Nak beli takaful tapi tak ada, adakah dibolehkan membeli insurans konvensional?!

F1

Perbahasan di antara isu insurans konvensional dan takaful ni bukanlah sesuatu yang baru, kami dapat lihat kebanyakan daripada korang gemar mengatakan hanya insurans takaful je yang boleh digunakan oleh orang Islam. Beberapa bulan mendatang, kami akan bawa perbincangan ini pada tahap yang lebih serius.

Sebelum kita berbincang dengan lebih kritikal berkenaan isu ini, satu persoalan penting yang kami rasa perlu diketahui semua adalah; kalau takaful tak sediakan sesuatu perlindungan tu, apakah dibolehkan untuk orang Islam membeli insurans konvensional?

728 X 90

Persoalan ni sebenarnya dah dijawab oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan beberapa bulan lepas. Ada seorang yang bertanya soalan ini;

Assalamualaikum. Saya sudah ikhtiar untuk ambil insurans kenderaan dengan beberapa syarikat Takaful. Tetapi mereka memaklumkan insurans kenderaan tidak boleh buat dengan syarikat Takaful disebabkan motosikal lama. Jadi, saya terpaksa mengambil insurans dgn syarikat konvensional. Apakah hukumnya?

Suatu hajat (keperluan) boleh jatuh dalam kategori terdesak sama ada ia berbentuk umum mahupun khusus

Kami percaya, kalau orang awam ditanya tentang persoalan ini, ramai yang akan kata insurans konvensional tu haram dan langsung tak boleh diambil! Kami tak salahkan orang awam sepenuhnya, keadaan ini sebenarnya berlaku kerana masyarakat yang ada pada hari ini tidak mempunyai maklumat yang tepat tentang perbahasan sebenar tentang isu konvensional dan takaful ini.

1
Masalah masyarakat kita pada hari ini, ramai yang suka menghukum sebelum membaca. Via Haram Poster

Berbalik kepada soalan di atas, kami rasa jawapan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ini perlu diketahui oleh orang ramai.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdasarkan situasi yang dibangkitkan oleh pengirim soalan, pertamanya diorang melihat pengambilan insurans bagi kereta menjadi kewajipan yang dah ditetapkan oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan pemilik kereta sekiranya berlaku apa-apa kemalangan. Bahkan, tak ambil insurans atau takaful boleh menyebabkan didenda dan dikompaun.

Walaupun keadaan sebegini tak mengancam diri, namun ia menjadi keperluan mendesak bagi setiap pemilik kereta sehingga boleh juga diiktibar sebagai darurat. Ini dikuatkan lagi dengan kaedah Fiqh yang disebutkan Imam al-Suyuthi Rhm. dalam kitab Asybah wa al-Nazhair (hlm. 88);

Maksudnya“Suatu hajat (keperluan) boleh jatuh dalam kategori terdesak sama ada ia berbentuk umum mahupun khusus.”

Mesti ramai yang bakal terkejut dengan jawapan dari Mufti Wilayah Persekutuan ni. Via Giphy

Malaysia ada banyak syarikat takaful sebagai alternatif kepada syarikat insurans konvensional yang sedia ada. Secara asalnya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan wajib seseorang Muslim untuk berusaha meneliti dan mencari syarikat takaful yang boleh memberi perlindungan kereta kepadanya.

Cuma, sekiranya selepas segala usaha dah dibuat dan ternyata takde syarikat takaful yang boleh ambil tanggungjawab tersebut, maka dalam situasi sebegini dibenarkan untuk mengambil insurans konvensional sehinggalah sampai satu tempoh wujud syarikat takaful atau seumpamanya yang memberikan tawaran sebegitu.

2
Dr. Luqman Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan. Via IndahnyaIslam

Apa yang paling penting, perbahasan ni menunjukkan syariat Islam berikan kemudahan (al-taysir) kepada umatnya dalam melaksanakan ibadah serta menjalani kehidupan harian. Kemudahan tu berperanan sebagai jalan keluar daripada sebarang kesukaran yang menimpa diri seseorang dalam keadaaan yang tak diduga.

Kita harus melakukan banyak pembacaan sebelum membuat apa-apa kesimpulan

Melalui jawapan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kita dapat melihat bahawa dibenarkan untuk ambik insurans konvensional sekiranya syarikat takaful tak berikan perlindungan terhadap individu atau harta tertentu. Hujah ini penting kerana masih ada yang sanggup merelakan diri berhadapan dengan risiko hanya kerana mereka percaya insurans konvensional adalah haram sama sekali.

Satu lagi persoalan yang selalu bermain dalam fikiran kami adalah; bagaimana kalau dari segi kualiti dan harga – ada syarikat insurans yang menawarkan servis dan harga yang lebih baik? Bagaimana pulak jika tempoh perlindungan insurans adalah lebih baik dari Takaful? Contohnya orang yang dilindungi mencapai sehingga umur 100 tahun untuk insurans (kad perubatan/medical card).

Kami cuba mencari jawapan kepada persoalan kualiti perkhidmatan ni, tapi masih tak menjumpai apa-apa perbincangan tentangnya. Kalau korang ada jawapan kepada persoalan ni, tolong beritahu kami!

Andainya memang masih takde perbincangan tentang isu kualiti dan harga; lepas ni kami akan cari pakar kewangan atau ahli akademik untuk bincang. Berkenaan harga, kami cadangkan korang cuba lakukan kajian perbezaan harga di antara takaful dan insurans dengan menghubungi ejen-ejen yang ada di pasaran.

Jawapan daripada mufti ini memperlihatkan wujudkan ruang (ketika takaful tak tawarkan produk). Sebab macam yang kami kata tadi, ramai yang kata ia haram secara mutlak. Hakikatnya, ia bukanlah semudah itu. Islam masih memberi kelonggaran kepada orang Islam untuk melanggan alternatif kepada takaful dalam keadaan tertentu. Sebab itulah kami selalu katakan yang pembacaan dan pengkajian penting sebelum kita memutuskan apa-apa hukuman terhadap sesuatu produk.

Membaca adalah kunci kepada pengetahuan. Via Giphy

Bagi pembaca setia ORANGKATA, mesti korang perasan yang kami selalu terbitkan artikel untuk bongkarkan pandangan-pandangan salah masyarakat terhadap isu-isu popular. Kami juga rasa isu perbahasan di antara insurans konvensional dan takaful ini adalah topik yang menarik. Korang rasa macam mana?

Adakah korang lepas ini akan mengambil insurans konvensional sekiranya produk takaful untuk perlindungan tertentu takde dalam pasaran? Atau korang akan sanggup menanggung risiko kerana percaya hanya takaful yang dibenarkan oleh Islam?

Bagi mereka yang ingin membaca jawapan penuh dari Mufti Wilayah Persekutuan berhubung isu ini, anda boleh melawati Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *