Ini rupanya sebab penganut Hindu sakiti badan sendiri semasa Thaipusam

Malaysia ni memang untung sebab bukan setakat kita ni negara majmuk, masyarakat pelbagai bangsa, tapi sebab kita dapat banyak cuti. Tapi kalau setakat kita bercuti je tak best juga, kita kena ambil tahu sebab apa kita dapat cuti.

Haa ini yang kami di OrangKata nak beri pencerahan sikit supaya kita saling kenal mengenal satu sama lain. Hari ni merupakan cuti umum untuk Johor, Kuala Lumpur, N. Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya dan Selangor bersempena upacara Thaipusam. Apa tu Thaipusam?

Via Lipstiq

Perkataan Thaipusam diambil dari dua patah perkataan iaitu “Thai” yang merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Tamil dan “Pusam” yang bermaksud “bila bintang adalah paling terang”. Upacara ni dilakukan di negara-negara yang mempunyai populasi penganut Hindu yang besar seperti India, Sri Lanka, Malaysia, Mauritius, Singapura dan Kanada. Namun Malaysia antara negara yang menetapkan Thaipusam sebagai satu hari cuti umum di beberapa buah negeri, bagi menghormati upacara keagamaan tu.

Perayaan meraikan kemusnahan syaitan jahat

Thaipusam meraikan tuhan Murugan yang telah memusnahkan syaitan jahat dengan menggunakan lembing (Vel). Menurut salah satu tradisi, pertempuran telah berlaku di antara Asura (Soorapadman) dengan para dewa. Para dewa gagal menewaskan Asura lalu meminta pertolongan Dewa Shiva dan memohon untuk memberi mereka pemimpin yang mampu mengalahkan Asura.

Via Kalender Balli 

Para dewa menyerahkan diri mereka sepenuhnya dan berdoa kepada Dewa Shiva yang mendengar permintaan ini dan menjanjikan bahawa seorang putra akan dilahirkan untuk mengalahkan syaitan itu. Dewa Murugan, putra kepada Dewa Shiva dan Dewi Parvati merupakan pemimpin tersebut. Dia telah memimpin para dewa dan berjaya menewaskan Soorapadman menggunakan Vel yang diberikan oleh ibunya Dewi Parvati.

Kemenangan yang baik ke atas kejahatan

Peristiwa ni merupakan lambang kemenangan yang baik ke atas kejahatan. Untuk menunjukkan penghargaan kepada peristiwa tersebut dan kepada Dewa Murugan, penganut hindu mencucuk dan menusuk badan mereka dengan cangkuk dan lembing sebagai pengabdian diri mereka kepada tuhan.

Mereka membawa Kavadi, atau beban, yang dihiaskan untuk dipersembahkan kepada Dewa Murugan. Selain mencangkuk badan, ada juga yang menindik telinga, mencucuk mulut dan dahi, meletakkan korban seperti buahan, susu dan bunga dengan setiap tusukan, sebelum memulakan perarakan untuk mempersembahkan korban kepada tuhan, agar dapat pertolongan daripada tuhan untuk menghapuskan kejahatan.

Perarakan Batu Caves

Dianggarkan lebih satu juta orang akan memenuhi Batu Caves pada hari Thaipusam sama ada untuk memerhati atau untuk menyertai perarakan dan upacara penyembahan. Perarakan bermula dari malam sebelumnya dengan orang ramai berkumpul di Kuil Sri Mahamariaman berdekatan Jalan Tun HS Lee sebelum berarak lebih 15km ke Batu Caves, sampailah naik 272 anak tangga untuk masuk ke perkarangan dalam Batu Caves tu.

Via TripSavvy

Di Batu Caves, kalau tengok satu patung berhala besar setinggi 42.7m tu, itulah Dewa Murugan yang disembah oleh penganut agama Hindu. Apa yang menarik tentang upacara di Batu Caves ini ialah bukan penganut Hindu je yang datang menyaksikan upacara, tapi semua orang tak kira bangsa, agama, sampaikan pelancong dari merata tempat pun datang semata-mata nak tengok upacara ni. Siap ada jualan makanan, minuman dan alatan upacara. Memang meriah!

Orang putih pun join sekali

Yang menarik tentang upacara Thaipusam di Malaysia ni, oleh kerana upacara di Batu Caves dapat perhatian masyarakat seluruh dunia, ramai juga orang lain nak join. Antara yang pernah ikuti upacara ni ialah warga Australia Carl Vadivella Belle yang telah menjadi pemerhati upacara selama 20 tahun, sebelum ikut membawa Kavadi pada tahun 2015. Warga Jerman Rainer Krieg Ganesan juga merupakan pembawa Kavadi, dan telah mengikuti upacara ini sejak mula datang ke Malaysia pada tahun 1975, lebih 40 tahun yang lalu!

Via Giphy

Malaysia ni memang unik dari segi perayaan sebab semua kita sambut. Kita bukan setakat dapat cuti banyak je, bila datang perayaan berlainan bangsa dan agama hidangan makanan pun macam-macam jenis, lepas tu boleh tengok dan kenal budaya dan keagamaan orang lain yang kalau nak banding dengan negara-negara lain memang tak ada. Orang kata kalau tak kenal maka tak cinta, jadi eloklah kita mula saling berkenalan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *