Beberapa anak muda ini cukup dikenali di Malaysia, ada yang keluar masuk lokap

f1 min

Satu perkara yang orang Malaysia patut bangga adalah kita sebenarnya memiliki generasi anak muda yang cukup berkredibiliti, berbakat, bijaksana dan berani melangkah ke dalam perjuangan ke arah masa depan yang lebih baik untuk semua. Sebelum merdeka lagi, kita memang dah ada barisan anak muda berpendidikan yang memperjuangkan kebebasan dan kemerdekaan negara. Sekarang ni, generasi muda bersilih ganti terus membina masyarakat yang lebih baik dari hari ini.

Untuk meraikan generasi-generasi anak muda ni, kami senaraikan lima tokoh anak muda yang dikenali ramai. Kelima-lima tokoh ni memang sosok penting dan peneraju kepada lapangan perjuangan pelbagai bidang kemasyarakatan.

1. Fahmi Reza antara karyawan satira tersohor, selalu ditahan kerana karikatur ‘biadap’

Fahmi Reza ni bagi kami, dah sebati sangat jadi topik bualan orang ramai. Baru-baru ni pun, dia sekali lagi ditahan dalam lokap polis kerana dikatakan menghina Sultan Selangor menerusi muat naik karikatur monyet berpakaian seragam istana berwarna kuning di Facebooknya. Dipercayai, ia ada kaitan dengan hal Sultan Selangor beli lukisan satira Parlimen dulu.

Walaupun Fahmi Reza ni sosok anak muda yang sangat kontroversial dan kadangkala, melanggar norma sehingga ada melihat Fahmi Reza cuma anak muda biadap. Tapi, seni karyanya memperlihatkan kekuatan satira politik sebagai suatu wadah yang penting dalam mengekspresikan luahan hati rakyat. Malah, tak semua karikaturnya bernada sinis dan dikatakan kurang ajar – ada je yang sepadan dengan situasi semasa seperti arahan duduk di rumah sewaktu PKP dulu.

malaysiakini fahmireza
Via Malaysiakini

Tentulah, kita banyak je karyawan satira politik yang lain seperti Zunar… jadi tak dapat dinafikan, sumbangan Fahmi Reza ni sedikit sebanyak membuka ruang baharu untuk anak muda meluahkan kegusaran dan keprihatinan diorang khususnya melalui seni.

2. Duo ‘power’ yang percaya kuasa undi orang muda, kecekalan membawa perubahan kepada pilihan raya Malaysia

Dua nama ni memang korang perlu tau. Qyira Yusri dan Tharma Pillai merupakan duo ‘power’ yang banyak terlibat dalam usaha memperkenalkan idea bahawa anak muda perlu mengundi. Umur mengundi dahulunya 21 tahun, namun banyak negara dah turunkan umur layak undi. Penurunan tu memberi ruang suara kepada anak muda untuk memilih dan memimpin negara, sekaligus mengangkat isu-isu belia yang mungkin tak diselesaikan sebaiknya ikut kepentingan dan keperluan anak muda.

undi18 qyirayusritharmapillai
Via The Star

Sejarah tercatat apabila kerajaan wartakan umur mengundi diturunkan dari 21 ke 18 tahun. PRN Johor baru-baru ni menjadi medan pertama pelaksanaan Undi 18. Qyira dan Tharma kemudiannya buat inisiatif seputar pilihan raya dan pendidikan politik lain seperti Sekolah Rukun Negara (dengan kerjasama SKMM, SPR dan organisasi lain). Diorang rajin buat bengkel untuk orang muda, di samping pernah laksanakan inisiatif persidangan parlimen secara maya – membuktikan sesi Parlimen tak semestinya perlu dilakukan secara fizikal.

parlimendigital
Via Malaysiakini

Ini berikutan pada masa tu, sidang Parlimen ditangguh lama sehingga banyak isu negara tak dapat dibincangkan dan dibahaskan hanya kerana sukar dilakukan kalau tak bersemuka.

3. Gabungkan para tutor dari universiti ternama dunia, cipta Gurulab untuk ajar bahasa Inggeris

GuruLab ni merupakan platform berpangkalan di Malaysia yang gabungkan tutor dari pelbagai universiti berprestij termasuk Universiti Cambridge, Oxford dan Universiti Malaya. Eer Kai Song dan Vicky Tan bersama-sama asaskan Gurulab dengan visi nak ajar bahasa Inggeris dengan lebih mudah, secara langsung dan boleh diakses oleh setiap pelajar seluruh negara.

gurulab co founders
Pengasas GuruLab.. Via sumbangan imej kit media Gurulab kepada kami

Eer Kai Song sebelum ni kerja di McKinsey & Company, sebuah syarikat perunding antarabangsa di London, rasa dia nak sumbang kemahirannya dalam Ijazah Sarjana Kejuruteraan Maklumat dari Universiti Cambridge. Vicky Tan pulak, ada Ijazah Sarjana Pendidikan dari Universiti Oxford berpandangan, takde kaedah ‘one-size-fits-all’ yang diamalkan oleh sekolah dan pusat tuisyen dalam negara.

Oleh tu, Gurulab tercipta pada 2021. Usaha diorang ni membawa hasil apabila diorang dapat dana sebanyak US$1 juta (RM4.3 juta) dalam pusingan pendanaan awal (peringkat seed-funding). Bagi kami, ni suatu projek yang menarik dan amat membanggakan. Tak hanya memberi pendidik suatu peluang kerjaya baharu, beberapa kerjaya seperti jurutera perisian dan saintis data jugak dapat diwujudkan.

gurulab mockup1 labels
Via Gurulab

4. Bentuk parti orang muda, kebangkitan ke arah politik matang dan progresif

Satu perkara yang harus kita sedar adalah ruang politik adalah wadah terbaik untuk mengangkat suara dan tuntutan sekelompok masyarakat. Kebangkitan anak muda dalam sejarah negara kita muncul tiap generasi, masing-masing mengkehadapankan tuntutan dan seruan yang cukup bernas demi masa depan anak muda serta negara. Parti-parti anak muda kemudiannya dibentuk untuk menaikkan wawasan diorang, dan biasanya wawasan ni amat berkait rapat dengan situasi politik ketika tu.

muda amira aisya syed saddiq 14022022
Syed Saddiq dan Amira, calon Muda yang menang semasa PRN Johor.. -Via Malay Mail

Beberapa tahun lalu, nama Syed Saddiq disebut-sebutkan sebagai salah sorang tokoh anak muda yang berani bentuk parti baharu yang khusus untuk anak muda. Prestasi diorang dalam PRN Johor pun amat menarik untuk diperhatikan lantaran sebelum ni, banyak pemimpin tua kata parti Muda mungkin tak tahan lama. Ni harus diambil sebagai cabaran yang harus disahut parti Muda, dan boleh jadi, parti-parti anak muda yang mungkin akan muncul selepas ni.

Kalau dilihat, ramai sebenarnya tokoh anak muda dalam politik ni diharapkan membawa semboyan politik matang dan progresif. Ada jugak membayangkan negara akan lebih maju ke hadapan sekiranya tokoh politik seperti Rafizi Ramli, Nik Nazmi, Nurul Izzah, Khairi Jamaluddin, Shahril Hamdan dan lain-lain menerajui negara.

5. Aktivis Borneo ni pernah angkat plakad masa Dr Mahathir berucap, perjuangkan isu yang jarang didendangkan

Aktivisme anak muda tak terhad sekadar dalam lingkup Semenanjung Malaysia je, meskipun kebanyakan sejarah kemahasiswaan dilihat lebih banyak merakam aktivisme anak muda di universiti kat Semenanjung. Dari rahim universiti kat Sabah misalnya, dah ramai anak muda rajin turun padang dan tekun memperjuangkan isu-isu kaum pinggiran di sana.

Salah satu isunya adalah isu warga tanpa negara. Dulu, isu ni tak banyak dibincangkan dan jarang diketahui ramai. Di Sabah misalnya, isu ni umpama suatu ‘rahsia terbuka’ dan banyak kali dijadikan sebagai bahan untuk meraih undi dalam kalangan ahli politik tempatan. Isu ketiadaan negara ni bermaksud warga tu takde dokumen, walaupun lahir kat Sabah. Masalah ni berpanjangan sejak 90-an hinggalah sekarang.

sekolahalternatif bk
Via Malaysiakini

Mukmin Nantang antara aktivis utama yang menaikkan isu ni dan hal kebajikan diorang sehingga ia dapat liputan umum. Menerusi gerakan Borneo Komrad, anak-anak muda ni mendirikan Sekolah Alternatif bagi membudayakan ilmu dan kemahiran asas kepada anak-anak tanpa negara ni. Bagi diorang, pendidikan adalah jalan terbaik untuk memecah stereotaip bahawa anak-anak tanpa negara ni hanya satu ‘penyakit’ dan sampah masyarakat.

Terlalu ramai aktivis muda terus berjuang demi masa depan negara yang lebih baik, usah tertipu dengan dakyah negatif

Bila kita bercakap tentang anak muda zaman sekarang, ramai jugak yang masih anggap anak muda sekarang cuma tau berseronok, manja dan banyak bazirkan masa buat aktiviti tak berfaedah. Namun begitu, imej ni tak sepatutnya mewakili keseluruhan kelompok anak muda di Malaysia. Terlalu ramai sebenarnya yang dah ada syarikat sendiri, menubuhkan gerakan sendiri malah rajin mencipta ruang ekspresi diri dan berkongsi ilmu menerusi media sosial.

Lima nama yang kami sebutkan ni tak bermakna lima orang ni je yang menyumbang kepada pembangunan negara. Ramai lagi yang masih istiqamah dan terus tekun memberi tenaga untuk membantu masyarakat lain atas harapan masa depan negara yang lebih baik pada esok hari. Siapa kata anak muda garang tak bertempat?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *