Ke mana hilang budi bahasa masyarakat Malaysia ketika lepak di media sosial?

Budi Bahasa

Masyarakat Malaysia amat terkenal dengan budi bahasa yang tinggi. Kalau korang tak percaya, lihat sahajalah bagaimana masyarakat Melayu berinteraksi sesama mereka, penuh dengan kesopanan dan kelembutan. Kalau korang masih tak percaya, cuba lihat bagaimana sikap masyarakat kita melayani tetamu yang datang kat rumah diorang – mereka akan dilayan dengan penuh sopan dan seperti ‘raja’.

Ini belum cerita lagi tentang sastera masyarakat Malaysia yang kaya dengan mesej berhikmah dan teguran-teguran pedas. Memang itulah identiti masyarakat kita, kalau ‘menegur’ pun, akan berlapik dan diulam dengan bahasa yang indah. Takdelah orang ditegur tu akan naik angin…

Malangnya, banyak aduan tentang orang-orang yang tak berbudi bahasa, khususnya pekerja kerajaan…

Melihat kepada keadaan yang berlaku pada hari ni, kita kembali semula kepada persoalan, adakah budi bahasa bukan lagi budaya kita? Objektif utama budi bahasa budaya kita adalah untuk lahirkan warganegara yang bersopan santun dan mempunyai ramah mesra dalam kalangan masyarakat. Bermula daripada barisan hadapan kerajaan hinggalah kepada segenap lapisan masyarakat.

Via SlideShare

Bila cakap tentang pekerja-pekerja yang ada kat sektor kerajaan, ramai gak yang kata diorang ada masalah budi bahasa. Layanan yang diberikan oleh pegawai-pegawai kerajaan terutamanya mereka yang berada dalam sektor perkhidmatan, merupakan cerminan utama – seserius mana kerajaan nak perkasakan budi bahasa ni.

Barisan hadapan kerajaan  merupakan mereka yang paling selalu dikritik kerana kurangnya santun dalam berbicara dan takde senyuman mesra dari bibir mereka. Walaupun bukan semua, tapi segelintir yang buat angkara ni telah rosakkan imej kerajaan yang sememangnya mengamalkan dasar mesra pelanggan.

https://www.youtube.com/watch?v=_YMr8dr2wGc

Aduan dan teguran yang diterima oleh diorang yang datang untuk dapatkan perkhidmatan kena diambil serius bagi memastikan nama baik perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan masih lagi menjadi pilihan utama. Tapi benda ni bukan semualah pekerja kerajaan tak berbudi bahasa, kami selalu je berurusan dan bertuah kerana dilayan dengan penuh senyuman dan keceriaan.

Dengan kepesatan teknologi, bahasa pulak semakin terhakis

Budi bahasa juga dilihat semakin tak jadi budaya dalam masyarakat khususnya dalam media sosial. Pada hari ni, tohmahan, fitnah, kata-kata kesat diguna secara meluas. Kepesatan perkembangan teknologi telah jadikan kita hilang budi bahasa yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Kat media sosial, setiap orang langsung tak hiraukan pendapat dan perasaan orang lain apabila hendak mengatakan sesuatu perkara.

Via KOSMO

Gelaran-gelaran yang diberikan terhadap orang lain agak memalukan. Di media sosial juga, fitnah dan tuduhan disebarkan secara meluas tanpa usul periksa. Banyak lagi yang rata-rata masyarakat Malaysia tahu kesan penyalahgunaan media sosial ini yang telah menghakis nilai murni dalam kalangan kita. Benda ni memang aneh, masyarakat dalam bab-bab lain memang terkenal dengan kesopanan diorang, tapi bila masuk bab-bab berbeza pandangan (lebih-lebih lagi bab politik), diorang terus hilang akal.

Keadaan ni boleh disebutkan – bahasa bangsa yang sudah tidak berjiwa. Persoalan Melayu adalah hal yang tidak boleh disentuh kerana boleh menyebabkan keris berterbangan ke arah kita, tapi apa guna keris tajam kalau bahasa sendiri diludah? Mencarut, pandir, pantang dicabar tapi kosong.

Via LLS

Jika inilah bahasa bangsa yang bangga dengan keagungan sejarahnya, ke mana ‘jiwa’ bangsaku telah hilang? Siapa yang mencurinya? Barangkali pemikiran orang-orang istimewa ni telah dimampatkan dengan perihal politik sentimen dan kebencian melampau terhadap sesuatu kumpulan, sehingga jarinya bebas menari untuk memaki sesiapa sahaja yang difikirnya tidak sealiran.

Kombinasi kebencian fanatik dan malas membaca adalah formula untuk melahirkan individu yang ekstrem, dan ia berbahaya.

Bahasa harus dikembalikan ke tempat asalnya, iaitu di jiwa setiap rakyat Malaysia

Dengan perbahasan bahasa dan tulisan yang kian rancak, setiap rakyat Malaysia harus mengembalikan bahasa yang ada bukan sahaja pada mulut dan bibir, tapi hati. Jika budaya berbudi bahasa dan santun dikekalkan, keharmonian akan terus terjaga. Marilah kita kembali menjadi bangsa yang berbudi bahasa bukannya seperti orang gila yang kehabiskan dadah ketika berbeza pandangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *