Lepas persaraan legenda dunia badminton Lee Chong Wei, kita pun tertunggu-tunggu jugak wira baharu yang mampu menggalas tanggungjawab baharu sebagai hero badminton negara. Kami ingat lagi, dulu ramai yang tak yakin bahawa kita akan jumpa pemain badminton muda yang boleh gantikan Lee Chong Wei dan nyatakan kerisauan mereka jika lepas ni Malaysia tak mampu bersaing sebagai negara utama dalam sukan badminton antarabangsa.
Nampaknya persoalan ni dah terjawab apabila sorang pemain muda kita akhirnya berjaya menang kejohanan dunia dalam sukan badminton All England 2021. Tapi fakta ni masih buatkan ada segelintir rasa tak puas hati dan tetap kurang percaya kepada kebolehan juara kita ni…
Lee Zii Jia berjaya bangkit kejutkan ramai orang, Menteri Besar Kedah janji ada ganjaran sempena kemenangan
Lee Zii Jia boleh dikatakan pemain baharu yang memiliki bakat terpendam dan sentiasa mempunyai kesungguhan yang tinggi. Tetapi lepas kekalahan mengejutnya kepada sorang pemain Thailand iaitu Kunvalut Vitidsarn buatkan Zii Jia pun sedikit tergugat keyakinan dirinya. Kunvalut Vitidsarn ni takdelah boleh dikatakan sebagai pemain pilihan dalam Swiss Open 2021, dia dah mampu meletakkan dirinya dalam perlawanan sebagai sorang bakat baharu dari Thailand yang dah lawan ramai pemain terkemuka seperti Lin Dan, Viktor Axelsen dan Zii Jia.
Lepas kalah, jurulatih Zii Jia iaitu Hendrawan tanya jugak sama ada Zii Jia masih nak ke masuk All England 2021. Ye lah kan, keyakinan ni sebenarnya adalah kunci utama untuk bertahan dalam pertandingan besar. Kat gelanggang sekalipun, kemahiran memukul bola tetap sama penting sepertimana kemahiran korang kawal perasaan dan menguruskan tekanan ketika menghadapi lawan korang.
Zii Jia tak patah semangat dan terus berani melangkah untuk fokus pulak dalam All England 2021. Hendrawan berkongsi;
“Kami telah merencanakan dari awal untuk membiarkan Zii Jia mendapatkan kembali kepercayaan dirinya yang hancur pada Swiss Open. Jika dia masih belum siap, kami akan menariknya keluar dari All England. Meskipun dia menunjukkan beberapa peningkatan, dia tampaknya masih berjuang dengan kepercayaan dirinya saat melawan Kunlavut. Setelah pertandingan, saya memberinya waktu satu hari untuk menenangkan diri sebelum bertanya lagi apakah dia ingin bermain pada All England.”- seperti yang dipetik dari Bolasport.com
Ada jugak yang menyatakan kemalapan prestasi Zii Jia ni ada kena mengena dengan Hendrawan jugak, apatah lagi apabila Hendrawan sendiri mengakui dia pun dah kibar ‘bendera putih’. Menerusi temubualnya dengan Shahrazad Sani, Hendrawan kecewa sebab pasukan pimpinannya gagal tembus ke pusingan akhir semasa kejohanan pertamanya sebagai ketua jurulatih. Ni membuatkan dia sendiri rela hati serah surat peletakan jawatannya, tetapi ditolak oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Sejujurnya, selepas Terbuka Thailand, di mana ia adalah kejohanan pertama saya sebagai ketua jurulatih, saya sudah mengaku kalah. Saya sudah menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai ketua jurulatih. Tetapi BAM (Persatuan Badminton Malaysia) tidak mengizinkannya, jadi saya perlu mencuba lagi. Kerana saya tahu menggalas tugas ketua jurulatih di Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Saya baru rasai kesusahan menjadi ketua jurulatih. Benar saya sudah 10 tahun di Malaysia tetapi sebagai ketua jurulatih, saya perlu belajar juga.
Saya rasa ia amat sukar. Sejak saya datang ke Malaysia 10 tahun lalu, saya tidak pernah mencari jawatan. Jawatan ini kerana dipaksa oleh BAM. Kerana dalam kontrak sudah menyatakan bahawa saya bersedia untuk ditempatkan di mana-mana sahaja. Jadi saya sentiasa menganggap bahawa saya tidak kisah untuk melepaskan jawatan ini kerana saya rasa saya sudah berusaha sehabis baik,”- Hendrawan, seperti yang dilaporkan Stadium Astro.com
Kemenangannya baru-baru lantas membuatkan ramai bersorak gembira, menjadikan Lee Zii Jia sebagai anak Malaysia ke-enam yang pernah menang kejohanan All England. Mencurah-curah jugak ucapan tahniah, termasuklah Menteri Besar Kedah yang sempat berjenaka bahawa dia ni selalu main badminton dengan Lee Zii Jia.
Setakat ni, MB Kedah kata majlis meraikan kejayaan juara All England tu akan dilangsungkan selepas Zii Jia habis tempoh kuarantin. Imbuhan yang dijanjikan tu buat masa ni belum diumumkan lagi, namun bentuk imbuhan tu masih lagi dalam pertimbangan kerajaan negeri. Kami harap janjinya nak bagi ganjaran kepada Lee Zii Jia tu pun tak termasuk dalam percubaan lawak hambar ye, lagi-lagi dengan perancangan baharu untuk hantar Zii Jia ke Olimpik Tokyo nanti.
Hafiz Hashim kata cabaran baharu menanti Zii Jia, ada jugak rasa kemenangan Zii Jia cuma nasib baik
Hafiz Hashim, bekas pemain negara yang pernah menang All England berharap agar Lee Zii Jia terus maju jaya dan lebih berusaha untuk melangkah ke cabaran seterusnya. Dalam banyak perkara, Hafiz Hashim rasa dia dan Zii Jia memiliki banyak persamaan. Dulu dia pun bukanlah pemain pilihan utama, namun dia berjaya menewaskan pencabar nombor 1 dunia pada 2003, Chen Hong. Ketika tu, dia berada dalam kedudukan nombor 33… jadi ia merupakan suatu kejutan besar apabila pemain di tangga 33 mengalahkan pemain nombor 1 dunia.
Walau bagaimanapun, Hafiz Hashim tak lagi berjaya memenangi sebarang gelar di kejohanan utama dunia lepas All England. Salah satunya disebabkan oleh kecederaan yang dialaminya, dan tekanan yang semakin tinggi daripada orang sekelilingnya. Hafiz Hashim hanya 22 tahun masa tu, dan gelaran juara dunia ni membuatkan ramai memberi jangkaan yang tinggi. Berbeza dengan Lee Chong Wei yang dahpun terkemuka dan berpengalaman luas; Hafiz Hashim berharap Zii Jia terus bersungguh-sungguh dan tak jadi macam dia nanti.
https://www.youtube.com/watch?v=Q6hq_pB7q08
Cabaran Zii Jia tak berhenti setakat pesanan Hafiz Hashim je. Ramai jugak beranggapan bahawa kemenangan Zii Jia ni hanya berlandaskan nasib baik je, kerana ramai pemain daripada negara-negara pencabar utama seperti Indonesia dan China tak dapat masuk atas pelbagai halangan. Misalnya, pasukan Indonesia terpaksa menarik diri akibat protokol COVID-19 yang dikuatkuasakan oleh negara penganjur, United Kingdom dan BWF.
Sebahagian besar rakyat Indonesia agak marah jugak dengan keputusan negara penganjur. Ia bermula apabila salah sorang penumpang dalam pesawat yang dinaiki oleh pasukan Indonesia tu didapati positif COVID-19, jadi seluruh pasukan diminta untuk kuarantin diri dan ambil ujian saringan. Hanya sorang je pemainnya didapati positif, manakala yang lain negatif je. Sepatutnya para pemain yang negatif ni bolehlah dibenarkan bermain kan? Rupanya tak jugak… sedangkan beberapa pemain dari negara lain yang diuji negatif pulak dibenarkan bertanding.
https://www.youtube.com/watch?v=SbHgZORQhCA
China, Korea Selatan dan Taiwan pun tak ikut bertanding kali ni, dipercayai kerana pertandingan ni bukan syarat utama untuk layak ke Olimpik Tokyo. Kemelut yang menimpa Indonesia ni turut mendapat perhatian China, manakala All England kali ni memperlihatkan para pemain dari Jepun mendominasi perlawanan. Oleh sebab tulah, ada merasakan kemenangan Zii Jia dalam acara perseorangan ni hanyalah nasib baik kerana ‘kurang pesaing’ dari negara-negara pencabar utama.
Menangkis dakwaan tersebut, Zii Jia masih yakin dengan kemahiran tersebut dan menolak kemenangannya tu disebabkan oleh ketiadaan pemain dari Indonesia. Bercakap tentang perlawanan sengitnya dengan Viktor Axelsen, dia kata Viktor dah hilang sedikit fokus ketika dalam permainan dan ni memberi kelebihan kepadanya saat set perlawanan ketiga, sekaligus menundukkan Viktor dengan rekod 21-9.
Sememangnya apa yang dilalui oleh Zii Jia ni suatu teladan yang mesti kita ambil peduli. Dalam kesempatan ni, kami pun nak ucap tahniah kepada juara baharu kita dalam All England 2021 dan berharap agar Zii Jia lebih cekal dan terus bangkit lebih baik. Muda lagi hayat bakal legenda kita, dan panjang lagi perjalanannya menuju impian kita nak menang emas dalam Olimpik. Yang pasti, Lee Zii Jia adalah Lee Zii Jia. Dia tak perlu dihantui dengan Lee Chong Wei, malah takde keperluan pun nak samakan dia dengan Chong Wei.