Sekitar tahun 2017, kita digemparkan dengan berita bahawa harga Mangga Harumanis merudum berlipat kali ganda sehingga hanya RM10 sekilogram. Kesilapan membalut buah, lambakan hasil, selain permintaan yang merosot, menyebabkan ada buah yang terbiar busuk di pokok, sehingga ada petani yang membakar hasil mereka.
ahun 2019 ini pula menyaksikan ada yang mendakwa harga buah itu turun sehingga RM15-RM12. Permintaan Mangga Harumanis setiap kali bulan Ramadan dikatakan akan merosot, selanjutnya membawa kepada kejatuhan mendadak harga.
Sebenarnya Perlis dah daftarkan Mangga Harumanis sebagai harta intelek diorang
Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa buah mangga tersebut hanya ada di Perlis, kan? Mangga Harumanis atau nama saintifiknya ‘Mangifera Indica Linn’ sangat sinonim dengan negeri Perlis Indera Kayangan. Setiap tahun antara bulan April hingga Jun, negeri di Utara tanah air ini akan menjadi tumpuan pengunjung untuk mendapatkan Harumanis segar.
Ia digelar Harumanis kerana mengeluarkan aroma yang harum dan rasanya yang manis. Isinya yang tebal kekuningan serta rasanya yang enak dimakan bersama pulut sebagai salah satu sajian tradisi di negeri Perlis. Ia juga enak dimakan begitu sahaja ataupun diproses dalam bentuk jus atau jem.
Pada 2 Ogos 2011, Jabatan Pertanian Negeri Perlis telah mendaftarkan Mangga Harumanis Perlis sebagai harta intelek. Faktor iklim dan cuaca sangat mempengaruhi pengeluaran Harumanis. Secara umumnya Harumanis tetap boleh ditanam pada kebanyakan jenis tanah, namun faktor kepanasan cuaca tetap memainkan peranan penting.
Di kawasan yang mempunyai cuaca panas antara dua hingga tiga bulan dan suhu mencecah 38 darjah Celsius adalah signifikan sebagai rangsangan pengeluaran bunga.
Di Filipina pun ada isu tentang Mangga
Berbeza di Filipina, apabila fenomena El Nino menyaksikan lambakan mangga di negara jiran Malaysia itu. Jabatan Pertanian telah mendirikan gerai di sekitar Manila bagi menghabiskan stok manga dan mengelakkan ia menjadi busuk. Filipina kini terpaksa bergelut dengan 2 juta kilogram hasil mangga yang tidak terjual. Para peladang di negara itu telah melaporkan peningkatan mendadak ketika musim menuai hasil, yang dikatakan kerana musim El Nino, fenomena iklim yang menjurus kepada cuaca panas dan kering tahun ini.
Pulau Luzon menyaksikan lebihan 2 juta kilogram manga, lambakan yang menyebabkan harga jatuh menjunam daripada 58 (RM4.65) pesos kepada serendah 25 pesos (RM2.25) sekilogram. Pihak kerajaan berusaha keras untuk menyelesaikan isu lambakan hasil ini, sebelum ia menjadi busuk serta satu pembaziran, yang pastinya melukakan ramai peladang.
Dalam usaha untuk memastikan akses kepada mangga tidak terhalang, jabatan pertanian telah melancarkan kempen “Metro Mango”, dalam cubaan untuk memindahkan stok jutaan buah itu ke Metro Manila. Gerai-gerai jualan mangga diletakkan di seluruh bandar Manila sepanjang bulan Jun. Mangga segar dijual pada harga 25 pesos ke 50 pesos sekilogram untuk menarik pembeli, yang mana mereka akan memperoleh harga lebih rendah jika membeli secara borong.
Mereka juga melancarkan kelas memasak bagi mengajar masyarakat untuk masak menggunakan mangga dan festival mangga akan diadakan pada pertengahan Jun, bagi meningkatkan permintaan terhadapnya. Terdapat petani di Luzon yang terpaksa memberikan hasil mereka secara percuma, malah menggantungkan buah-buah itu di dalam plastik, di pintu pagar lading mereka.
https://www.youtube.com/watch?v=xYY6fYTAhtU
Minat daripada pelabur asing terhadap mangga yang murah juga dilihat dapat membantu menyelesaikan isu ini. Sebuah syarikat pengimport buah dari Jepun telah menyatakan persetujuan untuk membeli 100,000 kilogram mangga tu, meskipun ini meninggalkan lagi 1.9 juta kilogram untuk dipindahkan. Pihak jabatan sedang berusaha untuk meningkatkan import harian mangga ke Hong Kong dan Dubai.
Ramai petani yang terkesan akibat fenomen El Nino
Filipina merupakan salah-satu pengeksport utama buah mangga. Pada 2016, ia menghasilkan lebih 400 juta kilogram mangga. Selain padi, jagung merupakan hasil tanaman kedua di negara itu. 50 peratus petani di Filipina menanam padi, 38 peratus menanam jagung, manakala 8 peratus menanam terung atau tomato. Terdapat juga kawasan yang mengalami masalah bekalan elektrik memandangkan ia dibekalkan daripada empangan hidro-elektrik yang gagal berfungsi, akibat aras air yang rendah.
Dipendekkan cerita, kita semua perlu ambil tahu tentang isu perubahan iklim dan cuaca, kerana ia membabitkan masa depan kita serta generasi anak-anak kita. Majalah Mangga mungkin dah tak lagi boleh didapati di pasaran, jangan sampai mangga Harumanis dan banyak lagi nikmat Tuhan yang kita rosakkan, jika kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga untuk memelihara kelestarian alam sekitar.