Dalam tempoh pandemik ni lah, kita dapat tengok betul-betul sejauh mana tahap keprihatinan dan kesediaan kerajaan nak bangunkan sektor kesihatannya. Sebelum tahun 2020, sektor kesihatan mungkin antara sektor yang kurang hangat dibincangkan. Paling kurangpun, antara isu utama yang selalu ditimbulkan berkaitrapat dengan sektor kesihatan adalah idea perkhidmatan kesihatan percuma.
Kali ni, kita terbang terus ke Amerika Selatan… mendarat di Paraguay. Baru-baru, rakyatnya melangsungkan protes besar-besaran untuk mintak presidennya letak jawatan. Presiden negara tu membalas semula dengan menyuruh ahli kabinet lain pun kena ikut letak jawatan jugak, dimulakan dengan perletakan jawatan Menteri Kesihatan mereka susulan dakwaan gagal tangani pandemik dalam negara tersebut.
Dianggap gagal kawal pandemik, Menteri Kesihatan di Paraguay terpaksa letak jawatan akibat lonjakan kes dari tahun lalu
Pada 6 Mac lalu, sebuah protes tunjuk perasaan meletus di kota Ascuncion, Paraguay. Ia bertukar menjadi agresif lepas pasukan polis diarahkan untuk kawal keadaan terutamanya apabila ada laporan menyatakan kedai-kedai dirompak dan kenderaan dibakar. Pasukan polis yang kawal keadaan terpaksa membalas ‘tolakan’ para pemprotes hanya pakai peluru getah dan gas pemedih lepas dikatakan turut dibaling batu serta bakar benteng penghalang polis.
Sebelum tu, para pemprotes tu berkumpul secara aman kat bangunan Kongres. Protes tu bertujuan untuk desak Presiden Mario Abdo Benitez agar letak jawatan kerana kegagalan kerajaan kawal penularan pandemik kat negara tu. Beberapa hari sebelum tu pulak, Senat umumkan 30 daripada 45 undian untuk mengesahkan bahawa Menteri Kesihatannya, Julio Mazzoleni agar letak jawatan.
Julio Mazzoleni dah lama dikritik oleh ahli kabinet yang lain termasuklah daripada partinya sendiri dan kesatuan pekerja kesihatan susulan polisi kesihatan awamnya yang tak nampak memberangsangkan. Pada Mac 2020, Paraguay turut bertindak sekat pergerakan dengan hentikan semua acara keramaian, penutupan sempadan dan kawalan berterusan. 2 bulan lepas tu, barulah inisiatif ‘Intelligent/Smart’ Quarantine diperkenalkan untuk jana semula sektor ekonomi negara tersebut secara berfasa.
Walaupun begitu, beberapa langkah yang bertujuan kawal pandemik dilaksanakan tu macam tak berapa menjadi. Insfrastruktur kesihatan yang semakin diperlukan dikatakan tak ditambah bilangannya. Sorang pemprotes, ingin dikenali sebagai Dudu Davalos kata di hospital, dah takde picagari dan katil. Mereka ada tempoh masa setahun, tapi kerajaan tak buat apa-apa untuk selesaikan masalah infrastruktur kesihatan.
Pengenalan idea ‘albergues’ atau rumah perlindungan pun bermasalah jugak. Kem tentera, gudang, stesen polis dan kompleks sukan ditukar menjadi ‘albergues’ untuk menempatkan mereka yang baru pulang dari luar negara seperti Brazil. Tahun lalu, Paraguay dah buka sempadan terkawal untuk Brazil je sebagaimana kita pun buka untuk Singapura. Akan tetapi, kerajaan negara tu tak terfikirkan pulak kepulangan secara besar-besaran termasuklah wanita mengandung dan anak-anak kecil. Oleh demikian, ruang kuarantin tersebut menjadi lebih kecil dari apa yang dirancangkan.
Kalau tak nak duduk kat ‘albergues’, ada jugak penempatan kuarantin yang dikhaskan iaitu ‘Hotel Salud’ untuk sesiapa yang berkemampuan. ‘Hotel Salud’ ni walaupun begitu, tak semua yang betul-betul ikut prosedur kesihatan yang ditetapkan. Akibatnya, antara April hingga Jun tahun lalu, kes mencanak naik dilaporkan daripada kluster dari penempatan-penempatan khas ni. Korang bayangkanlah, dikatakan kira-kira 160 orang tu diberi penempatan dalam bilik yang ada katil bertingkat disusun rapat. Ruang kongsi seperti dapur dan bilik air jugak takde jarak fizikal yang selamat.
Presiden suruh semua ahli kabinet letak jawatan, dapat vaksin percuma daripada Chile
Lepas protes tersebut, Presiden Mario dikatakan dah arahkan semua ahli kabinet untuk meletakkan jawatan masing-masing. Arahan tu disampaikan oleh menteri komunikasinya, Juan Manuel Brunetti. Perubahan kabinet tersebut dijangka akan berlangsung dalam waktu terdekat, tetapi setakat artikel ni ditulis, belum ada apa-apa pengumuman rasmi lagi mengenai pertukaran kabinet baharu.
Presiden turut digesa untuk letak jawatan sekali atas kegagalan tersebut. Mungkinlah bagi rakyat Paraguay, tak cukup sekadar sorang menteri je yang letak jawatan. Kena semua sekali letak jawatan, baru puas hati. Sementara menunggu sekiranya Presiden Mario tu boleh dipecat atau tak, Paraguay tetap berusaha nak dapatkan vaksin untuk rakyatnya. Sehingga tulisan ni disiarkan, Paraguay dah beli vaksin Sputnik-V dengan jumlah yang bakal diterima adalah sebanyak 4,000 dos dahulu dari Rusia. Untuk menambahkan bekalan vaksin ni, Chile turut mendermakan 40,000 dos vaksin Sinovac kepada Paraguay dan Ecuador.
Memandangkan Menteri Kesihatan dah kena buang, Presiden Mario kemudiannya lantik timbalan menteri kesihatannya Julio Borba bagi menggantikan tugas utama mengepalai ‘pertahanan’ kesihatan melawan COVID-19. Langkah pertama Julio Borba adalah nak cari balik ubat-ubatan dan bekalan dengan kadar segera. Untuk pengetahuan korang, ni bukanlah kali pertama mahupun negara pertama di Amerika Latin yang dah pecat menteri kesihatannya.
Kat Peru, Pilar Mazzetti dah letak jawatan pada 14 Februari lalu kerana dah ambil vaksin lebih awal sebelum ia mula diagihkan secara rasmi di negara tersebut. Kat Argentina, Gine Gonzalez Garcia letak jawatan jugak pada bulan lalu susulan dakwaan dia bagi ‘kroni’ ambil vaksin. Kat Ecuador, Juan Carlos Zevallos letak jawatan kerana didakwa mendahulukan sorang pegawai universiti ambil vaksin daripada kumpulan utama yang didahulukan. Ni baru tegas… takde ampun maaf kalau didapati ada yang guna kuasa nak dapatkan vaksin terlebih dahulu.