Tradisi telinga panjang yang ada kat Orang Ulu di Sarawak pernah jadi satu ciri khas yang menonjol suatu masa dulu. Sejak berzaman, telinga panjang menjadi satu identiti penting bagi masyarakat seperti Kayan, Kenyah dan Kelabit. Bagi diorang, tradisi telinga panjang ini adalah salah satu cara mereka memperkenalkan etnik diorang kepada masyarakat kat luar serta keunikan budaya yang dijunjung oleh masyarakat tu.
Dulu-dulu memang jarang jika pelawat tak bertembung dengan kaum ni – tak kiralah lelaki atau perempuan yang tak ada tanda tertentu. Selain daripada untuk tonjolkan identiti, telinga panjang dari sudut sosial menunjukkan kedudukan kelas dalam masyarakat yang masih diamalkan oleh mereka khususnya kaum Kayan.
Bagi wanita Orang Ulu, ia dianggap simbol kecantikan paling utama
Diorang beranggapan, semakin panjang cuping telinga, semakin terserlah aura kecantikan diorang. Sekali imbas, loyang (perhiasan telinga) seperti ketulan emas tapi sebenarnya tembaga berkualiti tinggi. Wanita Orang Ulu hanya gunakan tembaga berwarna kuning keemasan dan merah pudar yang dipercayai dibawa masuk ke Borneo oleh pedagang dari Tanah Jawa dan China sejak beratus-ratus tahun lampau.
Barangan tembaga begitu bernilai dan bagi orang yang memilikinya dianggap sebagai golongan berharta. Bagi masyarakat Kayan misalnya, ada enam bentuk buah tembaga atau esang yang digunakan iaitu Esang Lungen, Esang Kavad Jalai, Esang Metam, Isang Sem’aha dan Esang Selalau. Hari ini, sukar untuk dapatkan tembaga tulen dan jika ada – harga sepasang akan mencecah RM3,000 ke atas bergantung kepada bentuk dan usia sebenar.
Sebahagian daripada masyarakat Kayan yang ditemui masih menyimpan esang berusia ratusan tahun yang diwarisi daripada berpuluh-puluh generasi nenek moyang diorang. Inilah yang jadikan esang begitu istimewa sehingga ada yang sanggup mencuri bahkan meragut perhiasan ini kerana nilainya begitu tinggi kat pasaran.
Seperti menggunakan perhiasan lain, wanita Orang Ulu bijak memilih bentuk tembaga yang sesuai dan sepadan dengan bentuk muka diorang.
Lebih kurang macam korang pilih baju rayalah, macam itulah diorang pilih tembaga
Muka bujur dan berisi dikatakan sesuai untuk tembaga bentuk lonjong manakala wajah yang berbentuk segi empat dan kelihatan kurus lebih menarik jika menggunakan bentuk bulat.
Untuk kepanjangan telinga pulak, ia tak harus terlalu pendek (di atas bahu) atau terlalu panjang sehingga menyentuh payu dara. Telinga sepanjang 20 sentimeter atau setakat pangkal dada dikatakan paling standard dan cantik dipandang mata. Tina Pasang, salah seorang ahli kaum Kelabit dari Kampung Pa’ Umor, Bario kata, telinga panjang yang cantik mestilah melebihi paras bahu sehingga mencecah pangkal dada.
Dia kata – ramai gadis pada masa dahulu berebut-rebut untuk miliki telinga panjang seperti yang dimilikinya. Bukan setakat cantik dipandang, malah diorang lebih senang menambat hati bakal suami. Tapi, tak semua wanita bernasib baik memperoleh telinga seumpama ini.
”Sebahagian daripada mereka menderita dan menanggung malu kerana memiliki telinga yang senget malah ada yang terputus sebelah atau kedua-dua belah dan terpaksa disambung. Telinga ini mengambil masa bertahun-tahun untuk memanjang, maka seelok-eloknya buah tembaga yang diguna sejak bayi perlu bersesuaian agar cuping telinga lebih cepat meregang dan memanjang,” – Kata Tina Pasang, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia
Tina yang memiliki telinga panjang sejak kanak-kanak kata, bukan sesuatu yang pelik sekiranya cuping tersebut tak memanjang walaupun menggunakan tembaga dari saat bayi lagi. Dia juga kata, memang menyedihkan sekiranya telinga tidak ‘menjadi’ sehingga mereka tua dan meninggal dunia.
Keunikan telinga boleh buat diorang jadi perhatian ramai, macam artis gitu
Nampaknya wanita bercuping telinga tebal dan besar lebih mudah untuk memiliki telinga panjang berbanding mereka yang memiliki cuping telinga kecil dan nipis. Buah tembaga yang digunakan pada hari ni boleh dibeli kat Marudi, Sarawak dengan harga RM300 sepasang.
”Tidak seperti dulu, kami hanya menggunakan buah tembaga ini apabila ada acara rasmi atau keramaian. Bagaimanapun, peredaran zaman yang menuntut penghijrahan telah menyebabkan ramai telah berpindah ke kawasan bandar dan ada yang terpaksa memotong telinga mereka kerana segan,” – Kata Sina, salah seorang ahli masyarakat Ulu Sarawak, seperti yang dilaporkan oleh Utusan
Kata Sina, dia tak terfikir untuk memotong telinganya kerana ia adalah lambang dan warisan yang menjadi kebanggaan wanita Orang Ulu. Ke mana-mana dia melangkah, pasti jadi tumpuan sehingga ada rakan bergurau memberitahunya dia seperti artis terkenal. Apa yang pasti, dia amat berbangga dengan imej bertelinga panjang.
Delly Asong Ngau, kaum Kayan dari Long Tebangan, Sungai Akah Baram berkata, masyarakat Kayan amat hargai tradisi itu justeru ia tidak boleh dipotong sembarangan melainkan dalam keadaan tertentu.
Nampaknya budaya ni semakin hilang ditelan zaman
Seperti tradisi lama yang lain, telinga panjang kini semakin lenyap ditelan zaman. Tradisi yang pernah jadi identiti dan kebanggaan kaum Kayan ni semakin ditinggalkan selari dengan perubahan zaman. Hampir mustahil untuk kita lihat golongan muda Orang Ulu hari ini memiliki telinga panjang seperti nenek moyang mereka.
Selain jumlah yang amat sedikit, terdapat wanita bertelinga panjang sanggup memotong telinga mereka kerana bimbang anak-anak berasa malu dan takut dianggap ketinggalan zaman. Nampaknya generasi baru kini sudah tidak mahu lagi meneruskan tradisi ni kerana prosesnya yang menyakitkan dan penjagaan yang rumit. Adakah ini satu lagi budaya yang akan hilang ditelan zaman?