Disebabkan PKP, beberapa sungai di Melaka dah semakin jernih seperti di luar negara

F1

Ketika PKP dulu, ramai terpaksa batalkan percutian ke luar negara. Tak kurang pula, banyak yang mengidam nak jalan-jalan lepas habisnya tempoh kuarantin diri. Walaupun sektor pelancongan kini masih lagi nampak goyah, tetapi beberapa pemain industri khususnya mereka dalam penerbangan masih positif dengan perkembangan sektor pelancongan sesudah COVID-19 ni.

Dulu kami dah senaraikan beberapa tempat kat Sabah yang boleh korang terokai. Air laut yang kebiru-biruan macam Maldives, orang kata. Namun tahukah korang, baru-baru ni tular berita bahawa sebatang sungai kat Melaka pun dah sama macam yang ada di Sabah dan Maldives?

Hijau Biru Sungai Melaka
Cuba teka kat mana ni.. -Via Libur

Sungai Kesang sungai biru menarik minat ramai, tapi tak dibenarkan mandi-manda kerana satu benda

Melaka kota bersejarah ni menyimpan banyak kenangan dari masa lalu, sehinggakan korang boleh bayangkan kecantikan kota Melaka dulu-dulu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Tak sia-sia jugak belajar pasal sejarah negara sendiri, walaupun Dr. Mahathir cakap sejarah tak hebat seperti bidang sains. Patutlah ramai nak dapatkan Melaka dulu ye…

Sungai Melaka
Percaya atau tak, ni lah Sungai Melaka lepas PKP dulu.. Via TV Sarawak

Mungkin salah satu hikmah PKP ni kepada alam sekitar adalah ia kurangkan pencemaran alam akibat aktiviti manusia. Sejak PKP pada 18 Mac hingga 14 April dulu, pencemaran udara berkurangan hingga mencatatkan kualiti udara ke tahap bersih manakala kualiti air sungai jugak meningkat di beberapa batang sungai termasuklah Sungai Klang.

Ada orang kata Sungai Melaka memang dah jernih pun terutamanya ketika air pasang, tetapi tak dapat dinafikan bahawa PKP ni sebenarnya menyumbang baik kepada persekitaran alam. Satu lagi sungai yang tular baru-baru ni adalah Sungai Kesang, sehinggakan ramai datang hanya untuk melihat sendiri kejernihan sungai tersebut dan berswafoto sebagai kenangan berlatar sungai kebiru-biruan tu.

Sungai Kesang Mandi Manda
Via Facebook

Sungai Kesang ni panjang jugak, dan boleh dianggap sebagai “garisan air” di antara sempadan Melaka dan Johor. Ramai mulai bertandang ke bahagian tepian sungai yang mudah dicapai seperti di kawasan Sungai Rambai. Menariknya, sungai ni pun ada ceritanya yang tersendiri iaitu tentang perjanjian manusia dengan buaya.

Kebanyakan cerita rakyat tentang sungai ni berkait rapat dengan buaya sungai. Kami pernah senaraikan kisah perjanjian buaya sungai dengan manusia dulu, termasuklah kisah buaya legenda Sarawak yang telah mengorbankan banyak nyawa orang tempatan dulu.

Sungai Kesang Buaya
Sungai Kesang tu cantik, tapi ada buaya ye… Via Sinar Harian

Begitulah peribahasa orang tua, “air yang tenang jangan disangka tiada buaya”. Air sungai jernih lagi biru ni pun ada buaya jugak. Memandangkan kecantikan sungai tu dah diketahui lebih ramai orang, ada jugak yang berani tumpang bermandi manda di sana. Hal ni membuatkan PERHILITAN keluarkan peringatan semula untuk tidak bermandi-manda di kawasan sungai tersebut kerana sudahpun diisytiharkan sebagai habitat buaya tembaga sejak 2018 lagi.

https://www.youtube.com/watch?v=zLHTpWsPc8U

Di sebalik kisah kejernihan air Sungai Kesang, isu air Melaka masih perlu diselesaikan

Meskipun Melaka ni negeri yang mempunyai pelbagai tarikan bersejarah, makanan dan keadaan airnya yang jernih lepas PKP, tak ramai sebenarnya yang sedar mengenai peranan Sungai Kesang sebagai bekalan sumber air yang diperlukan oleh Melaka.

Pada awal tahun ni, Melaka sekali lagi mengalami krisis air hingga catuan air terpaksa dikenakan ke atas para penduduk di sana dari lewat Januari hinggalah awal April. Sebenarnya kerajaan negeri sudahpun maklum mengenai amaran kadar bekalan air sejak 2006.

Krisis Air Melaka
Penduduk terpaksa simpan air untuk kegunaan rumah.. Via Berita Harian

Menurut ahli parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong; Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan kerajaan negeri dah maklumkan Putrajaya awal dulu, ia membawa kepada pembinaan Empangan Jernih pada 2012. Pada 2016, mantan Ketua Menteri Melaka, Idris Haron menegaskan pembinaan empangan tu perlu siap dalam masa 2 tahun lagi. Maksudnya, empangan tu kena siap sekurang-kurangnya pada 2018.

Hal ni diburukkan lagi dengan musim kemarau, masalah pencerobohan tanah rizab, kerja pengambilan air oleh syarikat berkaitan seperti Syarikat Air Johor (SAJ) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) masih diteruskan ketika kuantiti air tawar berkurangan serta kes curi air oleh pihak tertentu bagi pelbagai tujuan, termasuk industri dan pertanian khususnya dari Sungai Muar.

Untuk Bh Plus / Isu Ceroboh Tanah
Sungai Muar pada 2015 yang kelihatan cetek dan berlumpur, jadi sumber bekalan air untuk Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.  Via Berita Harian

Tetapi Khoo pelik lah sebab pada 2017, empangan tu dihentikan pembinaannya. Hanya pada 2018, pembinaan empangan tersebut disambung semula dan dijangka siap pada 2023. Musim kemarau pada 2018 dan 2019 di Melaka dikatakan telah berjaya diatasi dengan pelbagai inisiatif seperti pembelian air dari Johor, ambil air dari tasik dan pembenihan awan.

Kiriman Khoo yang disiarkan Malaysiakini tadi sebenarnya adalah balasan kepada hantaran Najib Razak pasal krisis dan catuan air di Melaka awal tahun ni. Korang boleh tengok sendiri hantaran Najib yang siap disertakan lagi dengan pautan berita, sebagai bukti krisis air ni pulak berpunca dari kerajaan PH.

‘Adegan’ tunding-menunding ni berpanjangan dengan kehadiran suara ketiga lagi. Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek kata kerajaan dulu gagal lantik kekosongan jawatan sehingga menganggu operasi SAMB.

“Pengurusan SAMB perlu dipastikan mantap untuk menjaga kebajikan pengguna-pengguna air di Melaka. Bagi menangani isu ini, pegawai yang berpengalaman diperlukan segera untuk mengatasi masalah bekalan air yang kritikal pada masa ini,”- Seperti yang dilaporkan Berita Harian pada 8 Mac 2020

.
Catuan air tahun 2019 di Melaka.. Via Harian Metro

Ditambah lagi, cadangan kenaikan tarif air turut menggusarkan penduduk Melaka. Kenaikan tu dikatakan untuk biayai kos pengurusan air Melaka demi elakkan krisis air di negeri tersebut. Namun dengan pertukaran kerajaan, tak tau dah perkembangan tarif air tu. Ni menambah kebingungan buat penduduk, lagi-lagi Sungai Kesang yang jernih tu pun pernah didapati mempunyai kandungan asid yang tinggi akibat kemarau pada 2014 hingga 2016.

Empangan nampaknya terus dijalankan demi elak krisis air Melaka berulang lagi

Pada Mac lalu, Empangan Jernih disahkan akan dibina di Alor Gajah dengan peruntukkan kira-kira RM200 juta. Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali kata Bahagian Bekalan Air di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan buat tawaran tender yang dijangka mengambil masa 30 bulan tu selewat-lewatnya April dan ia akan dimulakan setelah proses tender selesai.

“Jumlah yang diluluskan itu meliputi skop projek pembinaan struktur empangan, menara kawalan, alur limpah dan stesen Tenaga Nasional Berhad, kolam tadahan air dan jalan masuk ke empangan baharu itu.

“Kami harap dengan adanya pembinaan empangan berkapasiti takungan 13,000 juta liter sehari sumber air mentah ini dapat menyokong keperluan penambahan penduduk sehingga 2030 kelak,”- Seperti yang dilaporkan Astro Awani pada 12 Mac 2020

Kami harap proses pembinaan tu dah berjalan sekarang, terutamanya bila peruntukkan berjuta-juta dah lulus dan disalurkan untuk membina empangan tersebut demi kesejahteraan penduduk Melaka. Krisis air bagi kami tak hanya tentang empangan je; keadaan alam sekitar jugak perlu diambil kira.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *