Tatkala ramai masih lagi terkesan dengan pandemik, ada jugak yang ambil kesempatan dengan cubaan menipu orang lain. Kali ni kami nak bongkar sejenis penipuan yang semakin berleluasa. Untuk pengetahuan korang, ada sesetengah produk pengimbas suhu yang dijual sebenarnya adalah ‘palsu’ dan tak disahkan tepat oleh KKM. Bukan tu je, ujian kit COVID dan hasil ujiannya pun dijual secara haram…
Digelar pengimbas suhu cap ayam, tunjuk angka suhu tak normal mungkin kesan gunakan pengimbas tiruan
Ketika SOP normal baharu seperti pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis masih lagi baru je diperkenalkan, ada jugak pengguna media sosial kongsikan gambar catatan suhu kat buku log sesebuah pasar ni macam tak normal je. Suhu normal manusia ni biasanya sekitar 36 darjah Celsius sehingga 37.5 darjah Celcius.
Akibat ralat ni, ada kemungkinan orang yang bergejala pun dibenarkan masuk jugak sebab silap ukur suhu badan tu. Tambah-tambah lagi bacaan pengimbas badan ni banyak bergantung dengan pelbagai faktor. Sebab tu lah, penggunaan pengimbas badan kenalah betul serta bukannya menggunakan produk tiruan.
“Pengambilan suhu menggunakan pengimbas suhu digital adalah bergantung kepada banyak faktor seperti cara penggunaan yang betul, suhu persekitaran, setting, penentuukuran, kualiti dan kuasa bateri alat tersebut”- Dr. Rizin Kusop, seperti yang dipetik Mstar
Penjualan produk pengimbas tiruan ni pun mendapat perhatian Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Katanya, ni menjadi tanggungjawab pemilik premis untuk membeli pengimbas suhu yang tepat, asli dan telahpun diluluskan sebagai ‘Medical Device Authority’ dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mengulas lanjut, pemantauan untuk periksa pengimbas suhu ni bukanlah terletak semata-mata dengan penguatkuasa kesihatan dan polis sebab perkara ni bukan di bidang kuasa mereka. Maka para pengguna dan peniaga sendiri yang perlu periksa sendiri dan pastikan pengimbas tersebut adalah produk tulen serta dah disahkan KKM.
“Pemilik atau pengusaha premis tidak boleh beli sebarangan, elok beli di farmasi bukan di pasar malam dan sebagainya. Itu yang menyebabkan berlaku perkara seperti ini (bacaan tidak tepat).
“Kalau dah beli, mereka perlu perhatikan dari segi ketepatan suhu. Kalau mereka nampak ada masalah perlu menghantar untuk dikaliberasi,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro
Korang boleh semak sendiri sama ada pengimbas suhu korang tu tulen atau tak dengan melayari pangkalan data yang khusus untuk urusan semakan alat kesihatan yang dapat sijil MDA dengan klik sini.
Kit COVID-19 dan hasil ujian negatif palsu turut dijual oleh sindiket, pasaran dalam talian
Selain dari alat pengimbas suhu yang palsu, kit ujian COVID-19 palsu pun dijual jugak. Kalau korang masih ingat lagi, dulu MyEg, portal rasmi kerajaan tu jual kit COVID-19 yang sebenarnya belum diiktiraf oleh KKM lagi pada Mac lalu. Masa tu PKP tengah berlangsung dan usaha menjejaki kluster Sri Petaling sedang berjalan.
Berbanding ujian swab yang digunakan oleh KKM, kit rapid test ni mendakwa boleh hasilkan ujian menerusi darah dalam tempoh 15 minit. Walaupun nampak efisien, tetapi KKM tegaskan kit ujian darah tu kurang tepat sebenarnya dan tak galakkan penjualan kit tersebut. Dr. Noor Hisham kata kita gunakan ujian pengesanan COVID-19 dengan ujian RTK Antigen.
“Manakala, ujian serologi RTK Antibodi yang menggunakan sampel darah dari hujung jari (finger prick) tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan. Ini kerana kehadiran antibodi tidak dapat mengesahkan jangkitan semasa (active infection), keputusan antibodi negatif pula tidak menjamin individu yang diuji tidak dijangkiti Covid-19,” – Dr. Noor Hisham, seperti yang dilaporkan Harian Metro
Kemudian pada awal bulan ni, polis berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 yang negatif bagi warga asing. Hasil siasatan mendapati premis tu baru buka selama 2 minggu, dan beroperasi dengan jual dokumen tersebut dengan harga RM50.
“Polis mendapati kadar sewaan tapak adalah RM600 sebulan. Premis beroperasi setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga 9 malam. Penjaga premis akan ditempatkan di kaunter untuk mengendalikan sebuah komputer riba ketika berurusan dengan pelanggan.
Sasaran pelanggan dipercayai warga asing. Kedua-dua suspek di dua premis berkenaan bekerja dengan dua lelaki tempatan dan anggaran gaji suspek antara RM1,500 hingga RM1,700 sebulan,”- Datuk Seri Mazlan Lazim, Ketua Polis Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan Berita Harian
Penjualan kit ujian pengesanan COVID-19 pun banyak didapati dalam pasaran dalam talian sendiri. Mengikut carian kami, ada jugak peniaga kat Shopee tu jual kit ujian COVID-19 namun telah dipadam. Kami berjaya dapatkan semula salah satu iklan dari para peniaga tersebut untuk korang.
Memandangkan hampir kesemua produk kit pengesanan COVID-19 dipadam oleh pihak Shopee, mereka ada buat kerjasama dengan DoctorOnCall untuk konsultasi kesihatan. DoctorOnCall dan Bookdoc adalah antara pihak rasmi yang bekerjasama dengan KKM, jadi korang tak perlu ragu-ragu nak minta konsultasi dari DoctorOnCall menerusi aplikasi Shopee, Mysejahtera dan dari aplikasi Bookdoc sendiri.
Berhati-hati dengan produk tiruan dan peniaga tamak, promosi murah tak berbaloi dengan kualiti rendah
Dah banyak orang buka perniagaan sendiri demi menyara keluarga dan diri sendiri di platform penjualan produk seumpama Shopee dan Lazada, ditambah lagi dengan kemelesetan ekonomi akibat pandemik. Kita yang dah kerap duduk di rumah ni pun, sama ada budaya kerja dari rumah ataupun terpaksa kehilangan kerja pun semakin rajin tengok promosi barang-barang murah dalam talian., betul tak?
Tetapi alasan berjimat cermat tak harus menjadi perkara utama yang buatkan korang beli je produk kesihatan berkualiti rendah, terutamanya buat para peniaga yang beli je alat pengimbas suhu yang tak disahkan tepat. Sebagai pengguna, kita pun boleh adukan jugak jika kita rasa pengimbas suhu tu macam tak betul je.