Kita dah dengar macam-macam kes orang ditipu melalui panggilan, mesej atau email yang mintak korang pindahkan duit, tak pun scammer tu kata korang ada kes Mahkamah. Bagi mereka yang tak bernasib baik; duit yang disimpan bertahun-tahun boleh lenyap macam tu je. Sebab tu kami sentiasa ingatkan korang – supaya jangan mudah terpedaya apa-apa panggilan berkaitan bank.
Sebabnya, scammer sekarang tak pilih mangsa, baru-baru ni…
Diorang cuba nak tipu Ketua Polis Daerah Ipoh, bukan main berani lagi yeee…
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, dedahkan dirinya cuba ditipu oleh scammer melalui panggilan telefon yang mengatakan dia ada saman. Menurutnya, seorang wanita hubunginya dan memperkenalkan diri sebagai Pegawai Tadbir Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Bahagian Semakan Saman dan mintanya berikan nombor kad pengenalan untuk semakan saman.
“Saya memang menyedari ia adalah cubaan menipu dan bertindak merakamkan perbualan itu untuk tujuan tindakan lanjut. Saya berkongsi kes ini untuk memberi peringatan kepada orang ramai bahawa sindiket penipuan ini tidak mengira mangsa dan akan cuba memperdaya dengan pelbagai helah,” – A Asmadi Abdul Aziz, seperti yang dilaporkan Harian Metro
A Asmadi kata, wanita tu cuba mendesaknya untuk berikan nombor kad pengenalan dan akhirnya dia mendedahkan bahawa dia adalah Ketua Polis Daerah dan buatkan wanita tu terkejut sebelum memutuskan panggilan.
Menurutnya, semakan berdasarkan nombor telefon digunakan wanita terbabit pihaknya dapati panggilan tu dibuat dari Kunak, Sabah dan pihaknya sedang jalankan siasatan lanjut berhubung sindiket penipuan tu.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada, begitu juga golongan profesional supaya tidak menjadi mangsa penipuan dan untuk makluman pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon, terutama membabitkan pendedahan sebarang data peribadi seseorang,” – A Asmadi Abdul Aziz, seperti yang dilaporkan Harian Metro
680 warga China ditahan kat Cyberjaya, diorang sewa bangunan RM380,000 sebulan…
Jabatan Imigresen tumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar babitkan warga China selepas menahan 680 warganegara tu dalam serbuan di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya.
Suspek yang berusia 19 hingga 35 tahun dipercayai jalankan aktiviti penipuan secara dalam talian berpusat di China. Diorang disyaki dah beroperasi sejak enam bulan lalu. Hasil serbuan pada jam 11 pagi ke atas premis yang disewa dengan harga RM360,000 sebulan, sebanyak 8,230 unit telefon bimbit, 174 unit komputer riba dan 787 unit komputer peribadi dirampas.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud kata modus operandi sindiket itu adalah menyasarkan mangsa di China dengan tawarkan keuntungan yang tinggi dan pantas. Seramai 150 pegawai dan anggota Imigresen serbu premis tu yang dipercayai berfungsi sebagai pusat panggilan, susulan risikan sejak sebulan lalu hasil aduan awam.
Kawasan premis tu ada pengawal keselamatan dan di setiap tingkat dilengkapi ciri-ciri keselamatan ketat dengan hanya mereka yang ada kad akses boleh memasukinya, selain ada kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau pergerakan keluar masuk.
“Sindiket ini membuat penipuan pada semua pelaburan tidak sah termasuk Forex dan semua operator (yang berpangkalan di Cyberjaya) akan menghantarkan satu kod kepada pelanggan dari laman web tertentu menggunakan bahasa China dalam aplikasinya. Semua urus niaga dan pembayaran dilakukan melalui Wechat Pay atau bank di China,” – Datuk Khairul Dzaimee Daud, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Khairul Dzaimee kata; kira-kira 100 orang sempat larikan diri dengan merempuh kepungan pegawai Imigresen, selain ada yang tercedera dalam usaha melarikan diri.
Pihak Kedutaan China di Malaysia dah dimaklumkan berhubung perkara ini, manakala tindakan penyitaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) terhadap barang rampasan akan dijalankan bagi tujuan siasatan.
“Kita akan mengesan individu di belakang syarikat terbabit dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada Bank Negara Malaysia (BNM), polis, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi berkaitan,” – Datuk Khairul Dzaimee Daud, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Semua 680 warga China tu kini direman selama 14 hari bermula semalam dan Imigresen akan terus kesan saki baki sindiket.
Kita semua tak terkecuali daripada jadi sasaran scammer, kena selalu berhati-hati…
Sebagai pengguna internet atau perbankan, korang memang tak akan terlepas dari telemarketer yang cuba jual insurans atau apa-apa produk dari bank. Kalau orang bank yang telefon takpe, sebab diorang memang nak jual produk je. Masalah besar kalau yang call korang tu, geng-geng scammer ni. Tak kisahlah sesiapa yang