Untuk pengetahuan korang, baru-baru ni telah berlangsungnya satu festival yang dinamakan sebagai Festival Pandang Ke Borneo 3.0 anjuran daripada Borneo Komrad. Tapi, korang tahu tak tentang festival ni dan apa matlamat utama festival ini dianjurkan? Kata orang tak kenal maka tak cinta jadi sebelum kami bercerita lebih lanjut tentang festival ni, kami akan ceritakan kepada korang tentang siapa sebenarnya Borneo Komrad terlebih dahulu.
Sejarah penubuhan Borneo Komrad, tak mahu terima dana parti politik dan orang berkepentingan
Borneo Komrad merupakan sebuah gerakan yang telah ditubuhkan oleh sekumpulan mahasiswa seni daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mana idea ini lahir hasil dari gabungan antara Kelab Sastera Mahasiswa (KARMA) UMS dan Suara Mahasiswa UMS yang sentiasa aktif dalam melakukan gerak kerja intelektual, kesenian, membangunkan ekonomi mandiri dan advokasi pendidikan di Malaysia amnya dan khususnya di negeri Sabah.
Pada awalnya, Borneo Komrad ni telah mula beroperasi pada tahun 2016 melalui sebuah produksi projek akhir pementasan teater koordinator Borneo Komrad itu sendiri iaitu Mukmin Nantang. Kemudian, gerakan ini telah dikembangkan dan dibawa keluar daripada universiti dengan membina pejabat ataupun rumah kolektif mereka.
Ia membuktikan bahawa mahasiswa boleh memiliki pejabat atau ruang mereka sendiri untuk membangunkan ekonomi mandiri di luar universiti tanpa ada campur tangan dan duit daripada parti politik, atau pemodal berkepentingan.
Kini, ada empat buah rumah kolektif yang telah berjaya dibuka oleh Borneo Komrad yang terletak di Kota Kinabalu, Semporna, Tawau dan Semenanjung Malaysia.
Kalau korang nak tahu, idea utama penubuhan gerakan Borneo Komrad ini adalah untuk bangunkan modul baharu gerakan mahasiswa, mereka tak nak terlalu beromantisme dengan sejarah-sejarah gerakan mahasiswa yang terdahulu dan mereka mahu lebih fokus kepada ekonomi, advokasi dan analisis-analisis terhadap masyarakat kelas bawah ataupun pro rakyat.
Festival Pandang Ke Borneo 3.0, penglibatan ramai kolektif dan masyarakat
Festival Pandang Ke Borneo 3.0 telah berlangsung di rumah kolektif Borneo Komrad yang baru yang terletak di Kampung Suang Parai, Kota Kinabalu. Tujuan utama penganjuran festival ini diadakan pada setiap tahun sebenarnya adalah untuk mengumpulkan semua organisasi-organisasi anak muda yang membuat kerja-kerja seni dan advokasi kemasyarakatan.
Diorang membantu kolektif dengan menghasilkan produk dan menggalakkan masyarakat untuk terlibat secara langsung dalam acara kesenian dan kemasyarakatan.
Untuk pengetahuan korang, pada festival kali ini terdapat beberapa aktiviti menarik yang mereka jalankan, antaranya pembukaan reruai jualan, merewang, bengkel cungkil kayu, dan kenduri puisi. Festival ni telah berlangsung daripada pukul 10 pagi sehinggalah 10 malam yang mana pada festival kali ini terdapat beberapa kolaborasi antara Borneo Komrad bersama dengan kolektif-kolektif lain antaranya seperti Pangrok Sulap, Cahaya Learning Centre, Bintang Printing, Terjebak Komuniti dan banyak lagi.
Selain itu, pada festival kali ini juga ada satu acara khas iaitu acara kenduri puisi yang mana mereka lakukan sebagai tanda mengimbau kenangan dan memperingati segala nasihat serta jasa-jasa seorang guru iaitu Allahyarham Dr Lokman Abd Samad ataupun lebih mesra dengan panggilan Cikgu Don yang baru sahaja meninggal dunia.
Kalau korang nak tahu, kekuatan gerakan Borneo Komrad pada hari ini terhasil adalah kerana mereka mempunyai seorang guru yang baik dan sentiasa memberikan idea serta buah fikiran. Semoga Allahyarham Cikgu Don tenang di alam sana. Menurut Nurain Khoo yang merupakan salah seorang aktivis Borneo Komrad;
“Kejayaan Borneo Komrad dan Festival Pandang Ke Borneo ini sebenarnya adalah kerana terdapat seorang guru mahasiswa yang menjadi tulang belakang kepada gerakan KARMA, Suara Mahasiswa dan Borneo Komrad. Seorang guru berani meninggal dunia, beribu anak berani lahir ke dunia,” – Nurain Khoo
Harapan terhadap Festival Pandang Ke Borneo pada masa akan datang
Bersempena dengan penganjuran Festival Pandang Ke Borneo pada kali ini, Mukmin Nantang yang juga merupakan koordinator Borneo Komrad telah menyatakan bahawa dia sangat gembira dan teruja dengan penganjuran festival pada kali ini kerana ianya telah menghimpunkan dan melibatkan ramai kolektif, rakan mahasiswa dan masyarakat kampung untuk bersama-sama dalam menjayakan festival kali ini. Menurut Mukmin ketika ditanya oleh wakil daripada ORANGKATA;
“Saya berharap agar dapat menghimpunkan lebih ramai kolektif seni daripada seluruh borneo dan semenanjung malaysia. Selain itu saya juga berharap agar dapat menghimpunkan kolektif seni daripada luar negara seperti Brunei, Filipina dan Indonesia. Semoga usaha ini dapat kita bangunkan dan kecapi bersama-sama,” – Mukmin
Seterusnya, mereka juga sangat mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja jika mereka mahu melihat dengan mata sendiri tentang bagaimana gerak kerja dan merasai sendiri bagaimana kehidupan masyarakat kelas bawah yang mereka selalu perjuangkan.