Filem “Kaki Bakar” (KB – 1995) adalah antara contoh signifikan – tentang naskah indipenden yang mengharumkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa, tetapi gagal mendapat sambutan penonton tempatan. KB diinspirasikan daripada cerita pendek “The Barn Burning” tulisan William Faulkner, yang asalnya berlatarkan masyarakat di Amerika Selatan.
Nampaknya filem ni bukan calang-calang, mari kita lihat mengapa ia begitu istimewa…
Ditayangkan selepas 6 tahun siap
Filem ni disiapkan pada tahun 1995, namun hanya ditayangkan di Malaysia enam tahun kemudian. Filem ni ditayangkan di beberapa buah pawagam sekitar Kuala Lumpur pada 25hb Oktober 2001. KB asalnya dibuat untuk siaran televisyen namun cadangan tersebut ditolak atas sebab tertentu. Proses menukar format filem daripada 16 mm kepada 35 mm dilakukan di Australia.
Filem bertaraf dunia ini diarahkan oleh U-Wei atau nama sebenar beliau, Zuhir Haji Saari. Sebelum “Kaki Bakar”, U-Wei menghasilkan “Perempuan, Isteri dan…” dan filem “Black Widow: Wajah Ayu.” Selepas Kaki Bakar, U-Wei menghasilkan filem “Jogho” yang diadaptasi dari novel “Juara” karya S. Othman Kelantan dengan pembiayaan dari NHK Jepun.
Filem-filem “Perempuan, Isteri dan…”, “Kaki Bakar” dan “Jogho” menyaksikan bagaimana U-Wei menyentuh tentang soal manusia yang terpinggir, kemudian membina dendamnya sendiri dan akhirnya musnah kerana dendamnya itu. Watak ‘Kakang’ dalam filem ini memilih untuk membakar rumah dan bangsal untuk melepaskan dendam dan kemarahannya.
Hanya dengan bermodalkan RM 50,000 dan 14 hari penggambaran
Antara pelakon dalam naskah ini adalah Khalid Salleh, Ngasrizal Ngasri, Azizah Mahzan, Ochee, Liza Rafar, Norazmi Suhaimi, Jamaludin Kadir dan Kamarool Hj Yusuf. Sebenarnya, filem ini pada awalnya hanyalah sebuah drama yang dihasilkan untuk tayangan televisyen dengan dihasilkan menggunakan video, dengan modal RM50,000 dan 14 hari penggambaran.
Untuk dibawa ke Cannes, Kaki Bakar yang dibuat dalam video terpaksa dipindahkan ke filem. U-Wei menggunakan khidmat pemuzik terkenal Indonesia, Embi C. Noer untuk mencipta muzik Jawa yang menjadi latar kepada filem ini.
Dalam filem KB, Khalid Salleh memegang watak ‘Kakang’ yang merupakan pelarian politik dari Indonesia yang pernah berjuang menentang penjajah Belanda di sana, dan kemudian menetap di Malaysia bersama keluarganya. Di tempat tinggalnya ini, Kakang terpaksa menghadapi pelbagai prasangka dan cemuhan daripada masyarakat setempat.
Watak yang panas baran ini selalu membakar harta benda milik musuhnya, dan mahu mewariskan semangat perjuangannya kepada anak bongsunya, Kesuma. Kakang bertindak sedemikian setelah sering memerhatikan eksploitasi yang wujud akibat daripada jurang sosial yang berbeza. Kakang meneruskan kehidupan, dengan jiwa yang menggelegak. Naskah ini mengangkat persoalan yang menyangkut kepada soal psikik dan sosio-politik masyarakat Melayu.
Filem ni memenangi beberapa anugerah antarabangsa
Seperti yang kita sedia maklum, KB telah bejaya terpilih untuk dipertontonkan di Festival Filem Cannes yang berprestij, di mana ia ditayangkan dalam kategori ‘Un-Certain Regard’ pada tahun 1995. Filem ini juga telah memenangi Anugerah Filem Terbaik (kategori bahasa asing) dalam Festival Filem Bebas Antarabangsa Brussel ke-17, 1995 (Belgium), Anugerah Khas Juri dalam 1st South-East Asian Biennial Film Festival, 1997 (Phnom Penh), serta Anugerah Khas FINAS Malaysia, 1996.
Akhir kalam, KB adalah karya hebat yang mengangkat persoalan nilai kemanusiaan dan kesejagatan yang tinggi. Ia menegaskan isu besar mengenai bangsa, budaya dan falsafah tentang kehidupan. KB mengapungkan suara orang-orang kecil – masyarakat terpinggir dan terasing yang mahu didengari. Ia mendidik kita untuk memilih secara bijak – strategi dalam berjuang dan melawan, yang mana tidak cukup hanya disulami dengan amarah dan kebencian.
Seperti yang kita tahu, KB hidup kerana lakonan penuh jiwa daripada Khalid Salleh dan Ngasrizal Ngasri. Dan Khalid Salleh atau terkenal engan panggilan ‘Wak’, bukanlah calang-calang orang.
Menerusi watak ‘Mamat’ dalam filem “Jogho”, Wak muncul sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (1999), sekali gus menjadi aktor Malaysia kedua memenangi trofi tersebut selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Al-Fatihah sekudusnya buat Wak Khalid, pejuang seni negara. Kami akan menyusulimu.