elak hal-hal yang tak diingini berlaku.

rayuan ziyad
Sebab rayuan ditolak.. -Via Facebook

‘Call room’ tak boleh dipandang remeh, Malaysia akan panjangkan kes ke CAS

Pengajaran terbesar yang dapat kita peroleh dalam isu ni adalah isu ketepatan masa, khususnya dalam arena sukan antarabangsa. Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad kata dia pun pernah lalui perkara yang hampir sama dengan kes Ziyad. Dia terlepas peluang beraksi ketika Kejohanan Remaja Dunia Moscow 1998 hanya kerana cirit-birit dan kelalaian dirinya sendiri nak daftarkan diri dalam Call Room.

“Call room ini seperti tempat pendaftaran. Saya tidak membuat pendaftaran Call Room pertama. Waktu itu saya cirit-birit. Jadi saya selesaikan masalah saya dulu dan saya terus keluar panaskan badan.

Ketika itu baru saya sedar, saya tidak lapor diri. Saya pergi ke Call Room pertama tetapi dimaklumkan pegawai sudah hantar pendaftaran ke Call Room kedua dan pegawai di situ sahkan pendaftaran saya. Call Room ketiga turut disahkan pendaftaran saya tetapi bila nak masuk berlari, saya tidak dapat sertai sebab saya tidak mendaftar di Call Room pertama,”- seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian

Ziyad pulak dibenarkan bertanding, walaupun pegawainya dah maklumkan bahawa ada kemungkinan berlaku pembatalan kalau terbukti bahawa Malaysia salah kerana lambat daftar masuk ke call room. Waktu tu, diorang pun takde bukti nak kata Malaysia lambat jadi diorang bagi je dulu kita bertanding.

Tetapi bila dah habis acara, barulah diputuskan bahawa Malaysia, dengan atlet dua lagi negara tu lambat masuk lalu melanggar peraturan teknikal sukan. Wujud juga desas-desus yang menyatakan terdapatnya protes lisan daripada kem Ukraine dan Greece, tetapi kalau takde protes pun boleh jadi hal yang sama sebab dah langgar peraturan.

ziyad jurulatih
Ziyad bersama jurulatihnya selamat mendarat di KLIA..-Via Malaysia Now

Dalam usaha ‘mencari’ siapa yang salah dalam isu kelambatan daftar masuk tu, jurulatihnya Faizol Harun tampil dan minta maaf. Ziyad dah awal minta maaf sebab gagal raih emas kali ni, tetapi permohonan maaf jurulatihnya sedikit sebanyak meredakan marah rakyat Malaysia. Dari sisi ceritanya;

“Kami sampai awal di tempat pemanas badan 4.15 minit bila sudah sampai Ziyad memanaskan badan 4.45 hingga 5.30 petang, bila sudah siap antara waktu itu hingga 5.45 kita buat persiapan untuk Ziyad termasuk menyediakan baju dan sebagainya serta ada sikit urut. Pada pukul 5.45 petang gerak ke bilik menunggu kerana kita sudah membuat kiraan daripada tempat panas badan ke bilik menunggu mengambil masa 8 hingga 10 minit, kalau cepat 6 hingga 5 minit.

Di depan kita atlet Greece dengan jarak hanya dalam 4 hingga 5 meter bila sampai dia boleh masuk dan kami tidak dibenarkan masuk. Penolong pengadil menyatakan kami sudah lewat dengan menunjukkan jam digital sudah pukul 5.56″

Adakah ni bermaksud atlet kita sebenarnya dah masuk awal, tetapi dihalang kerana lewat satu minit je? Sekali lagi, muncul lagi satu versi baharu berkaitan isu kelambatan atlet kita ni. Difahamkan, diorang dah tunggu tepat pada pukul 5.55 iaitu waktu panggilan. Sambungnya lagi;

“Kami ditahan lepas itu kita merayu dan membantah bersama Australia dan Ecuador sebelum ketua pengadil membenarkan mereka masuk ke bilik menunggu.

Ketika itu ada jurulatih Ukraine dan Greece berada di situ dan provok penolong pengadil jika membenarkan Ziyad bertanding mereka akan melakukan protes.

Selepas itu, saya masuk ke stadium. Namun selepas lontaran ketiga baharu pegawai memaklumkan bahawa Ziyad DNS. Saya terus merujuk kepada ketua kontinjen (Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin) dan pegawai MPM (Majlis Paralimpik Malaysia).

Selepas menceritakan apa yang berlaku, mereka terus membuat rayuan. Kalau daripada awal mengetahui tentang perkara ini sudah tentu saya tidak akan benarkan Ziyad bertanding,- seperti yang dilaporkan Utusan

Ketua kontinjen negara (CDM) ke Paralimpik Tokyo 2020 dan jugak selaku Preisden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) , Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memaklumkan bahawa Malaysia akan terus buat susulan dan mungkin akan panjangkan kes tu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berdasarkan bukti yang diperoleh bagi membuktikan apa yang berlaku. Prosedur ni prosedur biasa, dan tak salah pun. Yang penting, katanya:

“Kita tak kisah, kita akan buat secara teratur. Setidak-tidaknya Persatuan Olahraga Para Dunia (WPA) tahu, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) tahu yang adanya permintaan, rayuan. Jadi, ia satu prosedur yang normal dan kita akan teruskan.

Soal (CAS), itu kita serahkan kepada peguam dilantik. Apa yang perlu dilakukan, kita perlukan rakaman CCTV bagi memastikan atlet kita berada di sana. Rakaman itu penting untuk WPA dan IPC membuat penilaian. Saya percaya kita melakukan tindakan sewajarnya dan kita akan sediakan dokumen serta bukti diperlukan,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

Kami harap wujudlah sinar emas kelima untuk kita sekiranya kes ni berpihak kepada Malaysia. Menunding jari tak akan selesaikan masalah, sebaliknya lebih berhikmah apabila kita pun terima apa yang berlaku sebagai pengajaran kepada atlet-atlet lain, dan umumnya kepada rakyat seluruhnya. Budaya tepati masa ni budaya yang harus dicontohi tak kira situasi dan kepada siapa yang kita dah berjanji.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *