Lelaki genius dari Malaysia ni dah macam Iron Man, cipta macam-macam

Ironman Hologram Maju Masa Depan

Siapa kata Malaysia takde anak muda berbakat besar macam Mark Zuckerberg dan Elon Musk? Ade je sebenarnya. Kita sebenarnya dah banyak miliki bakat-bakat cilik yang geliga akalnya macam Adi Putra si genius matematik dan Mohd. Taqif si pencipta permainan genre FPS (First Person Shooter) dalam usianya 12 tahun. Kali ni kami nak angkat sorang lagi anak muda yang dah banyak cipta alat teknologi yang berpotensi untuk dimajukan secara serius.

Pencipta teknologi serba mahir yang tak pernah berhenti…

Pemilik akaun Twitter @roshennn, atau nama penuhnya Roshen Maghhan ni adalah salah seorang anak muda yang boleh diangkat bakatnya menjadi seorang pencipta teknologi yang boleh bantu ramai orang pada suatu masa kelak.

Lahir pada 24 September 1998, anak muda ni dah cipta lebih dari 58 laman web, 9 aplikasi telefon, 16 permainan web dan sudahpun menjual lebih dari 18 perisian komputer.

Roshen Maghhan
Via Says.com

Bukan tu je, dia dah banyak ikut pertandingan macam Imagine Hack pada 2016 dan NASA Space Challenge pada 2017. Hasil dari penglibatannya dalam pertandingan besar macam tu, pengalaman bukanlah satu-satunya benda yang dia peroleh. Dalam Imagine Hack, berbentuk ‘hackathon’, mereka kena sama-sama bina suatu program dalam masa 24 jam.

Roshen dan kumpulannya dapat tempat kedua dalam Imagine Hack 2016. Dalam NASA Space tu pula, dia dan kumpulannya bina projek aplikasi SNS (Social Networking Service) dalam masa 48 jam serta juarai kategori tersebut.

Via Giphy

Tak cukup dengan tu, dia tetap nak asah lagi kemahiran-kemahiran digital dan teknologi yang dia ada. Dia buat banyak projek, dan ini antara lima projek terpilih yang kami rasa amat menarik serta berpotensi untuk dibangunkan dengan lebih teliti.

1. Risau tak faham bahasa lain, alat baharu boleh terjemah semua

Ada cerita sebenarnya di sebalik pembinaan alat ni. Dia terinspirasi dengan kejadian peribadinya ketika dia dengan rakan-rakannya sekerjanya sedang berbual. Katanya, dia seringkali ingatkan rakan-rakan berlainan bahasa ni supaya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris agar dia pun boleh ikuti juga apa benda mereka cakap tu.

Nampaknya bila dah seronok sangat bercerita, mereka pun terlupa pula Roshen ni tak faham sangat apa mereka cakap.

Untuk selesaikan masalah ni, dia teringat Google Pixel Buds dan fungsinya yang boleh terjemah apa benda yang dituturkan oleh para penutur tu dalam masa yang singkat. Tapi nak beli benda Google Pixel Buds pun dah hampir RM800, jadi dia rasa lebih baik kalau dia nak cuba bina sendiri alat yang berfungsi sama macam Google Pixel Buds ni.

https://www.youtube.com/watch?v=2MmAbDJK8YY

Mula-mula, dia semak dulu informasi perkakasan Google Pixel ni untuk fahamkan macam mana alat tu berfungsi. Kemudian, dia berpendapat untuk bina Google Pixel ni, dia kena bina dulu perisiannya. Untuk mempercepat proses terjemahannya pula, dia kena guna teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence manakala platformnya fokus pada perisian web agar tak kira Android ke, iOS ke, semua sepatutnya boleh guna.

Semasa pembinaan alat ni, dia juga rasa alat ni boleh bantu warga OKU pekak untuk baca dan ikuti apa-apa perbualan kerana proses terjemahan alat binaannya masih gunakan paparan ketika A.I tersebut cuba menangkap ayat yang keluar dari seseorang penutur. Wow…

2. Nak tengok apa benda nak dibuat betul-betul kat hujung jari

Projek ni memang menarik perhatian kami, terutamanya untuk orang-orang yang banyak benda kena buat atau kena suruh beli barang kat kedai. Malah, potensi projek ni pun boleh dinikmati oleh para pelajar juga supaya tak lupa buat kerja rumah ataupun nak ulangkaji pelajaran di mana-mana je tanpa bawa buku nota dan buku rujukan yang tebal tu.

Roshen tengok perkembangan teknologi Argumented Reality ni boleh tolong dirinya untuk urus masa, di samping boleh juga tengok apa je benda yang dia kena buat nanti. Namun begitu, benda ni perlu asas kefahaman dan pengetahuan pasal teknologi AR yang kukuh barulah kita boleh buat sendiri. Roshen pun dah tunjuk satu per satu macam mana nak buat dalam bebenang ringkas.

Roshen Teknologi Ar
Via Twitter

Selain dari tu, benda ni juga boleh dilengkapi dengan pengecaman suara untuk mudahkan korang guna ‘marker’ tersebut. Ala… teknologi ni boleh dikatakan menghampiri teknologi yang digunakan oleh Tony Stark dalam cerita Marvel Avengers. Hah, siapa kata orang Malaysia tak boleh berfikir terkedepan macam Tony Stark?

3. Masuk kat USB laptop terus dapat password…

Macam filem-filem kat Hollywood tu lah, asal cucuk kat slot USB laptop, terus boleh dapat semua data mereka termasuk kata kunci dan keylogger. Projek ni bukanlah nak tunjuk cara nak buat jahat kat orang lain, ye. Sebaliknya, kami nak tunjuk kat korang bahawa pada zaman kini, korang kena lebih hati-hati tinggalkan laptop korang kat tempat-tempat awam. Apatah lagi kalau ada maklumat sulit kat dalam tu.

Menurut Roshen, alat berbentuk seperti thumbdrive yang dah kena bedah ni boleh salin semua kata laluan korang dan boleh juga digunakan untuk padam semua fail kat laptop korang tu. Malah, benda ni boleh matikan anti-virus korang sebelum ia boleh musnahkan perisian kat alat tersebut. Mac OS yang dikatakan antara paling selamat pun mampu dipecahkan oleh perisian dalam alat ni.

Walaupun begitu, banyak dah perisian macam ni dijual dalam talian. Jadi kami nak ingatkan supaya sentiasa berwaspada ketika nak buat kerja kat laptop. Sedangkan korang pakai rangkaian Wi-Fi awam pun dah boleh kena hack oleh orang lain, apatah lagi nak cucuk USB kat laptop yang korang tinggalkan sekejap je.

4. Myvi dah tak perlukan pemandu, boleh dikawal pakai telefon

Dengan RM200, dia dah boleh kawal keretanya sendiri dengan gunakan telefon pintar. Berminggu-minggu jugalah dia rancang dan laksanakan projek tersebut, daripada fungsinya setakat nak bagi hidup dan matikan kereta, hinggalah boleh buka dan tutup tingkap serta mainkan muzik tanpa berada di dalam pun.

Penambahbaikan terus berjalan, sampailah Myvi tu pun dah boleh berjalan sendiri. Roshen namakan fungsi tersebut sebagai Summon Feature, ambil idea ni daripada Tesla. Pemandu boleh kawal kereta tu bergerak maju atau undur dengan sekali sentuh kat skrin telefon pintarnya.

Via Twitter

Agaknya kalau projek ni dapat bantuan kewangan atau peralatan yang sesuai serta lebih baik, entah-entah kereta korang pun dah boleh dikawal sendiri tanpa ada pemandu pun. Boleh jadi juga lepas ni, sesiapa yang ada kereta tu, korang dah boleh panggil dari jauh. Hilanglah masalah lupa di mana dah letak kereta, setuju tak?

5. Caroline, kembar nyata Jarvis milik Tony Stark…

Boleh nampaklah betapa teknologi fiksyen ni dah inspirasikan ramai orang, ditambah lagi macam watak Tony Stark menyuburkan minat orang untuk bina kepintaran buatan sendiri. Projek ni, menurut Roshen, adalah ciptaan miliknya yang paling dia bangga. Kebanyakan kepintaran buatan yang dia pernah buat dulu hanya terhad untuk buat serta kekalkan fungsi-fungsi yang direka tu berjalan lancar. Kali ni, dia bina Jarvis sendiri, dinamakan sebagai Caroline.

Katanya dalam ciapan, tempoh pembinaan projek ni makan masa selama 2 tahun. Tu suatu tempoh yang singkat sebenarnya untuk cita-cita besar macam ni. Dia ajar ‘kepintaran’ Caroline ni dengan gunakan rangkaian neural serta pengecaman bentuk-bentuk asas macam segi empat, segi tiga… korang bayangkan macam nak ajar budak-budak kecil kenal bentuk.

Seterusnya, Roshen ni gunakan tiga peralatan utama yang bagi kita nampak biasa je: kamera web, mikrofon dan pembesar suara. Untuk Caroline, benda ni betul-betul membantu dari segi nak kenal dunia manusia ni macam mana. Kamera web ni berperanan sebagai ‘mata’, mikrofon pula berperanan sebagai ‘telinga’ manakala pembesar suara ni sebagai ‘kotak suara’ Caroline.

Terang Roshen lagi, Caroline ni lebih pintar dari Siri dan hampir menyamai kehebatan Google Assistant. Lebih hebat, Caroline boleh kenal ekspresi muka Roshen dan dah boleh tahu kalau penciptanya ni tengah tertekan, Caroline secara automatiknya akan mainkan senarai lagu yang boleh tenangkan Roshen.

Via Giphy

Kepintaran buatan begini boleh bantu kita dalam banyak cara, dan boleh disesuaikan ikut keperluan sesiapapun yang buat kerja kat laptop. Keupayaan Caroline sudah pasti akan lebih baik sekiranya ada bantuan daripada para pemain industri teknologi tempatan. Siapa tahu, lepas ni Malaysia akan ada Jarvis sendiri yang kelak boleh digunakan seluruh dunia?

Malaysia boleh miliki kilang idea teknologi macam kat Silicon Valley, Amerika

Korang boleh ikuti perkembangan projeknya kat akaun Twitternya, roshen maghhan part 2 (@roshenmaghhan) manakala akaun utamanya adalah @roshennn. Anak-anak muda kita sebenarnya banyak yang berbakat sepertimana Roshen, dan kami berharap agar generasi muda akan dapat mencontohi usaha dan keberanian Roshen untuk mencuba benda baru serta yang paling penting, berani untuk memasang impian serta merealisasikannya. Malaysia Boleh!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *