Menurut UNESCO, silat milik Malaysia, tapi pencak silat milik Indonesia?!

F1

Memang terasa bangga apabila UNESCO dah iktiraf bermacam-macam benda yang kita miliki kat Malaysia bumi bertuah ni. Baru-baru ni pun, salah satu budaya tak tampak (intangible) yang turut menerima pengiktirafan UNESCO adalah silat. Masa tu, ramai tepuk tangan sebab ingatkan kita menang ke atas Indonesia dalam usaha nak claim silat ni siapa punya.

Sebenarnya, banyak lagi budaya Asia Tenggara yang dah tersenarai dalam Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity UNESCO pada tahun 2019. Antaranya…

1. Nuad Thai, seni urut tradisional dari Thailand, benda ni dikatakan dari India

Kalau korang selalu ke spa, mungkin korang akan jumpa jenis urutan ni kat beberapa tempat je. Nuad Thai ni dikatakan datangnya dari India namun banyak digunakan dalam masyarakat tradisional Thailand. Selain tu, ia merupakan sejenis urutan tradisional yang melancarkan pengaliran darah dan menumpukannya ke kawasan yang korang rasa sakit kat badan.

Ia turut dikatakan boleh legakan sakit badan. Tak macam urutan biasa, teknik urutannya lebih guna tapak tangan, siku, lutut dan kaki. Selain tu, mereka jugak tak pakai minyak ye… Mula-mula ia diamalkan dalam kalangan masyarakat tani Thailand, tapi lama-kelamaan pada 1960-an, ia dah jadi satu bentuk mata pencarian bila dah ramai orang minat seni urutan tu. Kalau korang tengok kat video Youtube tu… tak hairanlah lepas ni memang badan terasa ringan je.

Menurut rekod UNESCO pula, seni urutan ni menggabungkan seni, sains dan elemen budaya kesihatan tradisional Thailand. Teknik mereka turut gunakan pelbagai jenis posisi, ia bertujuan nak lancarkan aliran tenaga serta nak ‘betulkan’ tenaga tersebut ikut elemen semulajadi iaitu tanah, air, angin dan api.

Nuad Thai Yoga
Via Chernati Yoga Massage

Lepas tahun 1985, Thailand nak jaga seni ni daripada hilang, jadi mereka kategorikan Nuad Thai ni kepada dua: satu sebagai terapi, dan satu lagi sebagai amalan penjagaan kesihatan – macam yoga lah.

2. Upacara ‘Then’, panggil ‘tentera semangat’ di Vietnam

Di Vietnam, ada 54 kumpulan etnik, populasi majoriti etnik mereka adalah Kinh iaitu sebanyak 85.6%. Tay pula dianggap sebagai kaum minoriti yang ramai, iaitu sebanyak 1,626,392 kalau ikut data yang diberi pada 2009 oleh David Holm. Secara linguistiknya, kata David Holm (2019); Tay dan Nung ni hampir sama je walaupun budaya mereka memang ada beza sikit.

Nampaknya, perkongsian budaya upacara Then pun salah satu persamaan mereka.

Then Practice Mankind Vietnam
Via Vietnam Plus

Upacara ‘Then’ ni disifatkan sebagai salah satu bentuk upacara spiritual yang memperlihat hubungan antara manusia, alam semulajadi dan alam semesta. Ketua kepada upacara tu dipanggil ‘Then’, seorang ‘Then’ akan menyanyikan beberapa lagu yang mengisahkan perjalanan ‘tentera semangat’ yang berkembara dari dunia bumi menuju ke dunia syurga sambil meniup sejenis seruling ‘tinh’.

Ia turut disertakan dengan doa-doa lain, ikut keperluan upacara tu dilangsungkan kerana dalam tempoh tu, ‘Then’ akan berdoa dengan beberapa dewa yang lain. Malah, lagu-lagu dan doa yang dibaca olehnya pun tak wujud dalam bentuk buku dan sebaliknya lebih banyak diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Hampir 200 upacara dah dilangsungkan setiap tahun, jadi ia sememangnya suatu budaya yang agak penting bagi kaum etnik Tay dan Nung di Vietnam.

3. Silat kita pun termasuk dalam senarai UNESCO! Bangga weh…

Benda ni kami kena ‘clear’kan dulu ye.. sebenarnya silat kita dengan silat Indonesia ni tak sama. Jadi bila mereka nak hantar delegasi untuk mohon status ‘budaya tak tampak’ UNESCO, boleh pulak ada kata kita berebutkan budaya silat dengan Indonesia. Sejarah silat ni dah lama dan dikatakan boleh dijejaki dahpun menjadi suatu budaya popular sejak dari zaman Kerajaan Langkasuka.

Silat Melayu 1
Via Medium

Kalau nak tengok sejarah pun, Kerajaan Langkasuka adalah sebahagian dari sejarah tamadun Melayu di Malaysia jugak. Nak dikatakan berebutkan silat dengan Selatan Thailand tu logiklah… ni Indonesia kata kita nak rebutkan pulak pencak silat. Mengikut rekod UNESCO, budaya silat kita dah cecah 150 jenis; kebanyakannya dinamakan sempena nama haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Dulu-dulu ia banyak diamalkan oleh pahlawan Melayu, namun kini dah diajarkan secara meluas.

Secara sejarahnya, silat ni dilihat sebagai suatu institusi tak formal untuk mendidik masyarakat dahulu sebelum wujudnya sekolah kerajaan di Tanah Melayu. Mereka diajarkan disiplin diri dan ilmu perang, ilmu bela diri serta dijadikan sebagai ruang belajar yang terpisah dari masyarakat. Jabatan Warisan Negara kata prinsip Rukun Negara Malaysia kini pun diambil dari falsafah yang ada dalam pembelajaran Silat. Menarik kan?

4. Pencak Silat milik Indonesia, kita selalu bahan diorang #doneclaim

Lepas bertarung dengan Malaysia di gelanggang sukan, ramai pulak salah faham yang kita pun nak jugak ‘bertarung’ dengan mereka kat pentas UNESCO. Menurut rekod UNESCO sendiri, istilah ‘Pencak’ dan ‘Silat’ ni digunakan ikut konteks setempat jugak. Misalnya, istilah ‘pencak’ lebih terkenal di Jawa, manakala ‘Silat’ lebih dikenali di Sumatera Barat. Namun istilah pencak silat tu secara menyeluruh terpakai lepas 1950-an.

Pencak Silat Indonesia Senjata
Via Olahraga Sehat

Setiap kawasan mempunyai gaya tersendiri dalam budaya pencak silat ni, sampaikan ada alatan muzik yang mengiringi mereka ketika sedang berlatih. Namun begitu, ada beberapa gaya utama dalam Pencak Silat seperti gaya Cimande di Jawa Barat. Ia dikatakan datang dari seorang wanita yang meniru gerakan seekor harimau yang berlawan dengan seekor monyet. Manakala di Sumatera Barat, gaya pencak silat Minangkabau lebih popular.

Kita kena sebut jugaklah, populariti Pencak Silat ni turut dibawa oleh beberapa artis seni bela diri kat dunia Hollywood, macam “Kang” Cecep Arif Rahman yang pernah membintangi beberapa filem antarabangsa seperti The Raid 2, Star Wars: Force Awakens dan baru-baru ni, John Wick 3. Senjata Melayu seperti kerambit turut dipaparkan dalam sedutan aksi bertempur dengan John Wick.

5. Buklog, ritual kesyukuran keluarga di Filipina

Walaupun ia tak termasuk dalam senarai pengiktirafan budaya UNESCO macam empat budaya di atas, kami nak tambah jugak supaya kita pun boleh belajar budaya baharu dari negara jiran. Amalan ‘buklog’ ni termasuk dalam senarai Intangible Cultural Heritage in Need of Urgent Safeguarding, ia adalah budaya tak tampak yang perlu diletakkan di bawah pemerhatian dan pemeliharaan sebelum ia hilang.

Buklog Philipines
Via UNESCO

Amalan ni biasanya dilangsungkan oleh etnik kaum Subanen di Zamboanga dan Pulau Mindanao di Selatan Filipina. Menurut kajian dari International Research Centre for Intangible Cultural Heritage (2019), kaum Subanen ni biasanya tinggal di tepi sungai dan amalan Buklog ni dianggap sebagai suatu amalan penting bagi mereka. Bayangkan, Buklog ni boleh berlangsung berhari-hari, berminggu dan mungkin berbulan lamanya ikut apa yang mereka raikan.

Ketua ritual tu dipanggil sebagai Timuay, dan biasanya dijalankan oleh ketua masyarakat setempat, untuk memuja semangat serta menyatakan kesyukuran terhadap kesihatan yang baik, tanaman yang subur dan ketika nak lantik ketua baharu. Amalan tu agak kompleks kerana perlu melalui beberapa peringkat nak puja semangat agar datang untuk meraikan berita baik dengan mereka.

Tapi menurut Timuay Boy Anoy, kerajaan Filipina tak peduli pun mengenai mereka, apatah lagi nak pelihara budaya tersebut dari terus pupus. Cara sesebuah kerajaan nak pelihara budaya ni amat penting, selain dari usaha aktivis dan ahli masyarakat tu sendiri yang minta budaya tersebut terus dikaji, ditulis dan disenaraikan sebagai salah satu budaya warisan negara tersebut. Sebab tu, UNESCO cuba mainkan peranan mereka nak angkat budaya tersebut di paras pemerhatian seluruh dunia.

Budaya warisan kena dijaga, takut pupus identiti

Apa yang terjadi kat kaum Subanen ni haruslah jadi satu pengajaran kepada kita bahawa budaya warisan ni memang penting untuk terus dipelihara dan didokumentasikan sebagai salah satu identiti negara tersebut. Korang bayangkanlah kalau silat Melayu tu hanya diamalkan tanpa ia disebut sebagai salah satu budaya penting kat Malaysia, nanti generasi muda pun dah mulai lupakan silat Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *