Kekerasan dan penderaan dalam sesebuah hubungan adalah satu bentuk pencabulan hak asasi manusia. Apatah lagi pada zaman sekarang, bukan pasangan yag berkahwin saja yang menghadapi masalah ini, malah pasangan yang berada dalam fasa percintaan (ber-couple) juga sama.
Masih ingat ciapan yang tular ini?
My friend was casually record couple tgh gaduh kt bawah rumah dia, tiba tiba benda ni jadi, unexpected and sad, idk apa yg perempuan tu buat but is this really the only way?
Please share video ni, check your kakak adik or kawan perempuan yg badly injured mlm ni, this is abuse pic.twitter.com/YdXPIhPxLN
— minazaini ✨ (@minaazaini) March 22, 2019
Dalam konteks negara kita, kekerasan domestik tidak melibatkan pasangan yang tidak berkahwin. Kalau di luar negara, pasangan yang tidak berkahwin ada yang tinggal sebumbung seperti suami isteri. Jadi dalam konteks mereka, kekerasan domestik turut melibatkan pasangan yang tidak berkahwin. Misalnya seperti video di bawah.
Kali ini, kami nak kongsi dengan anda beberapa tips yang sangat penting, buat semua orang tak kira lelaki atau perempuan dan yang masih bujang atau sudah berkahwin kerana masih ramai yang tidak tahu apa nak buat kalau berada dalam situasi ini.
1. Tindakan yang boleh diambil jika anda sendiri didera
Menurut Women Aids Organization (WAO), atau Pertubuhan pertolongan Wanita, individu yang menghadapi masalah kekerasan rumah tangga boleh membuat salah satu daripada tindakan-tindakan yang dicadangkan seperti:
- Hubungi WAO
- talian Hotline: +603 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA: +6018 988 8058 untuk mendapatkan pertolongan.
- Pergi Hospital Kerajaan
- Anda perlu cari “One Stop Crisis Centre” (OSCC) di bahagian trauma dan kecemasan dan dapatkan rawatan. Di sini, doktor akan merawat anda serta mengumpul bukti perubatan untuk dibawa ke mahkamah. Selain itu, pihak OSCC juga akan membantu anda mendapatkan perlindungan dari polis, khidmat guaman dan kaunseling melalui Pegawai Kebajikan Sosial. Tiada sebarang yuran akan dikenakan kepada mangsa, cuma perlu bawa kad pengenalan sahaja.
- Dapatkan Interim Protection Order (IPO)
- IPO adalah sebuah arahan daripada mahkamah yang mana pasangan yang mendera tidak boleh melakukan keganasan kepada mangsa. IPO tidak menghalang pasangan tinggal sebumbung tapi ia melindungi mangsa daripada didera lagi. Ia juga boleh melindungi ahli keluarga lain seperti anak-anak dari dikasari oleh pendera.
- Cara mendapatkan IPO ialah pertama sekali kena buat laporan polis dan buat laporan kesihatan serta dapatkan surat sokongan dari pegawai polis yang bertugas. Walaubagaimanapun, IPO tidak melindungi pasangan yang tidak berkahwin.
2. Bukan saya yang kena dera, tapi kawan saya… apa nak buat?
Pertama sekali, kenal pasti adakah sahabat anda menunjukkan tanda-tanda didera. Selalunya, mereka mengelak untuk menceritakan keadaan sebenar bila kita nampak lebam atau parut. Tapi jangan mendesak mereka terlalu kerap kerana ia akan menyebabkan mereka lebih segan dengan kita. Apatah lagi, dalam masyarakat konservatif, isteri ditegah dari menceritakan aib suami sehingga mereka memahami tegahan ini di luar konteks, di mana hal ini tidak lagi perlu diikut sekiranya suami sudah sampai tahap mengancam nyawa isteri.
Selain tu, sekiranya anda juga mendapati mereka sudah kurang bertemu keluarga dan rakan-rakan di luar kebiasaan, boleh jadi mereka merupakan mangsa keganasan rumah tangga. Lebih jelas lagi, apabila anda nampak sahabat anda seperti ketakutan bila bersama pasangan mereka.
Kemudian, sekiranya mereka sudah bersedia, hulurkan sokongan moral. Dengar masalah mereka dan jangan begitu mudah menghakimi keadaan mereka. Contohnya;
Kalau aku jadi kau, dah lama aku tinggalkan jantan tak guna tu!
(Jangan judge!- bak kata Aiman Banna). Tanya sahabat anda, apa yang mereka nak buat. Yang penting, hormati keputusan mereka. Kalau sahabat anda nak buat laporan polis, temani mereka ke hospital dan balai polis. Adakalanya mereka masih takut untuk bergerak sendirian dan tiada kekuatan untuk meninggalkan rumah. Jadi, saat-saat seperti ini, sokongan sahabat sejati amatlah diperlukan.
Yang paling penting, anda mesti sentiasa bersedia sekiranya sesuatu yang lebih buruk menimpa sahabat anda. Sentiasa ambil berat keberadaan mereka, tanya khabar setiap hari. Senang cerita, jadi ‘backup member’ utuk hal-hal kecemasan. Kita tak tahu apa yang bakal terjadi pada mangsa.
3. Macam mana pula dengan anak-anak, nak suruh mereka buat apa bila nampak ibu didera?
Pastikan anda beritahu pada anak-anak, ‘bila nampak ibu kena pukul, jangan tolong ibu. Lari selamatkan diri ke tempat yang selamat’. Kemudian, jangan lupa ajar mereka untuk hubungi talian kecemasan seperti talian Nur – 15999 atau simpan nombor telefon penting seperti WAO dan keluarga terdekat.
Sekiranya anda sudah mendapatkan IPO, pastikan pusat asuhan anak-anak tahu akan hal ini. Mereka perlu tahu bahawa siapa yang boleh mendekati anak-anak dan siapa yang tak boleh dekat dengan mereka. Ada pasangan yang turut mendera anak-anak juga. Oleh itu perlindungan IPO yang disertakan sekali dengan perlindungan anak-anak akan menghalang pasangan anda mendera anak-anak juga. Sesiapa yang melanggar arahan mahkamah seperti IPO akan ditangkap dan ditahan reman. Jadi, usah risau untuk mendapatkan IPO.
Jangan lupa untuk kongsikan artikel ni untuk orang lain…
Buat sekalian wanita yang teraniaya, ingatlah, anda tidak keseorangan. Semoga dengan panduan ini, dapatlah membantu anda yang berada dalam keadaan ini. Apa yang penting, bila dah baca artikel ni, share banyak-banyak kat kawan-kawan yang lain. Sebabnya ramai je orang yang tak tahu apa nak buat kalau berhadapan dengan keganasan dalam perhubungan. Teruskan berjuang, lawan penindasan!