Ramai kata pada PRU15 undi Melayu akan berpecah. Adakah Borneo jadi kingmaker?

f1

Mengenang perkembangan politik kita lepas bertukarnya kerajaan Persekutuan, macam-macam yang kita lalui sebagai rakyat yang ‘tersepit’ di tengah-tengah. Blok-blok pakatan terwujud, kemudian dibubarkan, diikuti dengan pertelagahan terbuka antara wajah-wajah utama parti Melayu buatkan kita tambah resah. Dengan keadaan pandemik inilah, kekuatan kita terus diuji sebagai rakyat Malaysia.

728 X 90

Tanda pagar #KitaJagaKita terus jadi penguat silaturahim rentas sempadan. Sementara tu, hari-hari kita dihiasi dengan ahli politik menuduh satu sama lain. Tak pasal Sajat atau berkaitan pandemik, kita terpaksa hadap menteri-menteri yang kebal dari sebarang hukuman meskipun dah langgar PKP. Parti-parti Melayu apa lagi; bertikam satu sama lain. Bagaimana pulak dengan situasi politik di Sabah dan Sarawak?

Warisan pernah pertimbangkan cadangan luaskan sayap ke Semenanjung Malaysia, bergabung dengan UMNO untuk kalahkan Bersatu

Kita mengakhiri tahun lalu dengan ‘pertembungan’ beberapa parti besar Melayu. UMNO dan Bersatu ketika tu bagai retak menanti belah. Dua lagi parti muncul, itupun dikatakan sengaja ‘dicantas’ permohonan mereka supaya digagalkan pendaftaran mereka. Secara efektifnya, Parti MUDA dan Pejuang ditolak ke tepi dalam arena politik. Namun semasa kita memandang perkembangan politik parti Melayu ni, ada baiknya kita jenguk dulu bagaimana saudara kita di Sabah dan Sarawak.

mukhriz mahathir syed saddiq collage 090121 1
Kedua-dua permohonan pendaftaran parti mereka akhirnya ditolak.. Via Ismaweb

Usai tamat berlangsungnya Pilihan Raya Negeri di Sabah tahun lalu, kita kena mengimbau semula situasi kecil yang cukup penting ketika dua calon parti GRS (Gabungan Rakyat Sabah) menghadap Tuan Yang Dipertua Sabah. Sebelum ni, banyak jugak kes berkaitan Tuan Yang Dipertua Sabah… sampai ada tahap wujudnya dakwaan ugutan dan saman antara ahli politik dengan pihak Tuan Yang Dipertua negeri tersebut.

Untuk pengetahuan korang, GRS ni gabungan beberapa parti politik utama termasuklah parti politik negeri yang mungkin kurang dikenali di luar Sabah seperti STAR, PBS, SAPP dan lain-lain. Kebanyakan parti yang disebutkan tu boleh dikatakan berasaskan kaum jugaklah, mirip dengan apa yang korang boleh tengok dalam UMNO atau PPBM.

kerusi menang sabah
Dengan memperoleh 38 kerusi, GRS tumbangkan Warisan Plus pada PRN tahun lalu… Via Berita Harian

Antara Hajiji Md. Noor dari Bersatu Sabah dan Bung Mokhtar dari UMNO; ada ura-ura menyatakan kononnya ada ‘arahan dari atas’ untuk membiarkan Hajiji dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah yang baharu. Sementara tu, Warisan terpaksa berpuas hati dengan kekalahan mereka lepas hanya kira-kira 28 bulan merampas Sabah dari cengkaman UMNO-PBS. Sabah menjadi contoh jelas mengapa 2020 bukanlah waktu sesuai untuk mengadakan pilihan raya. Kes jangkitan di Sabah semakin surut selepas 4 bulan.

Keadaan politik dalaman negeri tenang sedikit, dan kembali fokus memerangi COVID-19. Namun begitu ada jugak khabar-khabar angin yang menyatakan Warisan sedang mempertimbangkan untuk lebarkan sayap keahliannya ke Semenanjung Malaysia. Berikutan perbalahan UMNO-Bersatu dalam pentas nasional, ada mencadangkan Warisan ni patut bersekutu sekejap dengan UMNO serta Pejuang dengan harapan mampu mengimbangi Bersatu.

Walaupun masa ni, ia cuma spekulasi politik… tapi para penganalisis tak menolak kemungkinan tersebut. Ramzi Ationg, penganalisis politik dari UMS mengulas kemungkinan ni kerana Warisan pun dikhabarkan tengah meninjau semula perjanjian mereka dengan PH. Kalau sekalipun nak bergabung untuk kekal relevan dalam politik negara, Warisan patut bergabung dengan UMNO kerana ia masih kuat di Semenanjung berbanding Bersatu.

Sarawak dan Sabah patut bentuk blok tunggal untuk jadi kingmaker dalam pilihan raya, kata penganalisis

Jika sebelum ni Sarawak dan Sabah dipopularkan sebagai ‘deposit’ undi BN, situasi politik semasa memungkinkan peranan Sarawak dan Sabah menjadi lebih besar dalam arena pentas nasional. Untuk makluman korang jugak, Sarawak sepatutnya kena bersedia untuk memberi ruang kepada pilihan raya negerinya tahun ni. Berbeza dengan negeri-negeri lain, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang tak menjalankan pilihan raya negerinya serentak dengan pilihan raya umum Malaysia.

Pada awal Januari tahun ni, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia iaitu Datuk Abdul Ghani Salleh kata takde masalah nak sekalikan PRN Sarawak pada tahun ni dengan PRU15. Walaupun begitu, pengisytiharaan darurat awal tahun ni turut mengisyaratkan bahawa PRN Sarawak berkemungkinan akan ditunda lepas tempoh darurat tamat. Agong pun dah kata, nak bersidang kat Parlimen tu boleh je semasa tempoh darurat. Yang tak boleh antaranya adalah nak buat pilihan raya…

“PH tidak mempunyai momentum seperti pada PRU14 (pilihan raya umum ke-14) dan tidak boleh bergantung kepada Dr Mahathir Mohamad dan PPBM untuk sokongan orang Melayu. Umno berpecah belah dan PPBM adalah parti yang lemah. Justeru parti Sabah dan Sarawak tidak perlu mengikut rentak sesiapa.”- Felo kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir, seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today

gps sarawak
Via Astro Awani

Sambung Dr. Jeniri Amir lagi, Sarawak dan Sabah patut bentuk je blok Borneo terutamanya lepas PRU-15 bagi memutuskan pihak mana satu yang boleh menjaga kepentingan kedua-dua negeri Borneo Malaysia ni. Pandangan ni disokong oleh Dr. Lee Kuok Tiung, yang turut bersetuju sekiranya kedua-dua negeri ni nak gabung menjadi satu blok baharu dan lebih tinggi daya tawar-menawarnya.

Kat Sabah, ada GRS. Kat Sarawak, ada pulak GPS. Walaupun di pentas nasional, Bersatu dan UMNO ada perseteruan politik… kat Sabah pulak, Bersatu dan UMNO masih lagi berhubungan baik antara satu sama lain. Dr. Jeniri berpandangan Bersatu Sabah dan UMNO Sabah pun masih ada autonomi tersendiri untuk menentukan haluan parti di negeri tersebut, lalu permusuhan kat Semenanjung Malaysia mungkin takkan mengugat kerjasama GRS.

hajiji bung mokhtar tv
Bung Mokhtar (kiri) dan Hajiji (kanan)…Via Ameno World

Dengan jumlah 57 kerusi, ia adalah jumlah yang agak besar jugak sekiranya benar GPS dan GRS ingin bekerjasama mengikuti cadangan para penganalisis ni. Andainya cadangan ni terlaksana, ia akan mengubah dinamik politik negara dan tentunya semakin menarik untuk dikaji. Yang tak menariknya tu adalah apabila isu permusuhan politik ni pulak yang mendominasi wacana semasa, lalu menenggelamkan banyak isu kebajikan rakyat yang semakin mendesak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *