Pelajar ni ‘hack’ kad kopitiam supaya boleh makan FREE setiap hari…

F1

Menuju Era Industri 4.0 ini, keselamatan siber makin lama makin tak terjamin pulak. Kalau anda masih ingat, negara kita pernah dikejutkan dengan isu keselamatan bank atas talian (Online Banking) CIMB pada tahun 2018. Tapi, isu keselamatan siber yang melibatkan bank bukanlah sesuatu yang asing bagi kita. Selain laman web Online Banking, franchise makanan juga tak terlepas daripada digodam. Eh, kopitiam pun boleh kena godam ke?

Ab Chinyue 100320
Tee Chin Yue, bekas pelajar NTU yang disabitkan bersalah ‘hack’ kad kopitiam. Via straitstimes.com

Haa, inilah isu yang kami nak sembang pada kali ini. Dalam kekalutan masyarakat dunia dengan penyebaran virus Covid-19, kita sering terlepas pandang dengan isu-isu lain. Baru-baru ini, Mahkamah Singapura telah memutuskan seorang graduan Nanyang Technological University (NTU) bersalah kerana menggodam kad ahli Kopitiam. Dengan menggodam kad ini, Tee Chin Yue, seorang pelajar Kejuriteraan Komputer di NTU, dapat menikmati diskaun 100% (dalam kata lain, ‘percuma’ lah) untuk makanan dan minuman serta rokok. Amboi!

Bukan saja dia dah godam 4 jenis kad kopitiam sampai 130 kali, tapi dengan kemahirannya juga, dia dapat buat perniagaan di laman Carousel dengan tambah nilai kad telco Singtel pada harga lebih rendah. Contoh, pelanggan nak tambah nilai kad Singtel mereka SGD 10, tapi bayar SGD 8 saja. Daripada perniagaan atas talian ini, dia dapat menjana pendapatan sebanyak SGD 34,000!

Manakala bagi transaksi dalam kad kopitiam yang telah digodamnya menjangkau SGD 80,800. Siapa cakap jadi pandai tak boleh kaya?

Macam mana dia buat sampai boleh tembus sistem kad kopitiam dan kad telco?

Semuanya bermula bila dia masuk NTU dan tinggal di asrama dalam kampus pada tahun 2015. Di asrama itulah dia cari cara-cara nak godam kad ahli kedai elektrik untuk dapatkan aircond percuma. Gila dia nih, tak pernah orang terfikir nak guna kad diskaun ahli untuk dapat barang percuma. Aircond pula tu!

Dipendekkan cerita, dia berjaya dapat aircond percuma dengan cara menggodam kad tersebut. Macam biasa, orang cakap kalau dah sekali buat jahat, mesti nak buat lagi kalau tak kantoi, kan? Selepas itu, dia cuba terfikir sistem kad ahli atau kad diskaun ini lebih kurang je. Dia pun godamlah kad kopitiam pula.

Kerjaya sebagai seorang ‘hacker’ gitu. Via Giphy

Eh, pakai kad yang sama tapi masih boleh dapat makanan percuma berkali-kali? Apa ada hal… dia tukarlah no digit keahlian dalam kad itu. Jadi dengan cara ini, bila dia guna kad yang sama pun, dalam sistem rekod no ahli yang berlainan.

Sebab kekerapan mendapat diskaun 100%, pemilik kopitiam syak ada yang tak kena…

Manusia manalah dalam dunia ini yang tak ada syak wasangka kalau dah beratus kali muka yang sama saja dapat makanan percuma? Dalam keghairahan menikmati makanan percuma itu, dia tak sedar yang syarikat kopitiam itu dalam senyap-senyap dah buat laporan polis pasal dia selalu dapat makanan percuma dengan kad ahlinya.

Bn Kopitiam Card 1474004825 34111e53
contoh kad kopitiam. Via Carousell

Pada 24 Julai 2017, Tee Chin Yue telah ditangkap atas kesalahannya itu. Walaubagaimanapun, dia telah membayar semula ganti rugi kepada syarikat kopitiam yang terlibat sebab nak tamatkan pengajian dan bergraduasi pada tahun yang sama. Dari tahun 2015 buat kerja ‘hacking’ ini, 2017 baru kena tangkap. Kira power la, kan?

Walaupun masih dalam perbicaraan Mahkamah, kepintarannya telah diakui dan dia diterima bekerja

Ramai menganggap kalau seseorang dah ada rekod jenayah, susah nak dapat kerja. Tapi jenayah yang dilakukan oleh Tee Chin Yue ini seakan-akan memberi kelebihan pulak padanya. Yelah, tak ramai graduan yang ada kemahiran macam yang dimiliki oleh pelajar ini.

Dalam perbicaraan di Mahkamah, peguamnya telah memohon supaya diberikan peluang kedua kepadanya. Lagipun, dia juga ada tulis thesis untuk menyelesaikan masalah dan kelompongan keselamatan untuk sistem yang berkaitan.

Gradjugak
Hack kopitiam makan free 130 kali, #gradjugak. Via Twitter

Selepas tamat pengajian di NTU, Tee telah diterima bekerja dengan anak syarikat Temasek Management Services, Trusted Services. Majikannya juga turut menulis surat sokongan untuk mengekalkan jawatannya dalam syarikat walau apa-apa pun keputusan Mahkamah yang dijatuhkan ke atasnya.

Kes Tee Chin Yue ini mengingatkan kita tentang kes yang lebih kurang di Malaysia

Kes menggodam sistem seperti kes ini sebenarnya pernah berlaku di Malaysia sekitar tahun 1990-an dulu. Wow, zaman 90-an pun dah ada kes macam ini. Aman Shah, seorang pegawai bank telah menggodam sistem di bank tempat beliau bekerja dengan memindahkan satu sen bagi setiap transaksi yang berlaku.

Hasilnya, dengan ‘menyedut’ satu sen itu, dia jadi jutawan sampai boleh buat koleksi kereta sport lagi! Tapi kes Aman Shah ini boleh kantoi sebab dia tayang koleksi kereta sportnya dalam sebuah rancangan TV.

Macam biasalah, tak lama mana pun sesuatu jenayah itu akan berterusan berlaku. Pada akhirnya, kantoi juga. Biar apa-apa pun kesalahan atau jenayah, kalau betul terbukti, mestilah dihukum. Kes Tee Chin Yue ini sepatutnya menjadi pengajaran buat kita untuk terus berintegriti dalam kehidupan seharian walaupun ianya agak terpencil dan ‘rare’ bak kata orang putih. Ya, kita tahu kita boleh buat, tapi lebih bagus kita tak buat jenayah langsung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *