Baru-baru ni kita dikejutkan dengan kes seorang pekerja yang menetak rakan sekerjanya sehingga maut. Walaupun kes macam ni dah kerap kali berlaku, tapi selalunya apabila penjenayah tu dah lakukan pembunuhan, dia akan bunuh diri atau serahkan diri kepada PDRM. Yalah, kadang-kadang benda ni terjadi sebab diorang marahkan, masa marah buat apa pun macam dalam keadaan separuh sedar.
Kes kali ni jadi unik apabila penjenayah tu pergi serang polis masa dia nak kena tangkap…
Oleh sebab tu, pihak polis terpaksa lepaskan tembakan untuk lindungi diri diorang…
Polis menembak mati seorang lelaki yang cuba menyerang polis menggunakan dua bilah parang dan sebilah pisau dalam kejadian amuk di sebuah kilang di Bayan Lepas, Isnin lepas. Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang tu, suspek yang berusia 25 tahun sebelum tu mengamuk kat dalam kilang terbabit dan menetak mati seorang penyelia wanita berusia 47 tahun serta mencederakan pengarah bahagian keselamatan kilang berusia 53 tahun.
https://www.youtube.com/watch?v=D0xPi6ggG9E
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan A. Anbalagan maklumkan anggota polis yang terima maklumat mengenai kejadian tersebut, bergegas ke lokasi dan arahkan suspek meletakkan senjata serta menyerah diri.
Bagaimanapun suspek yang ketika itu memegang dua bilah parang enggan menyerah diri dan bertindak cuba menyerang anggota polis berkenaan menyebabkan anggota polis itu terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.
“Sebelum kejadian itu, suspek telah menetak seorang pekerja perempuan dan seorang pekerja lelaki. Setelah kejadian itu, pihak keselamatan kilang tu telah hubungi polis. Sehigga kini seorang lelaki (suspek) telah meninggal dunia dan seorang perempuan juga telah meninggal dunia di hospital, dan seorang lagi lelaki sedang menerima rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” – Supritendan A. Anbalagan, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Kalau ikut cerita Anbalagan, siasatan awal pihaknya dapati lelaki yang bekerja sebagai pembantu kualiti sejak dua tahun lalu itu berada dalam kemurungan sejak beberapa bulan lepas dan dah seminggu tak hadir kerja.
Pada hari kejadian tu suspek hadir ke kilang dan hantar surat peletakan jawatan sebelum secara tiba-tiba mengamuk dan menetak kedua-dua mangsa. Tambah Anbalagan, pihak polis masih siasat punca kejadian dan bagaimana suspek tu boleh bawa masuk dua bilah parang dan sebilah pisau ke dalam kilang tersebut.
Penyelia wanita itu dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala seorang lagi mangsa dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital.
Ada dakwaan palsu yang kata mangsa yang meninggal dunia hina agama Islam…
Dalam orang tengah dok serabut fikir kes ni, ada jugak orang yang cuba bangkitkan sentimen perkauman dan keagamaan. Paling menakutkan kami; ada orang yang siap gelar penjenayah yang dah tetak orang tu sebagai pejuang agama. Benda macam ni memang menakutkan; agama tak ajarkan kita untuk suka-suka hati je nak bunuh orang.
Polis memandang serius dakwaan dibuat beberapa individu di media sosial berhubung kejadian ni. Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, berkata pihak yang memuat naik kenyataan tak benar berhubung kejadian itu mempunyai niat “amat buruk”.
“Ada pihak-pihak memuat naik artikel tidak tepat dan tidak betul (di media sosial berhubung kejadian itu) dengan niat untuk sakitkan hati pembaca… amat buruk niatnya,” – Abdul Hamid semasa menghadiri sidang media di Bukit Aman, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini
Bagaimanapun dia kata jabatan siasatan jenayah sudah mengenal pasti individu terbabit dan pihak yang terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan tak lama lagi. Kalau ikutkan Abdul Hamid; kes yang berlaku di Pulau Pinang itu adalah terpencil dan penyerang terpengaruh dengan banyak video ganas dari Timur Tengah.
Katanya, suspek banyak menonton video yang didakwa membabitkan kekejaman terhadap orang Islam di rantau tersebut. Video-video ni kalau tak difahami, boleh cetuskan kemarahan. Abdul Hamid juga nasihatkan orang ramai agar tak buat tanggapan sendiri kononnya ada mana-mana segmen masyarakat sedang dianiaya oleh pihak tertentu sehingga ia boleh jadi pertelagahan antara agama.
Dia kata macam masa mengulas tindakan pengguna media sosial menyebarkan kandungan tulisan dakwa seorang lelaki berparang – yang ditembak mati oleh polis selepas mengamuk dan membunuh penyelianya – adalah syahid. Hantaran tu mendakwa lelaki yang menyerang itu bertindak sedemikian selepas lelaki yang ditetak itu menghina Nabi Muhammad SAW.
Bukan semua benda perlu diulas dari sudut agama dan bangsa…
Kalau kita perasan, sejak akhir-akhir ni – hampir semua benda nak dikaitkan dengan hal keagamaan dan bangsa. Benda ni tak patut berlaku weh. Ada benda yang kita kena tengok secara objektif; contohnya apabila seorang muslim bunuh non-muslim yang tak menyerang atau beri ancaman nyawa kepadanya. Apasal kita nak sibuk bela orang yang dah bersalah dan cuba cari cara nak salahkan mangsa.
Cara berfikir macam ni memang bahaya dan tak patut wujud kat Malaysia ni…