Filem Misteri Dilaila tiru filem orang? Katanya P. Ramlee pun pernah! Ini ceritanya

Sebelum ini, ada beberapa pengkaji yang membuat kajian berkenaan bagaimana Tan Sri P. Ramlee gemar mengambil idea dan inspirasi daripada pelbagai filem-filem Hindi, Barat dan Jepun. Namun, dalam konteks filem Pendekar Bujang Lapok (1959) sebagai contoh, meskipun ada beberapa babak yang dilihat mempunyai persamaan dengan filem Sanshiro Sugata (1943) yang diarahkan oleh Akira Kurosawa dari Jepun, ia dilihat sebagai satu penghormatan atau ‘homage’ dari P. Ramlee kepada pengarah tersebut.

Dalam Musang Berjanggut, babak P. Ramlee dibawa oleh Sa’adiah ke rumahnya yang terletak jauh dari pantai diilhamkan oleh P. Ramlee dari salah-satu babak dari filem “Madhumati” – sebuah filem percintaan antara seorang pelukis (Dilip Kumar) dengan hantu (Vyjayantimala).

Beberapa minggu ini kecoh pula dengan kontroversi filem Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof yang sedang ditayangkan sejak Februari lalu di pawagam-pawagam Malaysia dan Singapura. Filem lakonan Zul Ariffin, Sasqia Dahuri, Elizabeth Tan, Datuk Rosyam Nor, Mas Khan dan Nam Ron ini adalah filem kelapan arahan Syafiq.

Filem tentang bini orang yang hilang…macam mana boleh hilang?

Filem Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof mendapat sambutan yang hangat kerana mempunyai jalan cerita yang sangat menarik dan tidak klise seperti filem tempatan yang lain.

Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri dan Dilaila yang bercuti di sebuah rumah banglo di Fraser Hill, Pahang milik arwah bapa Dilaila. Malam pertama di rumah tersebut, Jefri telah diganggu dengan kejadian-kejadian aneh. Keesokan harinya, Jefri mendapati isterinya sudah hilang.

Wehh…mana bini aku! Via Youtube

Jefri yang risau dengan keselamatan isterinya terus menghubungi pihak polis untuk mengesan Dilaila. Imam Aziz muncul dengan berita gembira memaklumkan Dilaila sudah dijumpai dan berada dalam keadaan selamat. Jefri yang pada mulanya berasa lega kini terkejut dengan kepulangan isterinya kerana wanita yang muncul bersama Imam Aziz adalah orang lain yang mengaku dirinya adalah Dilaila, isteri Jefri.

Dari satu sisi yang lain, kepada yang telah kehilangan isteri mahupun orang yang tersayang, pasti dapat menghayati filem ini, sebagaimana filem Changeling lakonan Angelina Jolie, yang ditayangkan pada tahun 2008. Dalam naskah ini, seorang ibu tetap teguh meyakini bahawa anaknya masih hidup, meskipun telah hilang selama berdekad lamanya.

Ohhh…Via Giphy

Kepada yang belum menonton naskah ini, boleh lah terlebih dahulu ‘PM tepi’ ke peti mesej Facebook pawagam yang menyiarkan filem Misteri Delaila, memandangkan ia mempunyai dua versi pengakhiran yang berbeza.

“Selepas 10 saat logo Skop Production keluar pada permulaan filem, akan ada tertulis ia adalah versi pertama atau kedua. Menariknya, ramai yang sanggup menonton kedua-dua versi bagi menyaksikan plot dan pengakhiran yang berbeza.”

Filem ni dikatakan tiru filem orang lain, betul ke?

Sama ada ia adalah strategi pemasaran yang unik atau tidak, realitinya bukan soal ada berapa versi sahaja yang melingkari filem ini. Semisteri judulnya, filem ini didakwa mempunyai terlalu banyak persamaan pada babak dan plot dengan beberapa buah filem asing, khususnya filem dari Hollywood bertajuk Vanishing Act yang diterbitkan pada tahun 1986.

Dalam filem Barat tersebut, Mike Farrel yang sedang menikmati bulan madu, melaporkan kehilangan isterinya, Margot Kidder, dan kemudian mendapati bahawa perempuan yang ditemui bukan yang dikahwininya.

Dalam beberapa temubual yang disiarkan, Syafiq menafikan tuduhan ciplak mahupun meniru filem tersebut. Syafiq sebelum ini mengatakan bahawa filem Misteri Dilaila mendapat inspirasi daripada dua filem Korea Selatan berjudul The Forgotten dan Challenging.

Mungkin saja (husnudzon) Syafiq tidak berniat untuk menciplak dari Vanishing Act, tetapi untuk menyatakan Misteri Delaila tidak mempunyai terlalu banyak persamaan dengan filem Hollywood itu adalah sangat sukar dan mustahil. Cuma beliau bijak menggunakan kreativiti untuk menghasilkan dua versi dalam satu tajuk filem.

Tapi plot yang ada dalam filem tu, betul-betul samalah!

Daripada watak paderi yang ditukar kepada imam dan anjing pula ditukar kepada kucing, arak ditukar kepada kopi; Bible ditukar kepada kitab ilmu Islam; sehinggalah deretan siri dialog dan skrip yang terlalu mirip antara kedua-dua filem ini,jika dibuat perbandingan secara rapat.

Babak di mana Jefri menyindir Imam yang sedang mencicipi air yang baru dibuat oleh wanita yang mendakwa adalah isterinya (Delaila); sebelum memanggil Inspektor untuk memeriksa air yang diminum oleh Imam; serta babak Inspektor memaklumkan kepada paramedik bahawa tiada kecemasan yang berlaku, adalah antara babak yang terlalu sama dengan kandungan Vanishing Act.

Hmmm…macam lain je ni. Via Giphy

Sebagai rekod, Vanishing Act adalah asalnya teater yang dipentaskan di Perancis bertajuk “Piège pour un homme seul” atau “Trap for a Single Man” yang dikarang oleh Robert Thomas, penulis Perancis. Penerbit Vanishing Act membeli hakcipta teater tersebut, malah David Green turut memberikan kredit kepada penulis asalnya.

Filem ini turut dikaitkan dengan filem Tamil, Puthiya Paravai yang ditayangkan pada 1964 serta One of My Wives is Missing (1976) yang mengisahkan seorang detektif (Jack Klugman) dalam sebuah ‘resort-town’ yang menyiasat kes seorang lelaki kaya (James Franciscus) yang mendakwa (Elizabeth Ashley) bukan isterinya.

Ada je sebenarnya orang lain gunakan karya orang, tapi diorang mengakulah

Sebenarnya, tak salah untuk Syafiq mengaku (jika benar) beliau mengambil inspirasi daripada Vanishing Act. Malahan, pengarah terkenal Korea, Park Chan-wook sendiri mengaku mendapat inspirasi daripada novel Fingersmith karya penulis dari Wales, Sarah Waters, ketika menghasilkan karya ‘thriller’ hebatnya, Handmaiden (2016) yang ditambah plot dan babak yang tersendiri.

Syafiq Yusof. Via Cinema

Park juga mengaku bahawa satu lagi filem epiknya, Oldboy (2003) mendapat ilham daripada manga Jepun hasil ilustrasi Nobuaki Minegishi dan tulisan Garon Tsuchiya, malah menggunakan nama yang sama (Old Boy). Demikianlah, kredit perlulah diberikan sebagai tanda menghormati pengkarya asal.

“Bagi anda yang telah menonton filem Misteri Delaila dan filem-filem yang disebut dalam artikel ini, apakah pandangan anda? Benarkah ia memiliki kesamaan? Adakah ia satu filem ‘remake’, ‘plagiarisme’; ‘rip-off’ atau ‘homage’? Keputusan dan pemerhatian, ada pada tangan kalian. Apa yang penting, moga kisah serta isu ciplak dan hakcipta tidak lagi terus diselebungi misteri…”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *