Kes anggota TUDM serang rakan sehingga maut, ini perkembangan terkini

f1

Sepanjang sejarah ketenteraan kita, banyak perkara yang kita boleh banggakan terhadap pasukan pertahanan kita. Negara kita tetap terjaga sempadannya hasil kerja keras pasukan kita, malah kualiti pasukan kita turut diakui banyak negara. Kita jugak pernah hantar tentera kita sebagai sebahagian daripada pasukan tentera pengaman ke beberapa negara bergolak dahulu. Ada jugak beberapa kalinya, kita jugak dipanggil untuk menyertai operasi ketenteraan untuk bantu negara lain selesaikan isu antarabangsa.

728 X 90

Namun di sebalik kejayaan ni, tentulah kejadian baru-baru ni sangat mengejutkan negara. Ia suatu perkara yang amat jarang berlaku dalam sejarah ketenteraan kita. Malah, ia suatu hal yang membimbangkan jugak, terutamanya apabila dah ramai orang membuat spekulasi terhadap khabar ni. Kita pun tak tahu apa sebenarnya yang bermain di fikiran diorang pada ketika tu, tapi kami pasti ia bukan suatu yang mudah untuk dihadapi.

mangsa mayat tudm ditembak
Mayat salah seorang anggota TUDM yang maut dalam kejadian kes tembakan di Pangkalan TUDM.. -Via Berita Harian

Penyerang dilaporkan rampas senjata di balai pengawal, tembak rakan sebelum tembak dirinya sendiri

Pada 13 Ogos lalu, pihak Tentera Udara Diraja Malaysia mengesahkan laporan bahawa terdapatnya satu kes serangan melibatkan anggota TUDM di Kota Samarahan, Sarawak. Berbeza dengan bayangan kita, serangan tu tak berlaku dari tangan anasir luar. Ia berlaku daripada tangan anggota TUDM jugak. Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Mancha Ata, siasatan mendapati kejadian tu berlaku dengan pantas pada jam 7.15 pagi.

Sorang anggota berpangkat koperal dikatakan berkelakuan pelik pada pagi tu menyebabkan beberapa rakan setugasnya cuba tenangkan anggota tersebut. Walau bagaimanapun, suspek tersebut bertindak agresif dan terus lepaskan tembakan menggunakan senjata Colt M4 Carbine ke arah perut mangsa. Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail kata kejadian tu berlaku ketika masa serah tugas.

“Selepas menembak mangsa pertama, suspek kemudian pergi ke bilik rehat di balai pengawal itu dan melepaskan tembakan ke bahagian sisi dada sebelah kanan seorang lagi anggota. Dia kemudiannya menembak bahagian belakang seorang lagi anggota, sebelum dia membunuh diri,”- Mancha Ata, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, seperti yang dilaporkan Berita Harian.

tudm kota samarahan maut ditembak rakan
Via Berita Harian

Tiga anggota termasuk suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Salah sorang mangsa yang cedera parah di bahagian perut sempat memandu kenderaan sendiri untuk dapatkan rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan. Namun begitu, mangsa tersebut meninggal dunia lepas dikejarkan ke Pusat Jantung Kota Samarahan ketika menerima rawatan pada 9.20 pagi.

Sumber yang dipetik oleh Berita Harian melaporkan, pada pagi hari kejadian… suspek tersebut datang macam biasa je ke balai pengawal kem berkenaan dengan menaiki motosikal. Ketika tu, lima anggota iaitu tiga berpangkat Koperal dan dua Laskar Udara turut berada di balai pengawal berkenaan. Suspek tu kemudiannya meluru ke dalam balai pengawal dan terus capai senjata lalu mencekahnya. Salah sorang anggota sempat tegur suspek,  tetapi kata-kata akhir suspek adalah, “Nak hidup atau mati!”

pangkalan tudm ketat
Anggota TUDM mengawal ketat pintu masuk Pangkalan TUDM Kota Samarahan, susulan kejadian tembakan.. -Via Berita Harian

Tindakan ni mengejutkan anggota lain, dan cuba tenangkannya tetapi suspek terus lepaskan tembakan ke arah perut mangsa. Anggota lain yang saksikan kejadian tu cuba selamatkan diri, namun suspek terus lepaskan tembakan yang terkena dua lagi mangsa. Dua mangsa masing-masing cedera di bahagian belakang dan dada lalu meninggal dunia di tempat kejadian. Lepas tu, dia tembak diri sendiri dengan menembak bahagian bawah dagu menembusi otak dan turut mati di tempat kejadian.

Suspek tu sebelum ni pernah bertugas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Walaupun begitu, dia dikatakan tak hadapi masalah pergaulan dengan rakan setugas. Dia jugak dikenalpasti berasal dari Lundu jugak sedang menjalani kuarantin Covid-19. Keempat-empat mayat anggota telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS). Menurut Harian Metro, ujian PCR salah sorang mangsa negatif Covid-19 dan jika kita lihat, keempat-empat mangsa dikebumikan mengikut tradisi gugurnya perajurit. Jadi kita boleh faham bahawa kesemuanya negatif Covid-19.

Motif masih disiasat oleh Lembaga Penyiasatan khas, identiti anggota yang maut dah dikenalpasti

Kejadian mengejutkan ni mendapat perhatian penuh oleh pihak TUDM, dan Lembaga Penyiasatan dah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian tembakan tu dengan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Untuk pengetahuan korang, kes ni disiasat selanjutnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk kenal pasti punca suspek mengamuk. Setakat ni, Deputi Komisioner Mancha Ata kata polis dah teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian. Saksi kejadian akan dipanggil untuk bantu siasatan.

“Pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Forensik Hospital Umum Sarawak telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kes ini. Setakat ini siasatan meliputi pengambilan sampel DNA, senjata, kesan tembakan dan kelongsong senjata akan dihantar ke forensik dan Jabatan Kimia untuk siasatan selanjutnya,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

Orang awam dinasihatkan supaya tak buat sebarang spekulasi tentang kejadian ni, khususnya sepanjang siasatan penuh dijalankan oleh PDRM. Bagaimanapun, pihak TUDM jugak dedahkan identiti mangsa yang terkorban dalam kejadian amuk ni. Dilaporkan, semuanya dah berkahwin. Waris mangsa dah dimaklumkan melalui pihak pengurusan TUDM di Pangkalan Udara Kuching.

Anggota terbabit adalah Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat berasal dari Asajaya Laut, Samarahan; Laskar Udara Kanan Nesly Nabau berasal dari Sibu dan Koperal Udara Ho Swee Boon berasal dari Lundu, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

mayat tudm tembak maut
Via Harian Metro

Seorang lagi anggota, Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, yang berasal dari Siniawan, Bau, meninggal dunia di Hospital Jantung Kota Samarahan, ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di perut.

“Jangan lupa sembahyang, ingat Allah setiap masa kerana kita tidak tahu bila masa akan pergi.”

Itulah pesanan terakhir arwah mangsa Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 29 kepada ahli keluarganya. Adiknya, Sharif Mohd Saddam Al-Attas Wan Sabli, 27, sempat menceritakan keterujaan abangnya nak turun memancing lepas beli joran pancing baharu. Menurut adiknya lagi, diorang sekeluarga tak sangka abang pergi sekelip mata.

Difahamkan, arwah dah berkhidmat bersama TUDM kira-kira 12 tahun dan sebelum ini bertugas di TUDM Kepala Batas, Kedah sebelum berpindah tugas lebih dua tahun di TUDM Kota Samarahan. Sahabat karib mangsa, Mohd Nadzmir Mohideen, 28, jugak menyifatkan rakannya tu mempunyai nilai persahabatan yang cukup tinggi, peramah dan mudah bantu rakan lain.

“Isterinya baru habis berpantang, anak lelaki berusia dua bulan. Arwah anak kedua daripada tujuh adik-beradik meninggalkan seorang isteri dan tiga anak,” – Sharif Mohd Saddam Al-Attas Wan Sabli, adik mangsa, seperti yang dilaporkan Berita Harian

mayat tudm sarikei sarawak
Via Suara Sarawak

Kakak kepada Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat, 26, pulak mengenang sifat penyayang terhadap keluarga dan meninggalkan sorang balu, Nur Atiqah Nurul Supyie, 29, yang sedang mengandung empat bulan anak pertama lepas mendirikan rumah tangga pada November lalu. Mendiang Laskar Udara Kanan Nesly Nabau pulak adalah anak bongsu daripada empat beradik, yang setiap hari diceritakan hampir setiap hari akan hubungi ibunya yang berada di Sibu.

“Tiap-tiap hari dia call (menghubungi) emak saya dan memberitahu rasa rindu mahu balik berjumpa dengan emak. Tetapi apakan daya disebabkan kepentingan tugas hasrat tersebut ditangguhkan. Sampai ada suatu hari dia menangis dan suruh emak saya pergi ke Kuching… Apabila mendengar insiden itu turut melibatkan mendiang, ibu saya terus menangis. Hancur luluh hati saya tengok keadaan dia (ibu),”- Kakak sulung mangsa, Qalesyha Abdullah@Zuliza Nabau, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

mayat tudm ditembak
Mayat pertama yang tiba di rumah mayat HUS.. -Via Sinar Harian

Kami tumpang bersimpati atas kehilangan perajurit kita, dan mengambil kesempatan ni untuk ucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan rakan-rakan mangsa yang terkesan dengan kejadian mengejutkan ni. Macam kami katakan awal tadi, kita tak tau apa sebenarnya yang bermain di fikiran suspek lagi-lagi apabila ia dilakukan oleh sorang anggota tentera yang berdisiplin tinggi. Sebarang spekulasi hanya akan melukakan ahli keluarga, dan mungkin menyukarkan siasatan dijalankan bagi mencari punca kejadian ni berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *