Tangkap orang tak berpuasa perbuatan tak patuh syariah, ini sebabnya

Tangkap orang tak berpuasa perbuatan tak patuh syariah, ini sebabnya

Baru-baru ini, tersebar berita kononnya ada pegawai Majlis Perbandaran Segamat (MPS) menyamar menjadi tukang masak, hanya semata-mata mahu menangkap muslim yang tidak berpuasa.

Walaubagaimana pun, hari ni pihak MPS membuat kenyataan bahawa berita yang dilaporkan tersebut adalah tidak benar. Pihak MPS juga turut menafikan bahawa Yang Dipertua MPS, Mohd Masni Wakiman ada membuat kenyataan berkenaan hal tersebut.

Adakah perbuatan menangkap orang Islam ponteng puasa sebahagian daripada Islam?

Walaupun ada penafian, tetapi dengan tersebar laporan berita – kononnya ada usaha menangkap orang yang tidak berpuasa, apakah benar-benar diamalkan dalam amalan Islam atau tidak? Bagi mengupas perkara ini, kami wacanakan beberapa beberapa tajuk besar seperti berikut;

Pertama, apabila disebut syariah islam, sudah pasti ia bersumberkan al-Quran dan hadis. Justeru, sebarang amalan yang tidak pernah diamalkan oleh Nabi, dan tidak pernah disebut dalam al-Quran secara jelas, maka ia sama sekali tidak boleh dianggap sebagai syariah.

Apa yang pasti, amalan menangkap orang yang tidak berpuasa di bulan Ramadan, ia tidak pernah wujud dalam suruhan wahyu – sama ada dari al-Quran, mahupun dari hadis Nabi saw. Dengan ini, jelas bahawa amalan menangkap orang tidak berpuasa sepertimana yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam di Malaysia amat tidak boleh dianggap sebagai tuntutan syariah, walaupun diakui bahawa tidak berpuasa itu adalah perkara yang dilarang dalam agama.

Via NWP

Kedua, apabila tidak ada dalam teks wahyu, maka sesuatu undang-undang atau hukuman yang disediakan, terletak di bawah kuasa kerajaan yang dikenali sebagai takzir. Walaupun kerajaan ada kuasa untuk menetapkan undang-undang atas nama takzir, tetapi ia tidak bersifat mutlak. Ia terikat kepada syarat-syarat penting.

Antara syarat-syaratnya adalah;

A. Undang-undang tu hendaklah berasaskan kepada kesalahan jenayah, bukan kesalahan moral. Perbezaan kesalahan jenayah dan moral adalah; kesalahan jenayah bersifat amalan buruk yang memberi implikasi kepada orang lain. Maka dengan sebab itu, hukuman sebat 100 kali pada pesalah zina tidak berlaku kecuali di khalayak awam yang paling kurang sehingga dilihat oleh empat orang saksi yang adil; hukuman 80 sebatan bagi pesalah qazaf kerana melibatkan maruah orang lain dan sebagainya.

Adapun kesalahan moral adalah kesalahan yang melibatkan dosa peribadi, ataupun melibatkan awam yang tahap kesannya tidak seburuk bagi kesalahan jenayah. Maka dengan sebab itu, Nabi saw tidak pernah buat undang-undang atau hukuman terhadap orang yang tidak menunaikan solat, walhal dosa tidak menunaikan solat amat besar – selepas dari dosa murtad.

Via Tenor

B. undang-undang tersebut sudah pasti dibentuk atas asas kemaslahatan. Ini berasaskan kepada kaedah usul al-Fiqh yang menyebut: “Urusan pemerintah terhadap rakyat, terikat kepada kemaslahatan”.

C. Tidak tajassus (mengintip). Ini kerana, terdapat dalil al-Quran (surah al-Hujurat 49:12) dan beberapa hadis Nabi, malah beberapa athar sahabat yang melarang dari melakukan intipan terhadap sesuatu kesalahan yang bersifat moral.

Jangan suka mengintip dosa orang lain

Dalam athar sahabat, diceritakan bahawa Saidina Umar bersama Abdul Rahman bin Auf yang bertemu sebuah rumah yang didapati penghuninya sedang minum arak. Saidina Umar bertanya kepada Abdul Rahman, apa tindakan yang perlu dilakukan. Abdul Rahman terus membacakan ayat al-Quran yang melarang dari tajassus. Mendengar bacaan ayat al-Quran dari Abdul Rahman tersebut, Saidina Umar terus berlalu pergi – tidak mengambil tindakan terhadap peminum arak yang minum di tempat tertutup.

Buat apa tu? Via Seruni

Demikian juga, seseorang telah menangkap seorang peminum arak, lalu dibawa kepada Abdullah bin Mas’ud yang merupakan salah seorang sahabat Nabi yang besar. Ketika itu, kelihatan air arak menitik dari janggut peminum arak terbabit. Sahabat nabi besar itu bertanya, dari mana diambil peminum arak tersebut. Diberitahu bahawa dari suatu tempat yang tertutup. Dengan itu, Abdullah Bin Mas’ud terus abaikan peminum arak tersebut – tidak mengambil sebarang tindakan.

Dengan perbahasan ini, jelas bahawa amalan menangkap orang yang tidak berpuasa bukan sesuatu yang bersumberkan dari amalan syariah. Ekoran itu, tidak terdapat satu asas pun dari al-Quran dan hadis yang menyeru ke arah tersebut.

Via DS

Pun begitu, ada tanggapan bahawa amalan ini dibawah maksud takzir – pandangan ini kurang tepat. Ini kerana, kesalahan tidak berpuasa adalah bersifat dosa peribadi, bukan memberi kesan buruk pada masyarakat awam, sepertimana implikasi berat bagi kesalahan mencuri, berzina di khalayak awam, tuduhan zina dan sebagainya.

Amalan menangkap orang tak berpuasa tak patuh syariah

Apabila menangkap bagi pesalah yang tidak berpuasa pun tidak berasaskan kepada syariah, sudah pasti tindakan menyamar demi mencari orang yang tidak berpuasa, lebih-lebih lagi bukan tuntutan syariah – bukan sekadar tidak ada dalam al-Quran dan hadis, malah amalan tersebut secara dasarnya bercanggah dengan roh wahyu, malah bercanggah juga dengan amalan para sahabat.

Wallahu ‘Alam.

Pandangan ini ditulis oleh Ustaz Wan Ji Wan Hussin Menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir (Ijazah Syariah Islamiyyah) dan memperolehi Sarjana Sastera di Universiti Malaysia Kelantan (kajian Maqasid Syariah). Kini berkhidmat sebagai Pengarah Akademik di SAUDARA.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print