Liverpool benam Barcelona, Mo Salah pula dah jadi ikon dunia

Macam tak logik pulak apabila Liverpool berjaya menang 4-0 ke atas Barcelona. Selaku peminat Arsenal, ia adalah keperitan yang amat dalam. Barangkali doa mereka telah dimakbulkan pada bulan Ramadan yang mulia ni.

https://www.youtube.com/watch?v=vF3Cma-8d6Q

Separuh Akhir Kedua Liga Juara-Juara UEFA menyaksikan skuad The Reds perlu menjana strategi paling ampuh bagi menghadapi tentangan Barca.  Awal-awal tu mereka risau sebab bintang kesayangan Liverpool, Mohamed Salah  mengalami kecederaan ketika bertembung dengan penjaga gawang Newcastle. Salah mengalami cedera kepala kerana berlaga dengan penjaga gol The Magpies, Martin Dubravka. Lompatan Dubravka untuk menumbuk bola keluar, ternyata tanpa sengaja mengenai bahagian kepala Salah, hingga mengakibatkan kecederaan.

Mo Salah, jauh berjalan luas pemikiran…

Bintang bola sepak Mesir itu menyumbang satu gol yang membantu The Reds menang dengan jaringan 3-2. Virgil van Dijk membuka jaringan buat Liverpool pada minit ke-13, sebelum disamakan Newcastle melalui gol Christian Atsu tujuh minit berselang. Gol Salah membawa Liverpool untuk mendahului lawan. Salomon Rondon mencetak gol kedua Newcastle untuk menyeimbangkan permainan hingga minit-minit akhir, sebelum pemain gentian, Divock Origi muncul sebagai wira Liverpool dengan gol pada minit ke-86.

Dengan golnya itu, Salah telah mencetak 100 gol pada saingan liga di Eropah. Sebanyak 56 gol dicetak beliau dalam Liga Inggeris, 35 gol di Serie A bersama AS Roma, dan sembilan gol di Liga Swiss saat masih menyarung jersi Basel. Salah digantikan Divock Origi pada minit ke-73 kerana cedera.

Tengah tidur jap. Via CDN

Cerita Salah jaring 100 gol, kontroversi sering menjatuhkan badan dengan sengaja serta tak dapat beraksi menentang Barca adalah sekadar sebahagian cerita besar tentang beliau. Selepas memimpin negaranya ke Piala Dunia 2018 buat pertama kali sejak 28 tahun, Salah telah menjadi ikon di Mesir. Salah telah disenaraikan dalam senarai 100 orang paling berpengaruh di dunia pada tahun 2019 dalam majalah TIME. Bintang HBO yang juga penyokong Liverpool, John Oliver menulis tribute tentang Salah sebagai ‘tokoh ikonik buat rakyat Mesir, penyokong Liverpool dan Muslim di seluruh dunia.’

Via Scoop

Selepas berkelana ke beberapa negara, pandangnya semakin meluas dan lebih terbuka. Bintang Mesir ini menyeru kepada kaum lelaki di Mesir dan seluruh dunia Islam khasnya, untuk menyantuni kaum wanita dengan lebih rasa hormat dan kasih sayang. Menekankan bahawa ia bukan satu pilihan, Salah menyatakan bahawa budaya Mesir dan Timur Tengah kurang menekankan soal hubungan antara jantina.

Islam selalu dikatakan tak hargai kedudukan wanita

Di antara stigma negatif yang disematkan oleh Barat terhadap ajaran Islam adalah, bahawa Islam tidak menghargai kedudukan wanita, memasung kebebasannya, serta tidak adil dan menjadikannya sebagai manusia kelas kedua yang terkongkong.

Tambah malang, ada dalam kalangan umat Islam yang masih mengamalkan budaya serta adat yang tidak pun dianjurkan oleh Islam, lalu menimbulkan fitnah kepada agama yang murni ini. Sejak awal kedatangannya, Islam mendidik masyarakat supaya keluar daripada amalan jahiliah yang membunuh anak perempuan serta menghina martabat wanita. Islam melindungi kesucian wanita, dan sifat inilah yang dizahirkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya.

Via Islam Hut

Sesungguhnya, wanita mempunyai kedudukan mulia di dalam Islam, di mana Islam telah mengangkat martabat kaum wanita dengan segala keistimewaan yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Islam menolak eksploitasi ke atas kaum wanita. Perubahan sikap perlu bermula dari kaum lelaki dan kaum wanita sendiri, dengan kata kunci hormat dan bersederhana dalam mencari penyelesaian.

Gerakan pemberdayaan wanita, feminisme atau apa juga labelnya, tidak seharusnya dilihat sebagai gerakan melawan dan merendahkan lelaki.  Malahan, ia seharusnya bersifat memberi kefahaman tentang hak-hak wanita kepada wanita sendiri agar berani berjuang apabila haknya diceroboh; selain agar pihak lain tidak menzalimi hak manusia lain.

Via Muslim

Perjuangan untuk mengangkat potensi serta peranan wanita wajar digerakkan sepertimana yang telah Islam ajarkan. Maka, unsur sinikal dan kecaman serta emosi keterlaluan perlu dijauhi. Bersederhanalah tatkala bersifat kritikal, dan fokus kepada apa yang hendak diperjuangkan.

Perjuangan memartabatkan wanita dah wujud sejak dulu

Hakikatnya di Nusantara sendiri, perjuangan memartabatkan wanita sudah lama digerakkan oleh tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh Al-Hadi menerusi karya “Hikayat Faridah Hanum” selain karya penulis Melayu lain di era 1920-an seperti “Iakah Salmah”  (Ahmad Muhammad Rashid Talu); “Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan” (Ahmad Kotot); selain Abdullah Munsyi yang menyanjung aktiviti perniagaan wanita Melayu Kelantan.

Justeru, perjuangan mengangkat martabat wanita bukanlah perkara baru, namun tidak boleh hanya dipasakkan kepada semangat dan retorika semata-mata. Keyakinan yang jelas dengan tunjang agama selaku teras utama, perlu disebarluaskan dalam mengiringi perjuangan tersebut.

Via Goodreads

Berbalik kepada pertembungan dengan Barcelona, dengan Roberto Firmino dan Mohamed Salah tak dapat beraksi dalam Separuh Akhir Liga Juara-Juara UEFA. Nampaknya ketiadaan kedua-dua tonggak ni bukan masalah. No Salah, no problem.

Lagipun, Liverpool memang dah biasa buat benda-benda ajaib. Ada dukun atau pawang agaknya (baca dengan nada gurau eh). The Reds sudah pernah membuktikannya: sekurang-kurangnya dalam kemenangan ke atas Newcastle tempoh hari, serta detik ajaib Final 2005 di Istanbul, yang tak mungkin dilupakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *