займ срочно

Kenali CIMON, robot yang gunakan Artificial Intelligence (AI) untuk temani angkasawan

Cimon Gerst
Kenali CIMON, robot yang gunakan Artificial Intelligence (AI) untuk temani angkasawan

Biasanya kat filem je kita boleh jumpa robot-robot pintar yang angkasawan boleh berbual sambil bertanya apa masalah kapal jika ada terlanggar apa-apa. Dalam filem jugaklah, kita dapat tengok macam mana robot-robot ni boleh bantu manusia sambil tegur manusia seperti seorang kawan. Tapi kat dunia nyata, robot secanggih tu belum ada lagi… sampailah sistem CIMON berjaya dicipta.

Cimon Before Launch
Sebelum diterbangkan ke ISS, kenalah selfie dulu! -Via Twitter

CIMON, robot pintar yang pandai merajuk. Peneman angkasawan…

Persis sebuah robot kepintaran buatan dalam filem, fungsi utama sistem CIMON ni adalah untuk bantu para angkasawan dan krew di International Space Station (ISS) dalam pelbagai hal seperti beri arahan bersuara ketika proses membaik pulih, merakam eksperimen dan boleh terhubung dengan bahan rujukan untuk angkasawan.

Merupakan sebuah projek bernilai $6 juta dollar yang dibentuk seperti sebuah bola keranjang, ia dibina pada 2016 dan siap pada 2018 dengan kerjasama syarikat Airbus dan IBM Watson. Crew Interactive Mobile Companion (CIMON) ni pun sebenarnya adalah prototaip pertama dalam projek tersebut, ia turut ditambah dengan kepintaran emosi yang membolehkannya faham ekspresi wajah manusia.

Cimon Face Wajah
Via ABC News

Dalam sebuah demonstrasi antara CIMON dan seorang krew ISS, Alexander Gerst arahkannya untuk mainkan lagu kegemaran Gerst. Sesudahnya dimainkan dan Gerst tengah ulas prestasi CIMON ketika tu, boleh pulak CIMON jawab “be nice, please” kat Gerst. Gerst memang terkejut punyalah sebab CIMON si robot terapung ni boleh kata dia tak baik dengan CIMON.

Ujian tu dilaksanakan selama 90 minit di ISS pada November 2018, dimana ia dibiayai oleh Kementerian Hal Ekonomi dan Tenaga Jerman untuk bangunkan prototaip kedua yang lebih baik iaitu CIMON-2. Menurut Pengurus Projek Till Eisenberg;

“Keseluruhannya, terdapat beberapa penambahbaikan seperti mikrofon yang lebih baik, komputer yang lebih baik, kawalan pergerakan dan keterapungan yang baik dan perisian baharu khas untuk sesi perbualan seperti pengenalan suara, rekod panggilan dan analisis kehendak” – Till Eisenberg, seperti yang dilaporkan oleh German Aerospace Center

Macam Siri, tapi lebih efisien untuk kegunaan angkasawan…

Masa Steve Jobs masih lagi hidup dulu, Siri pernah jadi idea gilaan ramai apabila ia membolehkan korang akses beberapa fungsi utama seperti memanggil individu kat senarai panggilan korang ataupun bacakan mesej teks dengan gunakan suara.

Lama-kelamaan, idea ni dah jadi satu ciri yang wajib ada untuk mana-mana telefon pintar yang dijual kat luar sana.

Idea Siri sebagai voice assistant ni pun turut wujud dalam idea pembinaan CIMON. Selain dari tujuan asasnya untuk membantu para angkasawan meneliti prosedur yang harus dilakukan menerusi arahan suara, CIMON pun lebih kurang macam telefon pintar jugaklah. Kalau korang tengok video demonstrasi kat atas tadi, korang boleh tengok Gerst mencuba beberapa ciri tersebut seperti mainkan lagu kegemarannya dan tangkap swafoto serta rakaman video wajah.

Cimon
Ni lah rupa CIMON… -Via Techcrunch

Setiap pertuturan yang diproses dalam CIMON tu akan diproses guna sistem dalam talian dari Bumi, dimana arahan suara angkasawan akan dinilai dengan natural-language-processing dari IBM yang dikenali sebagai Watson.

“Jika CIMON ditanyakan soalan atau disapa, kepintaran buatan Watson pertama sekali akan tukar audio menjadi teks, yang akan difahami atau ditafsir oleh kepintaran buatan tersebut… IBM Watson tak hanya mampu faham isi dalam konteks, malah ia turut mampu faham kehendak di sebalik sesuatu arahan itu.”- Matthias Biniok, Ketua Projek IBM, seperti yang dilaporkan oleh Space.com pada 29 November 2019

Testing Next Crew Assistant Cimon 2 Copyright Airbus Mathias Pikelj
Till Eisenberg tengah uji CIMON-2. -Via Airbus.com

Komputer yang proses sesuatu arahan tersebut akan hantar semula informasi yang sesuai dengan apa yang dinakkan oleh angkasawan, dan kemudiannya dipancarkan semula ke ISS melalui sambungan satelit khas antara ISS dengan Bumi. Kini mereka tak perlu nak tengok komputer berulang kali semasa prosedur berlangsung, sebab satu saat tu sangat penting terutamanya bila nak baiki sesuatu kat ISS.

Berpotensi jadi peneman angkasawan, mesra dan pandai bergurau…

Agaknya kalau Matt Damon dalam filem The Martian tu ada robot AI macam CIMON ni, takdelah dia rasa sunyi sangat kan? Macam kami sebut sebelum ni, sistem CIMON turut mengutamakan fungsinya tak hanya sebagai pembantu teknikal… dia jugak berupaya faham kata-kata manusia. Kemahiran emosi ni memang dah tertanam kat otak CIMON ni agar mereka boleh respon sebaiknya ikut konteks perbualan.

Cimon The Martian
Matt Damon blur, tak tau macam mana nak keluar dari Marikh. -Via Medium

Walaupun skrin wajahnya hanya nampak macam lukisan digital 2D je setakat ni, dia sebenarnya ada jugak ‘mata’, ‘telinga’ dan ‘mulut’ yang masing-masing digantikan oleh kamera, mikrofon dan alat pembesar suara. Menurut German Aerospace Center, CIMON ni ada lebih kurang 4 kamera:- 2 untuk mata (mudahkan nak anggar jarak dan untuk kenal wajah angkasawan), dan dua lagi untuk fungsi pendokumentasian.

Telinga CIMON ni pulak ada lapan mikrofon supaya dapat tangkap suara dari pelbagai arah, di samping nak kenal suara manusia dan para angkasawan. Untuk fungsi bercakap pulak, nampaknya ada satu je iaitu untuk respon semula dan untuk mainkan muzik. Ditambah lagi dengan kepintaran buatan ni, mereka boleh belajar kalau ada orang boleh ajarkan kat mereka. Jadi kalau kita nak mereka belajar bahasa Melayu pun boleh… kita ajar jerlah macam kita ajar budak.

Cimon Airbus
Via Airbus

Kita banyak idea dan bakat, tapi kereta terbang pula didahulukan…

Kami dah lama terus menulis tentang kejayaan dan pencapaian ramai anak muda seluruh Malaysia ni. Ciptaan demi ciptaan terhasil, yang kami rasa kalau bawa ke luar negara ni… mesti dah ramai nak jadikan mereka ni inspirasi pada anak watan. Macam kisah pencipta macam Tony Stark versi Malaysia, dan kejayaan kita dalam dunia robotik. Tapi entahlah kenapa kereta terbang pula diangkat sebagai ‘projek utama’ Menteri.

Adakah negara kita hanya nak hasilkan usahawan berskala small and medium enterprise (SME) je? Kami taklah nak nafikan kejayaan para usahawan kita, hingga ada pulak yang sampai ke luar negara produk mereka tu. Cuma bila kita banding semula dengan negara besar macam Jerman ni… kami tertanya jugak kenapa kita tak lebih fokus bersaing dalam bidang aeroangkasa.

Space Program
Dulu kita hantar angkasawan kita pakai roket negara lain jugak -Via Wired

Azlikamil Napiah, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia kata;

“Kita tak boleh harapkan satelit orang lain je… kita perlukan ekosistem yang baik di negara kita, khususnya dalam teknologi aeroangkasa… Satu hari nanti kita akan ada satelit sendiri, dan sektor angkasa sendiri… Malaysia ingin jadi salah sebuah negara aeroangkasa pada 2030”- Azlikamil Napiah, seperti yang dilaporkan oleh Nikkei Asian Review pada 2 Disember 2019

Sudah tentulah kami tetap optimistik jugak dengan perkembangan ‘kereta terbang’ sebab ye lah, manalah tau usaha kita berhasil nak bina sebuah ‘kereta terbang’ yang lebih baik dari versi ‘kereta terbang’ yang dahpun tercipta bertahun-tahun dahulu.

Lebih kurang beginilah ‘kereta terbang’ kita tu. -Via Giphy

Namun begitu, kami rasa kerajaan pun perlu jugak bangunkan lebih banyak program terbuka yang mengetengahkan bakat sains dan teknologi, menghubungkan para pencipta dengan pihak syarikat teknologi yang sudi memberi ruang yang diperlukan untuk membangunkan teknologi tersebut. Takkanlah bakat-bakat ni hanya tersadai setakat dalam peringkat pertandingan je, betul tak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top